UMNO/BN AMAL DEMOKRASI ZALIM- PESURUHJAYA PAS PERAK

28 09 2009

SDC11209

Ipoh, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, menyarankan kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno supaya segera mengundurkan diri dari persada politik negara. Tambahan, BN dan Umno sudah banyak membawa kemusnahan dan keruntuhan kepada rakyat negara ini melalui sistem amalan demokrasi yang zalim.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media terbarunya disini semalam.

“BN dan Umno sepatutnya sudah mengundurkan diri sebagai pemerintah dalam negara ini. Ini adalah kerana selagi mereka memerintah negara maka amalan demokrasi yang mereka amalkan banyak menzalimi rakyat,

“Akta seperti ISA adalah satu sistem lapuk penjajah yang masih lagi diguna pakai walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan melebihi daripada 52 tahun,” katanya.

Ujarnya lagi, Akta tersebut katanya jelas bercanggah dengan Islam yang melarang penggunaan sistem zalim dan menganiayai rakyat seperti yang diamalkan oleh BN dan Umno ini. “Amalan memenjarakan rakyat tanpa bicara ini adalah satu sistem zalim yang menzalimi rakyat kerana tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya,” kata beliau.

Lihat pula bagamana, umno/bn amat cekap dan bijak membazirkan wang rakyat. Menurut beliau rakyat masih ingat bagaimana, umno/bn juga berjaya membazirkan wang rakyat dalam isu pembinaan Zon Bebas Niaga Pelabuhun Klang (PKFZ). Projek yang diselubungi oleh pelbagai kontroversi tersebut menyaksikan pertambahan kos yang meningkat sebanyak RM3.5 billion daripada kos asal.

Tambah beliau lagi “Bukan sahaja Kerajaan gagal menyiasat kegagalan projek tersebut, ia sebaliknya bersetuju pula untuk memberikan pinjaman (soft loan) sebanyak RM4.681 billion kepada Port Klang Authority (PKA). Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menyatakan episod ini adalah satu daripada banyak contoh daripada kerajaaan yang mendedahkan konflik kepentingan, rasuah, dan salah pengurusan yang melibatkan ahli politik, ahli perniagaan dan penjawat awam.

Jelas Ustaz Abu Bakar lagi, rakyat disarankan supaya mengundurkan BN-Umno dengan tangan mereka melalui keputusan pilihan raya yang akan datang sekiranya Umno masih tidak mahu berundur.

Tambahnya, beliau yakin dengan kuasa yang ada pada rakyat, BN dan Umno dapat diundurkan dari terus memerintah negara dalam pilihan raya DUN Perak tidak lama lagi dan pilihanraya umum ke-13 yang akan datang.

“Hanya dengan mengundurkan mereka secara paksa oleh rakyat sahaja maka kestabilan politik, ekonomi dan sosial dapat dipulihkan kembali tanpa melalui proses-proses kezaliman, korupsi dan penganiayaan yang diamalkan oleh mereka,” tambahnya.





GANESAN TIADA HAK PANGGIL SIDANG DUN, PJ PAS PERAK

27 09 2009

ust speech

Ipoh, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menegaskan sekali lagi bahawa Yb V. Sivakumar adalah speaker yang sah, manakala Ganesan dengan jelas adalah speaker yang tidak sah kerana cara Ganesan dilantik sebagai speaker adalah tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

Beliau menegaskan bahawa “Kedudukan Ganesan hingga kini masih lagi tidak sah dan tidak jelas. Dan beliau telah melanggar Perlembagaan Negeri yang melarang seseorang memegang dua jawatan dalam satu masa. Beliau masih jadi peguam sewaktu dilantik jadi Speaker Dewan. Sebenarnya yang bermasalah adalah Ganesan bukannya Yb V.Sivakumar.”

“Kita juga sedia maklum apa yang diputuskan dalam Sidang DUN 2 september baru-baru ini adalah sah dan sama statusnya dengan sidang yang diadakan dibawah pokok kerana dihalang oleh umno/bn untuk adun-adun PR masuk bersidang secara baik di dalam dewan sebelum ini dan ianya adalah sah kerana pada satu-satu masa hanya boleh ada satu DUN sahaja. DUN di pengerusikan Ganesan tidak sah kerana kuasa mempengerusikan sidang DUN masih di bawah Yb V.Sivakumar,” katanya.

Tambah beliau lagi “ Seluruh rakyat Perak mengetahui bahawa Yb V. Sivakumar masih lagi Speaker Dewan kerana ia diangkat keluar dari Dewan secara paksa pada Mei lalu dalam cubaan rampasan kuasa Umno-BN, sememangnya insiden mengusung keluar secara paksa speaker dari dalam dewan adalah tindakan ganas umno/bn yang telah memalukan seluruh rakyat Negeri Perak”





PERUTUSAN HARI RAYA PESURUHJAYA PAS PERAK

19 09 2009

DSC_0204

BAGI pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Perak, saya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, hari kebesaran kurnia daripada Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan, berjihad dan bermujahadah dengan mengerjakan ibadat dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Ibadat yang melatih kita untuk menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah Taala. Hanya orang yang bertakwa sahaja yang menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dan Allah SWT melakukan nuzul Al-Quran pada bulan Ramadan. Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa.

Dalam masa yang sama, bagi menegakkan petunjuk ini, kita berdepan dengan cabaran. Al-Quran menjadi furqan, yang membezakan di antara hak dan batil, benar dan salah. Dengan petunjuk Al-Quran, kita menegakkan yang benar, menentang perkara yang bercanggah dengan Al-Quran.

Dengan semangat tarbiah melalui Ramadan, menjadikan diri kita orang yang beriman, yang bertakwa, yang kuat, yang sanggup menghadapi cabaran selepas Ramadan dengan mendapat pertolongan daripada Allah SWT, walaupun kita dikelilingi oleh musuh-musuh yang ramai yang tidak akan memberi kesempatan kepada Islam untuk tegak semula di bumi Allah SWT ini.

Dengan takwa dan iman yang yang kuat, kita yakin semua musuh itu adalah kecil apabila kita bersama dengan Allah SWT dan Allah SWT memilih pula di bulan Ramadan berlakunya kemenangan kepada umat Islam.

Dalam peristiwa Badar, Fathul Makkah, Ain Jalut dan penawanan Kota Belgrade di Balkan pada zaman Kerajaan Othmaniah dalam keadaan orang Islam dianggap lemah tetapi hati mereka ikhlas menyumbangkan pengorbanan harta benda dan jiwa raga disertakan dengan iman yang kuat, percaya kepada Allah SWT dan percaya kepada janji Allah SWT, dunia dan akhirat. Berbekalkan perkara-perkarta itu, Allah SWT memberikan kemenangan kepada generasi awal Islam.

Saya yakin dan percaya sekiranya umat Islam di zaman kini melaksanakan contoh dan teladan tersebut, mereka juga akan diberikan kemenangan sekali lagi oleh Allah SWT.
Marilah pada kesempatan ini, kita membaharukan semangat untuk meningkatkan lagi kerja dan amal kita dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT dan meningkatkan pengorbanan kita dalam perjuangan kita untuk meninggikan agama Allah SWT supaya agama ini tegak sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT, dalam Al Quran Karim.

Dalam masa yang sama, pada kesempatan ini, marilah kita menguatkan ukhuwah, persaudaraan di kalangan kita dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan umat Islam sehingga mereka tidak ada beza di antara satu sama lain. Mereka adalah satu ummah, laksana satu jasad yang bersambung di antara satu sama lain, sama-sama memikul tanggungjawab, bertolong menolong sama ada yang berkait dengan urusan agama dan dunia.

Dalam masa yang sama, membolehkan kita menyampaikan mesej kita kepada seluruh manusia untuk menyatakan bahawa kitalah yang menyelamatkan manusia yang sebenar di dunia dan di akhirat.

Mudah-mudahan dengan semangat ini, kita berjaya menjadi seorang Islam yang diterima oleh Allah SWT dan merealisasikan apa yang diperintahkan oleh Allah, firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam.” (Surah Ali Imran: 102)

Sekian, terima kasih.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillah il-hamd.

Al Fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain
( Pesuruhjaya PAS Perak Darul Ridzuan)





RAKYAT TERUS DINAFIKAN HAK BERSUARA OLEH UMNO/BN: PESURUHJAYA PAS PERAK

16 09 2009

ust speech

Pesuruhjaya PAS Perak hari ini menyatakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) merupakan parti llama yang lebih setengah abad di Malaysia dilihat semakin tidak relevan buat rakyat Malaysia kini. Ditanya mengenai kenyataan beliau baru-baru ini yang mengatakan BN bakal mengikut jejak langkah Parti Liberal Demokratik (LDP) seperti di Jepun, hal ini dapat dilihat melalui apa yang telah dilakukan oleh kerajaan UMNO dan Barisan Nasional di Perak secara khususnya.

Mengulas lanjut, beliau mengatakan UMNO seringkali bercakap soal demokrasi akan tetapi mereka lupa rakyat di negeri Perak sedang melihat perbuatan mereka dan rakyat lebih bijak menilai segala tindakan yang dibuat oleh mereka. Perubahan di dalam kerajaan berbentuk kosmetik yang dibuat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak juga tidak ubah seperti menampal perhiasan pada UMNO yang hakikatnya sudah banyak diselaputi krisis dalaman dikalangan mereka dan kepercayaan rakyat semakin hilang terhadap mereka.

Perlantikan semula Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kerja Kampung (JKKK) pada bulan April yang lalu telah menjadi tanda aras bahawa umno/bn begitu dahagakan kekuasaan tanpa mempedulikan suara rakyat yang telah membuat pilihan secara demokrasi sebelum ini. Ketua Kampung dan JKKK yang dipilih secara demokrasi dipilih oleh rakyat sebelum ini telah dikhianati secara terang-terangan oleh umno/bn,sememangnya ini menunjukkan keangkuhan umno/bn yang telah merampas kerajaan Perak yang sah dipilih rakyat pada pilihanraya umum yang lepas .

Selain itu,Permohonan Dewan Pemuda PAS Perak untuk berhimpun di Stadium Perak sepertimana yang ditawarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini jelas telah menunjukkan pembohongan pemimpin umno/bn terhadap rakyat. Pesuruhjaya PAS Perak itu turut menyatakan. ”Sebelum ini mereka (UMNO) tidak benarkan kita berdemonstrasi dan kita akur, tetapi bila kita minta seperti yang telah ditawarkan, mereka tolak,” bukankah ini satu pembohongan terhadap rakyat. Menurutnya lagi, hal ini serius memandangkan kerajaan umno/bn bertindak untuk menyekat hak rakyat iaitu kebebasan bersuara yang telah dijamin di dalam perlembagaan. Hatta di dalam Islam, kebebasan bersuara merupakan sesuatu yang dibenarkan.

Tambah beliau lagi, tindakan umno/bn yang menyekat rakyat menggunakan tempat-tempat awam seperti yang telah dilaksanakan semasa pemerintahan Pakatan Rakyat di Perak, merupakan satu usaha untuk menyekat budaya ilmu dan informasi di kalangan masyarakat. ”Mereka yakin dengan tidak memberi maklumat yang benar dan tepat pada rakyat, pada fikiran mereka, mereka mampu untuk kekal lebih lama,”. katanya lagi mengulas mengenai sikap UMNO yang sehingga kini masih belum berani membenarkan perhimpunan secara terbuka. . Menambah mengenai kegagalan umno/bn mempraktikkan demokrasi mengikut landasannya, mengakibatkan ”senjata makan tuan” rakyat kini sudah mengerti strategi umno/bn untuk terus memerintah negara ialah dengan membelakangkan kebenaran dan menutup segala kesalahan dan penipuan yang mereka lakukan dengan menggunakan segala medium yang ada agar rakyat tidak tahu kesalahan mereka, umno/bn semakin hari semakin ketakutan kerana hari demi hari belbagai pengkhianatan umno/bn kepada rakyat dibongkar oleh pemimpin umno/bn sendiri ditambah dengan kekuatan Pakatan Rakyat yang terus mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat dalam memimpin perubahan Malaysia ke arah menjadi negara yang lebih sejahtera dan berkeadilan, jelas beliau.





Isyarat penolakan rakyat terhadap pemerintahan umno/bn : Pesuruhjaya PAS Perak

13 09 2009

DSC_0127

Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional semakin kehilangan pengaruh dan sokongan di kalangan rakyat. Mengulas lanjut mengenai hal ini, Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussain mengatakan, hal ini dapat dilihat sendiri melalui kenyataan mentor kerajaan Barisan Nasional sendiri, Tun Dr Mahathir Mohammad yang mengatakan UMNO kini sedang mengikuti jejak langkah Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun.

Menambah mengenai mengenai kebobrokan UMNO dan Barisan Nasional, beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional sudah terlalu lama memerintah dengan korup dan sudah terlalu parah untuk diubati. Hal ini disahkan sekali lagi melalui kenyataan Tun Dr Mahathir yang mengatakan budaya rasuah di dalam UMNO yang mendakwa sebagai ketua gerakan di dalam Barisan Nasional, semakin menjadi-jadi. Hal ini menyebabkan parti-parti yang seangkatan dengan UMNO di dalam Barisan Nasional turut sama mengalami kehancuran.

Konflik dalaman MIC dan MCA yang begitu teruk menunjukkan adanya pro-kerajaan yang ada kini dan juga mereka yang ingin melakukan perubahan. Namun, seperti lazimnya, kerajaan kini terlalu angkuh dan enggan menerima perubahan yang menyebabkan Barisan Nasional itu sendiri semakin parah.

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak itu lagi, Pakatan Rakyat sebagai kerajaan menunggu atau “government-in-waiting”, katanya melihat perkara tersebut serius dan katanya, Pakatan Rakyat bersedia menjadi bahtera penyelamat buat mereka yang ingin bersama. “Kita selaku Pakatan Rakyat sentiasa menghulurkan tangan terbuka buat mereka yang ingin bersama dan meninggalkan Barisan Nasional” katanya.





PAKATAN RAKYAT PERAK, TERUS MENGANGKAT PERJUANGAN RAKYAT- PERSURUHJAYA PAS PERAK

9 09 2009

lawatan17

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyatakan bahawa, Pakatan Rakyat adalah wadah perjuangan rakyat demi meleraikan rantai yang mencengkam rakyat sejak lebih 52 tahun lalu dibawah cengkaman umno/bn, ini kerana pakatan rakyat membawa suara rakyat dalam memastikan rakyat Malaysia dapat mengecapi kebahagiaan sebagai rakyat bebas dari segala kezaliman dan penipuan pemerintahan

Gabungan tiga parti utama dalam Pakatan Rakyat adalah perjuangan untuk membela rakyat dari diancam segala kezaliman pemerintahan umno/bn selama ini, ini kerana pakatan rakyat menjulang tinggi harapan rakyat dalam membawa Malaysia ke arah negara yang lebih aman dan cemerlang di mata dunia. PAS, PKR dan DAP, mempunyai matlamat yang sama iaitu menumbangkan kezaliman umno/bn yang sememangnya tidak mampu lagi mentadbir negara ini dengan baik, jelas beliau.

Sepanjang tempoh Malaysia di bawah pemerintahan UMNO/Perikatan dan kemudiannya UMNO/BN, berjuta billion wang rakyat dan harta negara telah terlepas atau sengaja dilepaskan, tergadai atau digadaikan, terjual dan dijual kepada bangsa dan negara asing. Pemimpin UMNO dan sekutunya telah jelas memperlekeh dan meremehkan segala kepercayaan dan pengharapan yang telah disandarkan oleh rakyat kepada mereka selama ini, jelas beliau.

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga mempersoalkan beberapa isu penting bagi rakyat sebagai sandaran rakyat untuk menjamin kebahagiaan kehidupan mereka telah diabikan oleh umno/bn, beliau mengeluarkan beberapa bukti yang boleh dilihat oleh semua rakyat,

Pesuruhjaya PAS perak itu menyatakan kepimpinan umno/bn sekarang adalah kepimpinan yang rata-rata tidak berwibawa, tiada integriti, tiada moral, tiada keikhlasan. sebaliknya mereka sudah parah dan teruk teramat teruk kerana terpalit dengan rasuah, pecah amanah, salahlaku seks, moral dan berbagai lagi. cuma yang ada pada mereka bagaimana eksploitkan makna modal insan, integriti, wibawa, moral dan keikhlasan itu benar-benar menyebelahi mereka.

beliau juga mempersoalkan isu pecah amanah: pecah amanah dalam menjaga harta dan wang rakyat para pemimpin umno/bn terlibat seperti kes permit teksi ap sdan lain-lainlagi.

beliau juga membangkitkan isu rasuah kehakiman yang mana para pemimpin umno/bn bersekongkol dan terlibat dalam kes ‘rasuah kehakiman’ dalam kes ‘pita lingam dijadikan sebagai contoh rasuah umno dalam sistem kehakiman.

isu barangan asas rakyat juga, pemimpin umno/bn tidak serius mengatasi bebanan hidup rakyat akibat kenaikan harga keperluan asas seperti petrol, gas, tepong, gula dan lain-lain yang selama ini sangat membebankan rakyat.

oleh yang demikian Pesuruhjaya PAS Perak, menyeru seluruh rakyat perak, agar bersama-sama pakatan rakyat perak bagi memastikan kemenangan berpihak kepada rakyat sekaligus menumbangkan kezaliman umno/bn yang sudah lama bertapak selama ini.





PIMPINAN UMNO TOLAK ISLAM SEBAGAI DASAR PERJUANGAN PARTI UMNO: PESURUHJAYA PAS PERAK

8 09 2009

DSC_0036

8/9/09 Ipoh, Pesuruhjaya PAS Perak hari ini menegaskan bagaimana pimpinan umno nak bercakap berkenaan kebenaran Islam, apabila dasar Umno dari awal-awal lagi tidak berpaksikan Al-Quran dan Hadis. Umno parti kebangsaan dan dia sepenuhnya berteraskan kebangsaan. Jika ada pun Islam di sana sini, ia cuma bersifat ritual dan kosmetik yang direka-reka pemimpin umno untuk mengaburi mata rakyat, jelas beliau

Islam ini bukan jenis falsafah, atau jalan pemikiran semata-mata. Ia adalah himpunan wahyu yang terkumpul dalam sebuah Al-Quran Karim. Penterjemah atau Attorney General ialah seorang Nabi maksum terakhir bernama Nabi Muhammad S.A.W. Jika Umno sudah awal-awal lagi menolak Al-Quran dan mengambil kebangsaan, maka bagaimana Umno mahu mendakwa bahawa mereka pejuang Islam?

Pesuruhjaya PAS Perak itu menyeru seluruh rakyat Malaysia memikirkan mampukah parti umno yang dasarnya jelas-jelas menolak Islam menjadi golongan yang kononnya mahu mewakili suara majoriti umat Islam? Beliau mengeluarkan beberapa bukti untuk dilihat rakyat, pertama Umno menolak Islam boleh dilihat seawal-awal melalui sikap mereka semasa menggubal Perlembagaan. Bukti kedua ialah semua orang tahu yang Perkara 4(1) membelakangi Islam, bukankah ini bukti yang jelas bahawa selama ini umno hanya mempermainkan ajaran Islam. Sudah 52 tahun begitu dan Umno tidak nampak apa-apa tanda pun untuk memindanya. Bukti ketiga ialah di tahun 60-an, Umno pernah menanhjap ulama’ dan Tuan-tuan guru pondok dengan terus menggunakan ISA untuk menutup proses pengadilan melalui mahkamah. Keempat, tiap-tiap kali pilihan raya, Umno lawan sebuah parti yang dasarnya Islam. Kelima, Umno tolak Hudud.

Ustaz Abu Bakar Hussain juga menempelak ucapan yang dikeluarkan oleh Najib Tun Razak ketika pelancaran e-Qalam, pen digital Al-Quran dan portal pemasarannya melalui laman web yang dilancarkan semalam Najib Tun Razak, dalam ucapannya menyatakan “Al-Quran diturunkan di antaranya bertujuan memperbaiki keadaan manusia dan juga sebagai petunjuk ke jalan lurus yang diredainya. Melalui pemahaman yang betul, Al-Quran mampu memperkasa sesebuah bangsa dan negara,”, ini jelas sekali bertentangan dengan sifat yang ada pada dirinya dengan dipalitkan dengan belbagai skandal-skandal, rasuah, pecah amanah, menzalimi rakyat dengan akta-akta zalim dan juga dikaitkan dengan kes pembunuhan wanita Mongolia yang tersebar luas kesluruh pelusuk dunia berkenaan imej buruk yan dipalitkan pada beliau.

Pesuruhjaya PAS Perak itu menasihatkan najib agar segera melihat dan memahami amaran Allah SWT dalam Al Quran Karim, berkenaan dengan orang yang hanya bijak bertopeng dengan mengatakan berkenaan kebaikan tetapi dalam masa yang sama ia tidak lakukan apa yang dikatakan, dalilnya boleh dilihat dalam Surah As Saff ayat ketiga “amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu Yang kamu tidak melakukannya”.

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menyatakan, di bawah kepimpinan Umno, Islam semakin sehari semakin tidak bermaya. Rakyat telah disempitkan minda melalui proses “brain washing” yang panjang untuk melihat Umno dari perspektif Islam sederhana. Islam dalam bentuk yang lain di luar dari kerangka yang dijerat oleh Umno semua dikira melampau.

Dari tadika lagi minda rakyat diumpan dengan sekularisme hinggalah ke peringkat KBSR dan KBSM. Dari situ, belia dan remaja kita disogok pula dengan faham kebangsaan lanjutan melalui program PLKN. Proses indoktrinasi seterusnya bersambung dengan kem-kem Bina Negara dan berakhir dengan akujanji bagi setiap anggota penjawat awam. Lalu dari atas nama kuasa, satu jala besar OSA, ISA, Akta Polis, Akta Mesin Cetak, dan lain-lain telah dicampakkan turun untuk memberkas kebebasan rakyat keseluruhannya. Di setiap lompang waktu pula, minda rakyat terus diasuh dan diasak dengan pelbagai propaganda media.

Pesuruhjaya PAS itu juga menegaskan bahawa, di tangan sekumpulan pemimpin umno yang menolak ajaran Islam inilah, Negara Malaysia telah dipandu oleh “drebar-drebar” yang tidak berlesen. Di atas muka bumi Allah S.W.T. yang penuh dengan isyarat dan peraturan syariat tinggalan Nabi Muhammad S.A.W., Umno berlagak pandai mentadbir negara dengan pelbagai skim perundangan dan peraturan baru. Lantaran tidak memiliki “road tax” dan memandu secara songsang ini, Malaysia sentiasa diburu kecemasan dan mala petaka demi mala petaka. Umno tinggalkan roh dan cuma mementingkan jasad. Sepatutnya Islam diterima dengan iman, roh dan badannya. Iman untuk roh manakala syariat Islam untuk mengatur tubuh badan dan kehidupan, sebarang pembangunan wajib mengandungi komponen ini. Malangnya Malaysia dipimpin oleh orang-orang yang keliru dan mengelirukan orang. Kemudian Umno dianjur oleh pemimpinnya untuk bercakap mengenai Islam dalam keadaan yang dia sendiri tidak faham jelas Pesuruhjaya PAS Perak itu.

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga, menyeru kepada seluruh pemimpin umno agar memilih Islam sebagai wadah penyuluh kehidupan mereka, perjuangan berpaksikan Islam sahaja yang akan dapat mendapat pertolongan dari Allah SWT, dan ingatlah kuasa yang kita ada didunia ini hanyalah pinjaman dari Allah SWT, oleh itu janganlah kita mengkhianati tujuan sebenar Allah SWT ciptakan kita diatas muka bumi yang sementara ini, jelas beliau.








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.