TPM, DIGESA AMBIL TINDAKAN SEGERA – PESURUHJAYA PAS PERAK

29 10 2009

PA272101

IPOH, 29 Oktober – Berikutan pendedahan berkenaan jambatan gantung yang runtuh sehingga mengakibatkan seorang murid sekolah meninggal dunia dan dua lagi hilang dalam tragedi baru-baru ini dibina tanpa mendapat kelulusan Jabatan Kerja Raya (JKR), jelas mengecewakan semua pihak.

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, beliau menggesa agar Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhiyiddin Yassin bertanggungjawab sepenuhnya atas kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah JKR Perak Datuk Dr Safry Kamal Ahmad bahawa jambatan yang dibina tidak mendapat kelulusan dari pihak JKR.

Sebelum ini Muhiyyidin Yassin telah mengarahkan satu jawatankuasa siasatan ditubuhkan untuk menyiasat kejadian jambatan gantung yang runtuh itu, serta meminta jawatankuasa itu membentangkan laporan tersebut kepada beliau.

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak itu, Muhiyyiddin perlu bertindak segera atas pendedahan Pengarah JKR Perak itu, hal ini kerana beliau merupakan individu yang paling bertanggungjawab dalam kes ini, kerana beliau adalah Menteri Pelajaran Malaysia, jelas beliau

Memetik ulasan Pesuruhjaya PAS Perak itu “ Saya menggesa Menteri Pelajaran Malaysia segera menyelesaikan kes ini, jangan hanya menunggu laporan sahaja, tindakan perlu dilakukan dengan segera, insiden ini bukan perkara kecil, ia telah menyebabkan kehilangan nyawa manusia ” jelas beliau

Memetik ulasan beliau lagi “ Saya menggesa agar pihak kerajaan mengenalpasti siapakah pihak bertanggungjawab menjalankan projek membina jambatan gantung ini, Siapakah kontrektor yang bertanggungjawab terhadap projek ini, Mengapa projek ini dijalankan tanpa pengetahuan JKR, dan berapa anggaran sebenar jumlah wang yang dihabiskan untuk membina jambatan ini “

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak itu, semua persoalan ini perlu dijawab sesegera mungkin, sesungguhnya rakyat Malaysia mahukan penjelasan yang sebenar berkenaan insiden ini, hal ini penting supaya ianya dapat dijadikan iktibar bagi semua pihak, jelas beliau.





KESTABILAN POLITIK NEGERI PERAK PERLU DIKEMBALIKAN, DUN PERAK PERLU SEGERA DIBUBARKAN

25 10 2009

DSC_0013

Kenyataan Media (25 Oktober 2009)

KESTABILAN POLITIK NEGERI PERAK PERLU DIKEMBALIKAN,
DUN PERAK PERLU SEGERA DIBUBARKAN

Berikutan sidang DUN yang akan diadakan pada 28 Oktober 2009 ini, PAS Perak mendesak agar kestabilan perjalanan Dewan Undangan Negeri Perak berjalan dengan baik, perkara ini sangat penting kerana PAS Perak sangat menghormati pendirian rakyat yang telah membuang undi pada 8 Mac 2008 yang lalu dan hasil dari itu kerajaan Pakatan Rakyat diberi mandat untuk mentadbir Negeri Perak.

Berikutan surat panggilan yang telah dikeluarkan oleh YB V Sivakumar selaku Speaker Perak yang sah, untuk semua adun dari Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional bersidang pada 28/10/2009 ini. Maka PAS Perak mengharapkan agar perkara-perkara yang disebutkan diambil perhatian oleh pihak yang berkenaan:

Pertama : PAS Perak ingin menegaskan supaya pihak polis tidak campur tangan di dalam segala urusan sidang DUN yang akan dilakukan pada 28 Oktober ini. PAS Perak menegaskan agar insiden campurtangan pihak polis yang berlaku pada sidang DUN 3 Mac 2009, 7 Mei 2009 dan 2 September 2009 tidak berulang. Pada 3 persidangan yang lepas seluruh rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa pihak polis telah menghalang adun Pakatan Rakyat untuk bersidang bahkan telah mengganggu ADUN dari Pakatan Rakyat menunaikan amanah rakyat untuk mereka bersidang.

PAS Perak, sangat bimbang sekiranya berlaku sebarang kekerasan dari pihak Polis terhadap ADUN Pakatan Rakyat untuk bersidang sepertimana yang berlaku pada sidang-sidang DUN yang lepas, oleh itu bagi PAS Perak perkara seperti ini tidak boleh berulang sama sekali.

Kedua : PAS Perak menyeru agar pihak polis menjaga keselamatan ADUN Pakatan Rakyat daripada sebarang gangguan “samseng-samseng” yang tidak dikenali yang berkemungkinan akan muncul pada sidang dewan yang akan datang. PAS Perak melihat tindakan “samseng-samseng” yang tidak dikenali ini telah menimbulkan kekacauan pada sidang-sidang yang lalu harus dihalang daripada terus menimbulkan kekacauan. Tindakan mengheret Speaker YB V. Sivakumar pada sidang DUN yang lalu amat tidak bermoral dan melanggar etika kemanusiaan.

Sehubungan itu, kami amat berharap pihak polis dapat menghalang sebarang tindakan tidak bermoral yang mungkin dibuat oleh pihak “samseng-samseng” ini pada sidang DUN 28 Oktober ini.

Ketiga: Pimpinan PAS Perak juga bertegas agar pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) supaya tidak campur tangan di dalam urusan sidang DUN. Selaku kakitangan kerajaan dan berada di bawah kuasa eksekutif, SUK Negeri tiada hak untuk campur tangan di dalam hal kuasa legislatif iaitu kuasa yang ada pada sidang DUN. Pimpinan PAS Perak amat kesal di atas tindakan SUK Negeri yang melanggar arahan Speaker YB V Sivakumar di dalam persidangan yang lepas sehingga mengakibatkan huru-hara di dalam persidangan dewan.

Keempat: Sehingga kini, mahkamah masih lagi belum memutuskan siapakah Menteri Besar Perak yang sah, dan keputusan ini masih dalam urusan mahkamah, dan Berdasarkan keputusan terbaru juga, mahkamah tinggi telah membenarkan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar, dan enam lagi ADUN Pakatan Rakyat untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyatakan tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Perak iaitu Behrang, Cangkat Jering Dan Jelapang.

Perkara ini semestinya akan menyebabkan kecelaruan bagi sidang DUN yang akan diadakan ini. Sehubungan itu, PAS Perak mendesak agar DUN Perak segera dibubarkan bagi mengembalikan semula hak rakyat memilih kerajaan yang sebenar untuk mentadbir Negeri Perak, Bagi PAS Perak ini adalah jalan yang terbaik bagi mengelakkan berbagai lagi insiden yang akan berlaku pada masa akan datang selagi mana DUN Perak tidak dibubarkan

Dengan ini saya, selaku Pesuruhjaya mewakili seluruh pimpinan PAS Perak, akan terus konsisten menggesa agar DUN Perak segera dibubarkan untuk kita sama-sama menyelesaikan masalah yang timbul akibat daripada rampasan kuasa oleh pihak Barisan Nasional. PAS Perak menggesa supaya kembalikan semula hak rakyat, berikan mandat kepada rakyat tentukan siapa kerajaan pilihan mereka.

“ ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN ”

A.F USTAZ ABU BAKAR HUSSAIN

Pesuruhjaya PAS,

Perak Darul Ridzuan





PUASA SUNAT HARI KHAMIS, AMALAN AHLI PAS PERAK: PESURUHJAYA PAS PERAK

25 10 2009

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyeru agar semua ‘amilin gerakan Islam agar memperbanyakkan puasa sunat, terutamanya pada hari khamis. Beliau mengulas beberapa hadith Nabi Muhammad SAW antaranya:

1. Diriwayatkan dari ‘Aisyah r.a. menceritakan bahawa; “Adalah Rasulullah s.a.w. amat menjaga puasa pada hari Isnin dan Khamis”- (Riwayat Imam Tirmizi. Menurut beliau, hadis ini hasan soheh).

2. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda; “Dibentangkan amalan-amalan di hadapan Allah pada hari Isnin dan Khamis. Maka aku menyukai dibentang amalanku (di hadapan Allah) pada ketika aku berpuasa” – (Riwayat Imam Tirmizi).

Menurut beliau, hadith-hadith tersebut menceritakan kepentingan para pejuang gerakan Islam memperbanyakkan puasa sunat Isnin dan Khamis. Menurutnya lagi, sebagai petugas gerakan Islam, kita bukan sahaja menjadi ahli politik, bahkan kita juga adalah ‘abid dan juga ahli sufi seperti yang telah dikemukakan dalam usul pertama di dalam usul ‘isyrin oleh asy-Syahid Imam Hassan al-Banna. “Ibadah puasa bukan sahaja melatih diri menahan lapar dan dahaga, malah lebih daripada itu,” ujar beliau menerangkan kelebihan berpuasa. Menurutnya, kelebihan Allah SWT memfadhilatkan ibadah puasa kepada orang Islam adalah untuk mentarbiyah diri. Ibadah puasa sunat membentuk keikhlasan dalam diri kita melakukan amal ibadah kepada Allah SWT kerana ketika kita berpuasa, tiada siapa yang tahu samada kita berpuasa ataupun tidak, hanya diri sendiri dan Allah SWT yang mengetahui hakikat kita berpuasa.

Selain itu, beliau juga menegaskan agar puasa bagi petugas gerakan Islam, PAS khususnya, sampai kepada matlamatnya iaitu mentarbiyah ruhiyyah dengan menjaga mata, telinga, mulut dan hati daripada perkara-perkara lagho (sia-sia) dan jauh sekali maksiat. “Dengan berpuasa secara fizikal sahaja tidak akan menjadikan hati kita tunduk kepada Allah SWT dan merendahkan hawa nafsu, tetapi iltizam dalam diri untuk mentarbiyah hawa nafsu akan menundukkan hati untuk mencapai natijah puasa tersebut,” katanya lagi menceritakan pentingnya untuk petugas PAS berpuasa sunat Isnin dan Khamis.

Beliau juga menyeru agar para seluruh ahli PAS di Perak khususnya sebolehnya berpuasa setiap hari khamis, menurut beliau puasa hari khamis bagi PAS Perak merupakan satu perkara yang sangat sinonim yang mana ibadah sunat ini adalah antara ibadah yang disarankan oleh kepimpinan PAS Perak sebelum ini lagi.

“InsyaALLAH jika seluruh ahli PAS Perak istiqamah berpuasa setiap hari khamis, jemaah kita akan sentiasa mendapat kerahmatan dari Allah SWT.”, jelas beliau.





BUBAR DUN, PR PERAK SUDAH BERSEDIA

22 10 2009

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Pakatan Rakyat Perak tidak menolak kemungkinan desas desus bahawa Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan akan berlaku dalam masa terdekat.

Iklan

ImagePesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain ketika diminta mengulas perkara itu memberitahu spekulasi yang sedang bertiup kencang di negeri itu sekarang ini ada asasnya.

Antaranya kucar kacir dalam pentadbiran negeri dan keyakinan BN selepas menang pada Pilihan raya Kecil Bagan Pinang 11 Oktober lalu.

“Kemungkinan besar akan berlaku. Ada beberapa asas untuk saya berkata begitu, antaranya kucar kacir dalam pentadbiran negeri sekarang, contohnya GLC tidak berfungsi, masalah ketua kampung kena pecat dan banyak lagi,” katanya ketika dihubungi.

“selain itu, mereka juga sudah berkeyakinan diterima rakyat selepas menang di Bagan Pinang, dan yang paling akhir sokongan rakyat pada pelancaran 1Malaysia yang dilancar Datuk Seri Najib di sini baru baru ini.”

Bersedia atas segala kemungkinan yang bakal berlaku, PAS negeri katanya sudah mula menggerakkan jentera mereka bagi memastikan kerajaan negeri Perak kembali kepada Pakatan Rakyat.

“Kita sudah bersedia lama, dan terbaru pada 17 Oktober baru-baru ini kami telah mengadakan taklimat kepada seluruh PAS kawasan sebagai persediaan berdepan pembubaran DUN,” katanya.

ImageMengulas isu sama, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Meng juga yakin BN akan membubarkan DUN perak berasakan kemenangan besar pada PRK Bagan Pinang.

Menurutnya jika benar, ianya bertepatan dengan desakan rayat negeri itu selama ini yang mahu kerajaan negeri dipilih semula oleh mereka.

“Jika benar, ini memang hasrat rakyat. Mengikut pungutan suara gabungan NGO yang diumum minggu lalu, 10 ribu yang ditemuduga, 92.15 peratus bersetuju DUN Perak dibubarkan,” katanya ketika ditemui di parlimen pagi tadi.

Beliau yang juga ADUN Pantai Remis berkata, pakatan Perak sememangnya menunggu perkara itu berlaku sebagai penyelesaian terbaik kemelut negeri itu yang sudah berlarutan hampir sembilan bulan lalu.

“Kita bersiap sedia sepanjang masa, kita yakin prestasi 10 bulan memerintah Perak dan sengat kerjasama PAS-DAP-PKR memmbuatkan rakyat akan bersama kita,” ujarnya.

Krisis perlembagaan negeri Perak sekali lagi bakal mendapat perhatian apabila Speaker Pakatan, V.Sivakumar dan Speaker BN, R.Ganesan masing-masing memanggil sidang DUN pada tarikh sama 28 Oktober ini.

Kesemua ADUN pakatan mahupun BN telah menyatakan komitmen untuk hadir pada persidangan tersebut berdasarkan notis panggilan dari Speaker masing-masing.





PERHIMPUNAN AGUNG UMNO : JELAS UMNO BUKAN PARTI ISLAM

19 10 2009

SDC12342

Perhimpunan Agung UMNO ke-60 jelas menunjukkan UMNO bukan parti yang ingin membawa Islam. Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussein menyatakan, Malaysia yang berasal dari Tanah Melayu telah diterajui kebangkitannya oleh ulama’ yang tidak ingin melihat Islam jatuh di tanah air sendiri. Akan tetapi, hari ini, di Perhimpunan Agung UMNO yang menyatakan ingin memartabatkan tanah air, mereka membawa politik dalam negara yang tidak pernah membawa unsur Islam. Di dalam al-Quran, Allah SWT menyatakan

”Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” – Al Baqarah : 208

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Islam itu wajib diamalkan dari segala aspek kehidupan samada politik, ekonomi, sosial, kewangan, sukan dan lain-lain lagi.

Selain itu, beliau turut mengulas perhimpunan agung UMNO yang disifatkan bersejarah itu, langsung tidak mengandungi unsur dakwah. Dakwah merupakan nadi penggerak yang memastikan keadilan Islam yang tidak mengenal sempadan kaum dan warna kulit terus dilaksanakan di muka bumi ini, di Malaysia khususnya. Sepanjang 52 tahun UMNO memerintah, tidak ada langsung gerak kerja yang signifikan telah dilakukan oleh UMNO untuk menerangkan kebaikan Islam yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Hal ini menyebabkan rakyat tidak langsung tertarik dengan sistem hidup yang telah ditunjukkan oleh Islam bukan kerana mereka tidak mahukan cara hidup Islam, tetapi kerana masyarakat tidak mendapat maklumat yang tepat dari kerajaan di bawah pimpinan UMNO. Katanya lagi, kita boleh melihat bagaimana orang Melayu sehingga kini masih ada lagi yang meminum arak, malah menjadi peneraju syarikat arak. Malah, katanya lagi, meninggalkan solat yang merupakan tiang agama, menjadi perkara biasa bagi anak-anak muda kini. ”Kita di dalam PAS memandang serius soal aqidah umat Islam di negara ini”, katanya.

Menambah mengenai perhimpunan agung UMNO, katanya, mereka jelas sekali tidak menjaga soal tarbiyah. Tarbiyah merupakan tunjang kekuatan jatidiri umat Islam. Ia juga merupakan aspek terpenting dalam membentuk modal insan yang berkualiti. Kehilangan roh tarbiyah menyebabkan ahli-ahli UMNO tidak dapat merasai kekuatan perjuangan yang sebenar. Perjuangan mereka hanya bersempadankan Malaysia dan kaum Melayu. Mengulas mengenai ucapan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mengatakan tidak ramai sukarelawan di dalam UMNO, katanya, di dalam PAS, semua orang bekerja secara sukarela. Semuanya bercita-cita untuk syahid demi menegakkan Islam di muka bumi Allah SWT. ”UMNO jadi begitu sebab politik wang dah tepu di dalam UMNO”, beliau menambah mengenai kegagalan UMNO melahirkan ahli yang bekerja secara sukarela.

Perhimpunan agung UMNO yang berlangsung pada tahun ini bukanlah sesuatu yang berjaya buat UMNO. Jelas sekali, transformasi yang ingin dilakukan itu tidak menjanjikan masa depan yang cerah buat Malaysia. ”PAS selaku parti Islam tunggal di Malaysia, jelas sekali merupakan harapan buat rakyat Malaysia untuk melaksanakan pemerintahan yang jauh lebih beramanah dan adil buat semua tanpa mengira batas kaum dan warna kulit. PAS juga merupakan harapan rakyat untuk terus memperjuangkan Islam agar Islam terus hidup mekar di di muka bumi Malaysia”, katanya lagi mengulas mengenai peranan PAS yang harus dimainkan pada hari ini.





Teruskan Perjuangan Jentera PAS Perak

13 10 2009

ust bakar

• Saya selaku Pesuruhjaya PAS negeri Perak bersama-sama seluruh pimpinan dan ahli-ahli PAS negeri Perak mengucapkan jutaan terima kasih, jazakumullahu khairan kathira kepada semua petugas-petugas pilihanraya daripada PAS negeri Perak dari semua peringkat, samada JPN, Kawasan, Cawangan, Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat yang telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan komitmen.

• Bagi PAS negeri Perak saya mengharapkan dengan keputusan PRK DUN Bagan Pinang tersebut akan memberi suntikan dan semangat baru pada ahli dan pemimpin PAS di semua peringkat untuk bekerja keras mulai dari sekarang bagi memastikan kemenangan PAS dalam pembubaran DUN Perak yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi dan Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.

Ingatlah kita akan Firman Allah SWT:

Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segalasesuatu.( Ali Imran ayat 26)

• Semoga usaha mulia kita dalam memastikan Islam terus memimpin perubahan buat rakyat Malaysia mendapat keredhaan dan bantuan dari Allah SWT.

Ustaz Abu Bakar Hussain
(Pesuruhjaya PAS Perak)





RAKYAT MAMPU LAKUKAN PERUBAHAN: PESURUHJAYA PAS PERAK

9 10 2009

SDC11686

Ipoh, 9 – oktober Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain hari ini menegaskan bahawa kemenangan calon PAS di Bagan Pinang adalah penting kerana ia akan menjadi petanda bahawa rakyat telah hilang keyakinan terhadap Umno dan BN yang semakin berpecah antara parti komponennya dari hari ke hari. MCA sedang bergelut sesama mereka, MIC luka parah setelah gagal menundukkan diktator mereka, Gerakan sudah tinggal suku nyawa manakala Umno terus gagal apabila menaja seorang calon yang mereka sendiri sahkan terlibat dengan politik wang atau rasuah, jelas beliau.

Bagi Pesuruhjaya PAS Perak itu, rakyat khasnya pengundi di Bagan Pinang mempunyai peranan yang sangat besar. Pengundi Bagan Pinang bukan sekadar bertanggungjawab memilih wakil DUN mereka, tetapi kerusi Bagan Pinang juga menentukan politik masa depan Negara jelas beliau. Memetik kata-kata beliau “Tidak mustahil jika PAS menang di Bagan Pinang ini (kerusi kedua buat PAS di Negeri Sembilan),dan InsyaALLAH jika PAS diberi mandat oleh rakyat untuk menang maka senario politik negara juga akan turut berubah”. “Isyarat kuat dari rakyat Ahad ini tidak mustahil memungkinkan pimpinan dan ahli-ahli parlimen serta ADUN BN samada dari Umno atau parti-parti lain berfikir panjang dan menyemak semula pendirian serta pegangan politik masing-masing. Tolakkan rakyat terhadap BN berlaku terus-menerus walaupun Umno menukar ganti pimpinannya.” Tegas beliau

Beliau juga menasihati pemimpin-pemimpin umno supaya tidak berteduh di bawah pohon lapuk yang bakal rebah dan mencederakan diri sebaliknya bernaunglah di bawah pohon yang segar dan menjanjikan masa depan yang meyakinkan, jelas beliau lagi

Beliau juga begitu yakin jika para pengundi di Bagan Pinang termasuklah tentera yang merupakan pengundi pos, berani memainkan peranan dan membuat perubahan, ianya pasti akan melakar masa depan baru buat Negara Malaysia

Beliau juga turut menempelak umno BN yang terus melakukan provokasi dan penipuan untuk mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang itu. “Bermula dengan politik silap mata Azeez dan kini diikuti dengan projek “segera” yang satu ketika dahulu pernah ditolak oleh Presiden Umno sendiri iaitu Najib Tun Razak . Namun kini kita dapat melihat jalan-jalan terus diturap, sedangkan Najib pernah berkata BN tidak akan menggunakan taktik sebegini lagi dalam mana-mana pilihanraya.”

Beliau juga menyeru agar seluruh rakyat berani untuk melakukan perubahan dengan memilih calon dari Pakatan Rakyat untuk mewakili suara rakyat dalam membina sebuah Negara yang adil dan berkebajikan.





SOLAT HAJAT UNTUK KEMENANGAN ISLAM DI BAGAN PINANG – PESURUHJAYA PAS PERAK

9 10 2009

SDC11209

IPOH, 8 oktober – Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, meminta semua ahli PAS, pemimpin dan penyokong di semua peringkat mengadakan solat hajat bagi memohon pertolongan Allah SWT agar memberi kemenangan dan memelihara keselamatan para pejuang Islam yang sedang berjihad memenangkan Islam di Bagan Pinang dari segala perancangan dan perlakuan jahat yang akan dilakukan oleh sesiapa sahaja yang berniat jahat terhadap gerakan Islam PAS ini.

Beliau meminta seluruh para petugas PAS dan rakyat yang cintakan keamanan dan kestabilan politik memohon pertolongan Allah SWT agar memenangkan Islam, serta dijauhkan daripada usaha-usaha jahat musuh-musuh Islam.

Arahan itu dibuat ekoran markaz pemuda PAS di Bagan Pinang di ceroboh dan ada diantara pemuda PAS yang dipukul dengan senjata tajam dan merbahaya.

Memetik ucapan beliau “ Saya mengarahkan kepada semua ahli PAS Perak disemua peringkat, supaya melakukan solat sunat hajat secara berterusan, mohon kepada Allah SWT agar diberi kemenangan kepada PAS, diberi Kekuatan kepada PAS, semoga Allah SWT Sentiasa Membela, Memelihara dan Melindungi pejuang-pejuang PAS, dan semoga Allah SWT Satukan hati seluruh para pejuang Islam dan memfokuskan Matlamat Perjuangan PAS, iaitu menumbangkan kezaliman dan menegakkan Islam.”

InsyaALLAH dengan bantuan daripada Allah SWT, PAS akan beroleh kemenangan sepertimana yang pernah diberikan kepada tentera Allah SWT sebelum ini, seperti yang telah termaktub dalam Al Quran Karim, “Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang tentera-tentera, lalu Kami kirmkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya. Dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan” – Surah a-Ahzab ( 33 : 9), jelas beliau.





STRATEGI YANG MEMBUAHKAN KETAQWAAN:PESURUHJAYA PAS PERAK

7 10 2009

SDC12047

Pilihanraya kecil Permatang Pasir telah berlalu di dalam bulan Ramadhan. Dengan mengambil iktibar dan semangat Badar al-Kubra, para petugas Parti Islam Se-Malaysia menuju ke medan pertempuran di Permatang Pasir dengan tujuan meninggikan kalimah Allah SWT di muka bumi. Akan tetapi, episod Badar al-Kubra yang berlaku di dalam bulan Ramadhan telah berlalu, dan kini kemeriahan Syawal dirai dengan perasaan kemenangan.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain mengulas situasi semasa kini, melihat kepada konteks Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, mengaitkan ianya dengan sirah Nabi Muhammad S.A.W tentang peperangan yang berlaku di dalam bulan Syawal, iaitu Perang Ahzab. Peristiwa yang berlaku di dalam bulan Syawal pada tahun ke-5 Hijrah itu, hanya melibatkan 3000 orang tentera dibawah pimpinan Rasulullah SAW sendiri dan seramai 10000 orang tentera musyrikin yang membentuk barisan tentera Ahzab. Peperangan ini menyaksikan 2 perkara yang penting di dalam mana-mana pertempuran dan perlu bergerak seiringan, iaitu kebergantungan kepada Allah SWT dan juga kebijaksanaan merancang strategi.

Rasulullah SAW telah menggunakan strategi daripada Salman al-Farisi R.A untuk menghalang kemaraan tentera Ahzab daripada memasuki Madinah. Rasulullah SAW juga manggunakan Nu’iem Bin Mas’ud R.A, yang baru sahaja memasuki Islam, yang mana pada ketika itu belum lagi diketahui oleh pihak musuh keIslamannya, telah bertindak menyusup masuk dan mengadu domba barisan tentera Ahzab yang terdiri daripada Bani Quraisy, Bani Sulaim, Asad, Fazarah, Asyja’ dan Bani Ghatfan. Di dalam peperangan ini juga, Rasulullah SAW meminta Huzaifah al-Yamani meninjau kekuatan pihak musuh dengan memasuki kem Abu Sufian dan kemudian melaporkan kepada Rasulullah SAW kembali.

Peperangan Ahzab yang seringkali disebut dalam takbir hari raya, juga menunjukkan hanya Allah SWT yang berkuasa dalam menentukan kalah menang dalam satu perebutan kuasa. Di dalam peperangan Ahzab, Allah SWT, telah mengurniakan ribut taufan yang memusnahkan segala peralatan perang dan bekalan tentera musyrikin.

“Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang tentera-tentera, lalu Kami kirmkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya. Dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan” – Surah a-Ahzab ( 33 : 9 )

Menurutnya lagi, Pilihanraya Kecil (PRK) Bagan Pinang yang berlaku di dalam bulan Syawal telah menyaksikan suatu pertembungan di antara PAS dan Barisan Nasional. Memetik ucapan beliau ”Kita sebagai pihak yang ingin meninggikan kalimah Allah SWT di muka bumi, kita yakin, kita berada di pihak yang benar dan di dalam konteks pertembungan yang wujud di Malaysia, pilihanraya adalah medan yang sama buat para ’amilin di dalam PAS untuk berjuang menegakkan keadilan Islam di muka bumi Allah SWT”. “Dan kita yakin Allah SWT akan tetap bersama kita dalam memberikan kemenangan untuk kita walaupun dikatakan mereka mempunyai kelebihan undi pos. ”Dengan melaksanakan kerja dengan cermat berdasarkan 2 paksi yang telah disebutkan tadi, insya-Allah kita akan memperolehi kemenangan di Bagan Pinang”. ”Dengan kemenangan ini, kita yakin insya-Allah UMNO dan Barisan Nasional akan tumbang di Perak dan seterusnya di dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang akan datang”, katanya lagi mengulas mengenai nasib UMNO dan Barisan Nasional di Malaysia.

Beliau menasihatkan agar para pekerja parti yang terlibat dalam PRK Bagan Pinang dari Perak khususnya, agar tidak lupa menunaikan solat hajat kerana ianya merupakan salah satu amalan Rasulullah SAW di dalam Perang Ahzab.





SELAMAT BERJUANG JENTERA PAS PERAK DI BAGAN PINANG: PESURUHJAYA PAS PERAK

6 10 2009

SDC11927

Port Dickson, Pesuruhjaya PAS Perak hari ini memberi kata-kata semangat kepada seluruh jentera PAS Perak yang diamanahkan bertugas di bagan Pinang agar terus berjuang dan beristiqamah dalam memastikan kemenangan calon PAS, Saudara Zulkefly Mohamad Omar bagi memenangi kerusi Dun Bagan Pinang.

Beliau menyatakan bahawa kemenangan PAS di Bagan Pinang ini amat penting bagi membuka lembaran baru kebangkitan PAS di zon selatan tanah air ini.

Memetik ucapan beliau ” Permatang Pauh, Permatang Pasir, Penanti, Bukit Selambau, Bukit Gantang di utara telah mencatat sejarah kemenangan dalam pilihanraya kecil (PRK) kepada PR dengan pencapaian yang begitu baik. Manakala di Kuala Terengganu yang terletak di timur pula juga telah mengukir kemenangan apabila kita berjaya mengambil kerusi tersebut dari tangan BN.

“Kini tiba pula giliran Bagan Pinang yang terletak di selatan untuk memberi mesej yang lebih jelas kepada BN, bahawa rakyat pelbagai kaum di negara ini mahukan PR mentadbir Malaysia dan membuka lebaran baru untuk rakyat dalam membangunkan sebuah negara yang adil dan berkebajikan”.

Sehubungan dengan itu beliau berharap agar jentera PAS Perak sentiasa meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dalam setiap ibadah dan gerak kerja yang dilakukan, ini kerana kemenangan sebenar adalah apabila adanya bantuan Allah SWT dalam perjuangan kita, dan seluruh jentera PAS Perak juga perlu bersiapa sedia untuk menghadapi pembubaran DUN Perak yang akan berlaku tidak lama lagi. semoga momentum kemenanangan PR dalam PRK yang berlaku sebelum ini, memberi gambaran awal bahawa Perak akan kembali berada dibawah kepimpinan Pakatan Rakyat. jelas beliau








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.