BN DIINGATKAN TIDAK MENCARI KEAIBAN ORANG KALAU TIDAK MAHU KEAIBAN SENDIRI TERDEDAH – PESURUHJAYA PAS PERAK

28 08 2009

DSC_0127

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar bin Hussain mengingatkan kepada UMNO/BN supaya tidak mengulangi amalan mereka yang sengaja mencari dan mendedahkan keaiban orang lain. Ini kerana sekiranya mereka tidak mahu keaiban mereka didedah oleh Allah SWT sendiri. Beliau berkata demikian sebagai ulasan tentang kes Chua Soi Lek baru-baru ini.

Beliau berkata lagi, BN yang selama ini sengaja memburuk-burukkan identiti beberapa individu, seperti Elizabeth Wong, seharusnya menerima padah apabila keaiban mereka didedahkan oleh Allah SWT sendiri.

Usaha-usaha ini seharusnya dilihat sebagai satu perbuatan yang terkutuk, yang sepatutnya tidak dilakukan oleh sebuah parti yang memperjuangkan kemanusiaan. Oleh itu, terimalah balasan yang setimpal oleh Allah SWT di atas perbuatan yang telah mereka lakukan.

Beliau berkata lagi, selain itu, pemecatan Soi Lek ini mendedahkan bahawa BN sekarang sedang menghadapi situasi yang serius. Mereka (BN) asyik menghebahkan bahawa PR sekarang berada dalam kemelut, sedangkan mereka sendiri merasai sedemikian. Mereka sendiri sedang berada dalam keadaan tidak stabil untuk menghadapi beberapa kesalahan pimpinan tertinggi mereka.

“Mereka gemar menunding jari kepada orang lain, sedangkan keaiban sendiri tidak pernah diperhati” katanya lagi.

Apabila diminta mengulas tentang perpecahan dalaman BN hari ini, beliau berkata “Ya, BN sememangnya sedang berpecah. Berpecahnya BN hari ini disebabkan usaha mereka memecahbelahkan PR dan PAS itu sendiri. Mereka suka menyebarkan fitnah, akhirnya mereka sendiri memfitnah sesama sendiri. Allah itu Maha Adil”.

Dalam pada itu, beliau juga menjawab tentang beberapa isu sebat baru-baru ini. “Kenapakah baru sekarang keadilan itu dipersoalkan? Kenapakah hari ini tolak ansur baru dipermainkan? Sebelum ini kita melihat ISA begitu kejam melakukan kezaliman di merata tempat. Itu tidak zalimkah?”

Beliau berkata lagi “Hari ini orang mempersoalkan tentang keadilan undang-undang syariat di dalam menjatuhkan hukuman, tetapi kenapakah ISA itu sendiri tidak dipersoalkan? Kalau Kartika itu baru seorang perempuan, ISA sudah menzalimi ribuan orang yang tidak bersalah. Dimanakah keadilan?” Katanya.

Beliau menyifatkan bahawa UMNO selamanya tidak akan releven sekiranya masih meneruskan perjuangan jahiliyyah. Ini kerana jahiliyyah itu telah pun dihapuskan ketika zaman Nabi Muhammad SAW. Tetapi hari ini, ia telah dikembalikan semula oleh UMNO sendiri. Sebab itulah UMNO/BN akan terus berpecah, kerana mereka memperjuangkan perjuangan nasionalisme yang juga diperjuangkan oleh Jahiliyyah.

Sememangnya masyarakat Jahiliyyah itu berpecah, tetapi disatukan oleh Nabi Muhammad SAW. Tetapi, hari ini ia telah dipecahkan semula. Maka, siapakah yang memecahbelahkan masyarakat kalau bukan BN?





PESURUHJAYA PAS PERAK MEMBIDAS KENYATAAN HISHAMUDDIN TENTANG ISU SEBAT

27 08 2009

SDC11209
Isu sebat yang menjadi perbualan kita hari ini telah dipermainkan oleh sebilangan pihak yang cuba untuk menyindir Islam. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata bahawa beliau mengakui Jabatan Penjara di bawah kementeriannya tidak mempunyai kemahiran dan kepakaran untuk melakukan hukuman sebat mengikut undang-undang syariah terhadap Kartika.

Menjawab persoalan ini, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussein berkata bahawa ia tidak menjadi masalah yang perlu dijadikan alasan supaya proses ini tergendala. Dari segi penangguhan disebabkan Bulan Ramadhan, ia adalah satu perkara yang munasabah dan tidak perlu dipertikaikan. Tetapi, apabila terdapat sebilangan pihak menyifatkan bahawa “tiada kepakaran”, ialah satu alasan yang tidak boleh diterima.

Beliau berkata lagi, ketika zaman Nabi Musa AS, Bani Israel cukup banyak alasan untuk menolak arahan Nabi Musa. Kes yang terjadi ketika zaman Nabi Musa AS ialah pembunuhan seorang hamba Allah. Lalu, Nabi Musa AS mengadili kes tersebut dengan memerintahkan kepada Bani Israel untuk mendapatkan ekor binatang tersebut, berdasarkan perintah Allah SWT, untuk membuktikan pesalah.

Namun, Bani Israel melontarkan pelbagai persoalan, dengan bertujuan tidak mahu melaksanakan perkara tersebut. Mereka bertanya, warna apakah lembu tersebut? Jenis apakah ia? Dan sebagainya. Hakikatnya mereka tidak mahu menurut perintah Nabi Musa AS, bahkan mereka sengaja mempermainkan perkara tersebut. Alasan semata-mata.

Demikianlah yang berlaku hari ini. Pelbagai alasan yang tidak boleh diterima, sengaja direka-reka. Sekiranya kita lihat dari segi logik akal, mereka yang berada di bawah Jabatan Penjara sudah dilatih untuk merotan dengan cara tertentu terhadap pesalah. Contohnya yang berlaku selama ini, setiap perotan akan memastikan hayunan rotan tersebut tepat mengenai punggung pesalah. Sekiranya tersilap, perotan tersebut akan dibicarakan.

Beliau berkata lagi, perkara ini merupakan perkara yang kecil. Sekiranya menyebat orang dengan kasar pun sudah pandai, apatah lagi menyebat dengan cara Islam? Cara yang diajar oleh Islam agak lembut dan tidak bertujuan menzalimi. Apa susahnya? Adakah disebabkan biasa membuat kezaliman, sudah payah untuk melakukan perkara yang baik? Hakikatnya itu adalah alasan semata-mata.

Beliau menambah lagi, sekiranya tidak pandai untuk memukul cara Islam, kami bersedia menunjuk ajar. Selama ini, para penyebat penjara hanya diajar dengan memukul secara kejam. Maka, apa susahnya untuk belajar cara sebatan dalam Islam pula? Ia lebih mudah. Sebatan cara Islam tidak memerlukan tenaga yang banyak untuk menghayun rotan tersebut. Juga tidak perlu ditelanjangkan pesalah tersebut. Apa yang susahnya? Mereka hanya beralasan sahaja untuk tidak melaksanakan hukum Allah.

Selain itu, beliau bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan Presiden PAS sendiri telah menjelaskan perkara tersebut. Beliau juga menasihati kepada mereka yang tidak tahu supaya mendalami Islam terlebih dahulu, jangan terlalu cepat menghukum Islam itu sebagai kejam. Beliau juga menasihatkan kepada mereka yang terlibat dalam mengemukakan alasan-alasan yang tidak sepatutnya, supaya tidak meniru kelakuan Bani Israel yang hanya bijak mencari alasan untuk tidak melaksanakan sesuatu hukuman.





MEMPERJUANGKAN UMNO/BN HANYA MENEMPAH SIA-SIA

27 08 2009

pj-1

MEMPERJUANGKAN UMNO/BN HANYA MENEMPAH SIA-SIA

Memetik sedikit ulasan Pesuruhjaya PAS Perak berkenaan dengan kemenangan PR di Permatang Pasir semalam. Apa yang dilihat, perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS tidak akan disia-siakan oleh Allah SWT. Tetapi ia berlaku sebaliknya pada BN. Perjuangan mereka hanyalah sia-sia. Sekiranya menang, mereka hanya mendapat habuan dunia, sekiranya kalah, mereka akan menanggung derita dan penyesalan sehingga akhir zaman. Tegas beliau.

Beliau juga menyatakan bahkan perlakuan buruk umno/bn merampas kerajaan Perak sebelum ini juga hanyalah sebagai habuan dunia yang sementara. Mereka pasti akan jatuh semula, kerana roda sunnatullah itu berputar. Mereka akan rugi sekiranya mengalami kekalahan, tetapi perjuangan Islam tidak akan rugi walaupun kalah.

Bagi beliau juga Keputusan pilihanraya Permatang Pasir semalam sudah menjadi jangkaan bagi BN. Mereka sudah pun tahu kekalahan mereka. Zahid Hamidi berkata bahawa pilihanraya tersebut menunjukkan bahawa BN berjaya masuk di dalam kawasan hitam, sedangkan ia cuma hendak menyedapkan hati sesudah dikalahkan.

Menurut beliau lagi tarikh 4 Ramadhan telah menyaksikan bahawa perjuangan itu tidak mengenal letih, penat dan lapar. Bahkan, Perang Badar sendiri berlaku ketika Bulan Ramadhan. Timbul di dalam benak kepala kita, kenapakah mereka yang bermusafir dirukhsahkan dengan dibenarkan berbuka, sedangkan ketika perang ia tidak pula dirukhsahkan?

Bagi beliau persoalan ini hanya dapat dijawab oleh mereka yang mengenal erti perjuangan. Bahkan sekiranya perjuangan itu bukan di bulan puasa sekali pun, mereka sudah pun dilatih dengan kekurangan bekalan makanan. Perjuangan itu bukanlah penyelusuran di atas hamparan karpet, tetapi ia penuh dengan cabaran.

Adakah BN ingin mendapatkan kemenangan dengan menghamparkan karpet di hadapan mata pejuang-pejuang mereka? Bahkan, perjuangan mereka itu adalah sia-sia, sekalipun mereka menerima ujian. Wahai orang yang beriman, kita perlu tahu bahawa BN juga mengalami kesakitan dan keperitan untuk menghadapi PR. Oleh itu, kita tidak perlu risau sekiranya kita diuji, kerana mereka juga mengalami perkara yang sama.

Sempena bulan yang mulia ini beliau menyarankan agar seluruh rakyat Malaysia meningkatkan keazaman dan komitmen mereka dalam agenda menumbangkan kerajaan zalim umno/bn.





Ucapan Tahniah dari PAS Perak Atas Kemenangan PAS Dalam Pilihanraya N11 Permatang Pasir

26 08 2009

ust speech

• Saya selaku Pesuruhjaya PAS negeri Perak ingin melahirkan rasa kesyukuran dan gembira atas kemenangan YB Ustaz Salleh Man ( Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang) atas kemenangan cemerlang yang dicapai dalam pilihanraya kecil N11 pada 25 Ogos 2009 yang lalu.

• Saya bersama-sama seluruh pimpinan dan ahli-ahli PAS negeri Perak mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Ustaz Salleh Man ( Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang) dan seluruh saf pimpinan PAS Pulau Pinang serta seluruh ahli PAS dan pengundi Permatang Pasir Pulau Pinang yang mencapai kemenangan cemerlang pada pilihanraya kecil ini sekaligus membuktikan pengundi-pengundi di Permatang Pasir tidak boleh digula-gulakan dan dijanjikan dengan pembangunan oleh Umno Barisan Nasional, akhirnya mereka dapat memilih antara hak dan kebatilan.

• Diharapkan dengan kemenangan di Permatang Pasir iini, akan menjadi isyarat bahawa PAS bersama dengan Pakatan Rakyat dapat diterima rakyat Malaysia seluruhnya dari berbagai-bagai keturunan dan pegangan agama dan seterusnya akan melebarkan kemenangan tersebut ke seluruh negara.

• Bagi PAS negeri Perak saya mengharapkan dengan kemenangan tersebut akan memberi suntikan dan semangat baru pada ahli dan pemimpin PAS di semua peringkat untuk bekerja keras mulai dari sekarang bagi memastikan kemenangan PAS dalam pembubaran DUN Perak yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi dan Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.

• Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih, jazakumullahu khairan kathira kepada semua petugas-petugas pilihanraya daripada PAS negeri Perak daripada semua peringkat, daripada JPN, Kawasan dan Cawangan, Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat yang telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan komitmen.

• Semoga usaha mulia kita dalam memastikan Islam terus memimpin perubahan buat rakyat Malaysia mendapat keredhaan dan bantuan dari Allah SWT.

Ustaz Abu Bakar Hussain
(Pesuruhjaya PAS Perak)





Rumah Perak N 11 Permatang Pasir, pastikan Umno/bn kecundang

24 08 2009

SDC11314

Rumah Perak bagi N11 Permatang Pasir, mendapat sambutan hangat dari penduduk setempat, PAS Perak akan memastikan untuk umno/bn tumbang di Permatang Pasir, jentera PAS Perak akan sentiasa memastikan yang terbaik untuk kemenangan calon PAS di Permatang Pasir.

Umno/Bn sememangnya sudah ditolak rakyat Permatang Pasir, rakyat Permatang Pasir akan memastikan majoriti kemenangan calon PAS kali ini lebih besar dari yang lepas, saya yakin dengan keberkatan bulan ramadhan ini, Allah SWT akan memberikan kemenangan kepada pejuang Islam yang mana bantuan Allah SWT ini pernah diberikan pada para Rasul dan para Nabi serta para sahabat radhiallahhuanhum sebelum ini.

PAS Perak yakin Pakatan Rakyat mampu menjadi pengantara dalam menyalurkan komitman kerajaan negeri kepada rakyat khususnya di Permatang Pasir.

Ustaz Abu Bakar Hussain
(Pesuruhjaya PAS Perak)





Perutusan Pesuruhjaya PAS Perak Sempena Ramadhan Al-Mubarak

24 08 2009

ustbakarserban

Umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia menyambut kedatangan bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam, Ramadan al-Mubarak dengan penuh kegembiraan dan keinsafan.

Ia bukan sekadar bulan diwajibkan berpuasa tetapi lebih penting pada bulan ini hukum dan perlembagaan tertinggi buat umat manusia, al-Quran, diturunkan Allah SWT.

“Bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah).” (maksud al Baqarah: 185)

Melalui al-Quran, maka Allah SWT menyelesaikan segala kemelut dan permasalahan manusia khasnya bagi mereka yang mahu menjunjung dan melaksanakannya.

Oleh itu bulan Ramadan ini bukan sekadar bulan ruhiyah (spiritual) bagi mereka yang tekun menghayatinya tetapi ia sebenarnya bulan siyasiyah (politik) kerana di bulan inilah hukum dan peraturan lengkap bagi manusia diperturunkan Allah SWT kepada Rasul-Nya s.a.w.

Di samping kita mengejar manfaat dan kelebihan Ramadan sebagai bulan ruhiyah kita juga wajar menghayatinya sebagai bulan siyasiah bagi mengembelengkan seluruh tenaga dalam meyakinkan segenap lapisan masyarakat bahawa formula untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara kita hanyalah apabila kita kembali kepada al-Quran yang diturunkan pada bulan ini di samping berpegang teguh kepada Sunnah Rasul-Nya.

Di bulan penuh barakah ini jangan sekali-kali kita lupa nasib saudara-saudara kita di bumi Islam yang sedang bergolak khasnya di Palestin, Iraq dan Afghanistan, di samping mereka yang sedang bertarung nyawa di Chechnya, Selatan Filipina, Selatan Thai dan seluruh bumi umat Islam di dunia ini.

Titipkanlah doa di bulan yang penuh rahmat ini, mudah-mudahan Allah SWT memberikan kemenangan dan kejayaan kepada mereka setelah sekian lama hidup dan menderita dalam kesengsaraan, darah dan air mata.

Semoga Ramadan tahun ini mampu membangkitkan kesedaran kita untuk mempertingkatkan amal ibadat menuju keredaan Allah di samping menyedarkan kita bahawa hanya Islam penyelamat kita di dunia dan di akhirat, lantas marilah kita sama-sama kembali kepadanya, InsyAAllah dengan bantuan Allah SWT, PAS Perak akan memimpin rakyat Perak kearah keredhaan Allah SWT

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Ramadan Kareem” kepada semua umat Islam, mudah-mudahan kekuatan dan semangat yang terbentuk sepanjang Ramadan ini akan terus memperteguhkan iltizam kita untuk sama-sama membela, mempertahan dan memperjuangkan Islam hingga ke akhir hayat.

Ustaz Abu Bakar Hussain
(Pesuruhjaya PAS Perak)





Munaqasyah Ucapan Dasar “Islam Memimpin Perubahan” di Markaz Tarbiyyah Air Kuning

21 08 2009

16082009020

Alhamdulillah ahad yang lepas Lebih 200 orang AJK Harian PAS Kawasan dari seluruh negeri Perak telah hadir dalam program tahunan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS 2009 yang berlangsung di Markaz Tarbiyyah Negeri di Air Kuning, Taiping. Saya diamanahkan untuk merasmikan munaqasyah tersebut, manakala pembentang kertas kerja pula oleh Setiausaha Agung PAS Pusat, Dato Mustapha Ali.

Program yang dianjurkan oleh Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Perak ini bertujuan untuk memastikan gerak kerja parti pada sesi ini dapat diselaraskan di seluruh negara dan menepati kehendak kepimpinan. Di antara objektif yang digariskan oleh PAS Pusat adalah:

1. Memastikan semua peringkat kepimpinan Negeri dan Kawasan khususnya dapat memahami dan mendalami garapan Ucapan Dasar Presiden PAS 2009.
2. Memastikan semua peringkat kepimpinan Negeri dan Kawasan dapat memberikan pandangan, percambahan idea dan cadangan penambahbaikkan berdasarkan intipati ucapan Presiden.
3. Memastikan semua peringkat kepimpinan Negeri dan Kawasan dapat merangka strategi dan matlamat aktiviti bagi sesi 2009-2010 yang selaras dengan kehendak kepimpinan tertinggi.

Semoga dengan kesatuan hati dan kebersamaan dan seluruh gerak kerja seluruh ahli PAS Perak,kita mengharapkan Allah SWT akan memberikan kemenangan kepada PAS dan Pakatan Rakyat Perak, Insyaallah.

Ustaz Abu Bakar Hussain
(Pesuruhjaya PAS Perak)








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.