Perutusan Aidil Adha : Pesuruhjaya PAS Perak

27 11 2009

!

Assalamualaikum wbt

Saya mewakili saf kepimpinan PAS Perak, ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya penduduk negeri Perak Darul Ridzuan. Marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari semangat pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S beserta anaknya Nabi Ismail A.S dalam meneruskan perjuangan menegakkan perintah ALLAH SWT. Hari Raya Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban yang mengingatkan kita kenangan ribuan tahun sebelum ini, bagaimana Nabi Ibrahim A.S, menunjukkan kepatuhan,ketaatan, pengorbanan dan kesabaran dalam menerima perintah ALLAH SWT. Atas nama sunah ini maka seluruh umat Islam di pelusuk dunia bagi yang berkemampuan telah menyembelih binatang ternakan sebagai tanda mengikut jejak langkah Nabi Ibrahim A.S. Kisah Nabi Ibrahim A.S baik ketika meninggalkan anak kecil dan isteri yang lelah di tengah padang pasir juga ketika menerima perintah ALLAH SWT menyembelih anak kesayangannya. Kesemua kisah itu dapat kita simpulkan kepada tiga;Pertama, asasnya adalah ketaatan yang kental kepada ALLAH SWT, Kedua, ‘Millah’ Nabi Ibrahim A.S ialah ALLAH SWT akan memberi hidayah kepadanya kerana semata-mata mentaati ALLAH SWT, Ketiga ialah keikhlasan dalam amalan. ALLAH SWT tidak menerima sesuatu amalan melainkan yang dikerjakan dengan penuh ikhlas dan semata-mata ditujukan kepada-Nya. Oleh sebab itu, penghayatan yang mendalam atas pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S wajar dicerna dalam segenap ruang hidup kita.Justeru, saya menyeru kepada seluruh umat Islam agar sentiasa membiasakan diri untuk mengamalkan sikap suka berkorban sepanjang masa dari segi wang, tenaga, masa, dan buah fikiran untuk kepentingan Islam itu sendiri.

Semoga kita semua diberi kerahmatan dari ALLAH SWT, dalam mengharungi cabaran dan dugaan ketika hidup diatas muka bumi ini, gunakan lah kesempatan yang ada untuk kita berkorban untuk ALLAH SWT.

Allahu akbar ! Allahu akbar ! Allahu akbar





BERSAMA RINGANKAN BEBAN MANGSA BANJIR- PESURUHJAYA PAS PERAK

23 11 2009

PAS Perak melalui Pesuruhjayanya melahirkan rasa simpati kepada semua mangsa yang terlibat dengan insiden banjir yang melanda kawasan utara Malaysia khususnya kepada rakyat Perak. Mengulas lanjut, beliau mengatakan, dalam keadaan seperti ini, ahli Jabatan AMAL memainkan peranan penting sebagai benteng paling hadapan untuk membantu mangsa yang dilanda musibah banjir, seluruh ahli PAS tidak mengira jawatan dan kedudukan perlu menjuarai isu-isu kebajikan rakyat di Perak ini.

Selain itu beliau juga menyatakan bahawa peranan seperti Jabatan AMAL juga perlu sentiasa diteruskan secara istiqamah kerana Islam amat menggalakkan kita sesama umat Islam bertolong-tolongan atas dasar kebajikan seperti mana yang telah dijelaskan di dalam ayat Allah SWT di dalam al-Quran Karim:

“Tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolongan dalam membuat dosa dan mungkar, bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras siksa-Nya”- Al-Maidah : 2

Menurutnya lagi, sebagai parti yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangannya, kita tidak seharusnya bersikap berat sebelah dalam membantu kerana mereka yang ditimpa musibah merupakan ujian daripada Allah SWT dan seharusnya kita bersikap terbuka dan profesional dalam menghulurkan bantuan. Katanya lagi, kita boleh melihat banyak sirah Nabi Muhammad SAW menghulurkan bantuan tanpa mengira latar belakang kerana sebagai pejuang Islam, kita sememangnya maklum bahawa dalam konteks ini, mereka merupakan mad’u yang mungkin diberi hidayah Allah untuk bersama dengan kita.





PESURUHJAYA PAS PERAK, ZIARAH MANGSA BANJIR DI BAGAN SERAI

20 11 2009

PAS Perak diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Perak Al Fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain bersama Timbalannya Al Fadhil Ust. Mustapa Shaari, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Ustaz Misbahul Munir Masduki, Pengarah Jabatan Amal Perak, dan beberapa anggota Jabatan Amal yang lain telah melawat mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Bagan Serai.

Rombongan PAS Perak disambut oleh YB Ramli Tusin, Adun Semanggol dan YB Husin Din, Adun Selingsing di Pusat Khidmat DUN.Kehadiran rombongan PAS Perak disambut gembira oleh Penghulu Bagan Serai, En. Nawawi bin Mohd Noor di Pusat Pemindahan Banjir SK. Bagan Serai. Mangsa-mangsa banjir kelihatan gembira melihat rombongan PAS Perak bersama ahli-ahli Yang Berhormat melawati mereka.

Di kesempatan itu, Pesuruhjaya PAS Perak, mengambil kesempatan memberi sumbangan kepada mangsa banjir bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka, beliau juga menggesa agar penduduk yang menimpa musibah ini sentiasa bermohon kepada Allah SWT, agar dimudahkan segala urusan dalam menghadapi ujian dari Allah SWT ini.





KENYATAAN MEDIA ( 15 NOVEMBER 2009 )

15 11 2009

SDC12800

PAS Perak, sentiasa memandang serius akan kemelut politik terkini di Perak. PAS Perak, berpendapat betapa konflik politik yang berterusan di Perak ini merupakan satu lagi ulangan sejarah hitam dalam demokrasi negara bilamana sebuah kerajaan sah yang diangkat melalui proses Pilihan Raya Umum Ke-12 akhirnya dijatuhkan secara tidak bermaruah dan ala “ gangster ” oleh kerakusa pimpinan UMNO / BN yang ternyata tidak dapat menerima hakikat akan penolakan rakyat serta kekalahan mereka dalam mana-mana Pilihan Raya di negara ini.

PAS Perak menempelak kepimpinan UMNO/BN supaya kembali melihat pengalaman sejarah politik tanahair yang lepas, yang satu ketika dahulu pernah membawa rakyat Malaysia, menyaksikan jatuhnya beberapa kerajaan negeri yang dipilih secara sah seperti Terengganu [1961], Kelantan [1978] dan Sabah [1994] gara-gara ketamakan kuasa Perikatan yang kini juga dikenali sebagai Barisan Nasional.

Hasil dari rampasan kuasa oleh pimpinan UMNO/BN di Perak ini, PAS Perak bependirian bahawa Barisan Nasional sememangnya sangat pakar darihal menggunakan strategi suapan kebendaan, pujuk rayu dan andainya itu semua tidak berjaya maka pimpinan UMNO/BN tanpa segan silu akan menggunakan pula strategi ugut dan ancam bagi memastikan kelangsungan agenda politik mereka.

PAS Perak, menyedari akan lakonan politik yang diwatakkan oleh pimpinan UMNO/BN yang bilamana mereka berjaya mengekalkan kuasanya dalam mana-mana pilihanraya mereka akan sering berlagak sebagai sebuah kerajaan yang baik dan meminta parti yang kalah untuk bersatu hati kononnya bagi membangunkan negara juga negeri, akan tetapi watak pimpinan UMNO/BN akan drastik berubah bilamana ia tewas dalam
pilihanraya. BN akan lupa akan nasihatnya sendiri dan akan berterusan menimbulkan huru hara serta kekacauan sehinggalah mereka menemukan apa yang mereka dambakan sepertimana yang berlaku dalam krisis perlembagaan terkini di Perak.

PAS Perak, berpendirian bahawa BN adalah punca pencetus huru hara dan porak peranda dalam politik negara setelah secara rakus selama lebih 50 tahun memporak perandakan ekonomi dan kekayaan negara.

PAS Perak, juga ingin menegaskan bahawa PAS bersama Parti Komponen Pakatan Rakyat tidak pernah kemaruk kuasa. PAS selama lebih 50 tahun berada di persada politik tanahair sangat konsistan untuk memelihara perpaduan bahkan kestabilan negara. PAS khususnya dan Pakatan Rakyat amnya sudah melalui siri pengalaman kalah dan menang dalam PRU secara matang. Bahkan kita bersedia untuk melepaskan pemerintahan Pakatan
Rakyat di Perak atau di mana-mana sahaja seandainya itu yang diinginkan oleh warga pengundi bagi mana-mana negeri kerana kita berpegang kepada prinsip kebenaran, keadilan dan keikhlasan pemimpin dan rakyat yang dipimpin.

PAS Perak, sangat menyedari betapa telah berlaku satu ”rampasan kuasa” di negeri Perak dan mahu agar semua institusi perundangan serta keadilan dalam negara ini mengambil pendirian yang jelas berpaksikan kepada prinsip berani kerana benar.

PAS Perak juga mempersoalkan sikap beberapa pihak berkuasa yang seolah-olah membutakan mata terhadap realiti sebenar permasalahan yang timbul di Perak sangat dipersoalkan. Tindakan SPR yang ternyata mendahului dan mengambil tugas mahkamah ternyata menjadi punca utama kepada kemelut yang diciptakan atas kepentingan pihak tertentu dan para pedagang yang bersuakakan kuasa.

PAS Perak beranggapan, satu perkara yang amat malang bagi pihak-pihak tertentu yang selama ini bercakap soal moral, penghormatan terhadap mandat rakyat, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang- Undang serta pemisahan kuasa di antara legislatif, eksekutif dan judiciary tetapi akhirnya tanpa rasa malu dan tanpa rasa bersalah membelakangi semua prinsip tersebut ketika mana membuat satu-satu keputusan yang sangat penting.

Bagi PAS Perak, sesungguhnya, perkembangan terbaru ini dipercayai akan menambah kemusnahan ke atas kepercayaan umum terhadap integriti semua pihak dan institusi yang terlibat dalam insiden ”rampasan kuasa” yang hakikatnya bukan menjadi budaya rakyat negara kita. Ketika ini kita seolah-olah disogokkan oleh pimpinan UMNO/BN dan konco-konconya dengan satu ajaran sesat dan budaya politik liar dalam subjek politik tanah air iaitu ”rampasan kuasa” dan tentunya ia bakal memberi implikasi yang sangat buruk juga ”signal” serta ”didikan yang sangat tidak baikkepada rakyat khususnya generasi muda.

PAS Perak inigin memberi amaran kepada kepimpinan UMNO/BN, sekiranya, insiden yang sama berlaku sekurang-kurangnya 15 tahun yang lepas iaitu di Sabah barangkali agak jauh untuk difahami dan diingati oleh kita khususnya generasi muda, maka apa yang dilakukan sekali lagi oleh BN dalam rampasan kuasa di Perak pada hari ini semestinya akan menjadi panduan yang sangat berharga dan bukti sejarah paling terkini untuk
rakyat Malaysia mengusung janji bagi menamatkan kuasa UMNO-BN di negara Malaysia ini pada PRU-13 yang akan datang.

PAS Perak, sangat bimbang terhadap segala kecelaruan yang berlaku di Perak dan PAS Perak sentiasa mendesak agar demokrasi di negeri Perak dipulihkan segera dengan memberi laluan kepada Pilihan Raya bagi keseluruhan kerusi DUN Perak.

PAS Perak , menjunjung kasih ke bawah Duli As Sultan Perak sebagai idola rakyat yang mendambakan keadilan dan sebagai ikon kita rakyat Malaysia; PAS Perak merafak sembah, merendah hina agar institusi mulia ini meneliti kembali realiti sebenar kemahuan rakyat jelata. PAS Perak menegaskan bahawa semua itu akan nantinya terjawab secara jujur menerusi pemilihan di peti undi.

Akhirnya, PAS Perak menyeru seluruh rakyat jelata agar tidak terjebak dengan emosi perkauman sempit dan melulu yang dibawa oleh pimpinan UMNO/BN dalam menghadapi krisis ini. Kita akan hadapinya dengan penuh kewarasan dan sunggu benarlah Jihad Yang paling Besar Adalah Berkata Benar Di Hadapan Pemimpin Yang Dzalim.

” ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN ”

A.F USTAZ ABU BAKAR HUSSAIN
Pesuruhjaya PAS,
Perak Darul Ridzuan





PESURUHJAYA PAS PERAK, MELAWAT MANGSA BANJIR LENGGONG

13 11 2009

100_0733

LENGGONG: Sebanyak 30 mangsa banjir di beberapa kampung di sini yang dianggap paling layak menerima bantuan, diberi sumbangan berupa beras dan barangan dapur ala kadar oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain.

Ustaz Abu Bakar yang datang bersama Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki turut membuat penyerahan sukarelawan daripada Unit Amal (UA) dan pemuda-pemuda PAS tempatan yang ditugaskan untuk membersih rumah-rumah mangsa banjir.

Kehadiran mereka berdua yang sampai jam 10.45 pagi disambut oleh Yang Dipertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria serta AJK PAS Kawasan. AJK Dewan Pemuda PAS Lenggong dan anggota-anggota Unit Amal di Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam (PASTI) Kota Tampan Air.

Sebelum gerakan menyampaikan bantuan ziarah mangsa-mangsa banjir di Kampung Banggong Bor, Banggol Belimbing, Banggol Batu dan Taman Kota Tampan, mereka berdua terlebih dahulu dibawa ke Masjid Jamek Lenggong untuk menunaikan solat jenazah.

Ustaz Abu Bakar sendiri telah mengimamkan solat jenazah seorang ahli PAS Kampung Pecah Batu, Lenggong yang meninggal dunia petang kelmarin (semalam) dengan dimakmumkan lebih 100 penduduk kebanyakannya pimpinan dan ahli PAS kawasan.

Seterusnya Pesuruhjaya PAS Perak itu, telah dibawa melawat ke rumah-rumah mangsa banjir dua hari berturut-turut sambil menyampaikan bantuan serta membuat penyerahan anggota-anggota Unit Amal untuk tugasan kerja-kerja membersih rumah mangsa.

Sementara itu, Razman berkata, kerja-kerja pembersihan rumah telah dilakukan sehari suntuk kelmarin, bagaimanapun selepas malam kedua berlaku banjir lumpur sekali lagi, kerja-kerja pembersihan oleh kira-kira 30 petugas dilakukan semula.

Katanya, dalam kejadian banjir pertama lebih 200 keluarga (72 di Taman Kota Tampan, lebih 30 di Kampung Banggol Batu, lebih 30 di Kampung Banggol Belimbing dan kira-kira 20 di Chain dan Batu Dinding) dilanda banjir lumpur mulai jam 12.30 malam dan surut jam 8 pagi.

Pada malam kedua (semalam) rumah-rumah yang sama dilanda banjir sekali lagi mengalami masalah akibat limpahan air Sungai Nerok selepas hulan berjam-jam pada sebelah petang membawa ke malam, katanya.

Turut dilanda banjir ialah, katanya ialah Masjid Banggol Batu, Sekolah Agama Rakyat Taman Kota Tampan, Surau Taman Kota Tampan, Dewan Tabika kemas Banggol Batu, Dewan Serbaguna Taman Kota Tampan, Dewan Orang Ramai Banggol batu dan lima buah premis kedai di taman Kota Tampan.





PESURUHJAYA PAS PERAK LETAK HARAPAN TINGGI KEPADA PASTI

10 11 2009

DSCN6292

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, dalam kenyataannya beliau meletakkan satu harapan yang tinggi kepada PASTI agar menjadi duta kepada jemaah PAS kepada masyarakat. Menurut beliau, ini kerana PASTI sangat dekat dengan masyarakat melalui pelbagai aktiviti yang boleh dijalankan selain aktiviti pengajaran & amp pembelajaran di bilik darjah.

Melihat prestasi cemerlang PASTI negeri Perak dalam meningkatkan jumlah kelas dan murid PASTI setiap tahun, Ustaz Abu Bakar Hussain sangat yakin, suatu ketika nanti PASTI akan diterima oleh seluruh lapisan masyarakat di Perak.

Menurut beliau, guru PASTI juga sangat tinggi pengorbanannya, elaun yang diterima tidak seberapa, tetapi semangat dan komitmen mereka dalam mencurahkan bakti dan ilmu kepada murid-murid wajar dipuji. Mereka bukan sahaja terlibat dengan aktiviti pendidikan malahan terlibat dengan aktivti kemasyarakatan melalui penglibatan mereka yang aktif dengan Mulsimat, Nisa’ dan Jentera Pilihanraya Kawasan.

Badan Perhubungan PAS Perak, mengucapkan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Perak dan Jabatan PASTI Perak atas usaha gigih yang dilakukan, semoga dengan usaha dakwah yang mulia ini, PASTI akan melahirkan ramai lagi anak-anak yang dapat mengenali dan mempelajari ajaran Islam sedari mereka kecil lagi, jelas beliau.





KOMPONEN BN SEMAKIN RAPUH

8 11 2009

Krisis yang dialami oleh parti-parti komponen Barisan Nasional menunjukkan bibit perpecahan yang ada dalam Barisan Nasional. Memetik ucapan Ustaz Abu Bakar Hussain Pesuruhjaya PAS Perak beliau menyatakan, “ kini semua orang dapat melihat bagaimana krisis dalaman yang berlaku kepada UMNO, MCA, MIC serta parti komponen yang berada dalam BN begitu kronik sekali keadaannya” “ Buktinya kita dapat lihat, beberapa parti komponen Barisan Nasional mengadakan Extraordinary General Meeting (EGM) kerana saling tidak mempercayai antara satu sama lain”

Krisis dalaman BN ini semakin teruk apabila baru-baru ini ahli parlimen Sri Gading meminta Presiden Gerakan meletakkan jawatan, ini jelas menunjukkan mereka yang berada di dalam Barisan Nasional sendiri mempersoalkan kabinet yang telah mereka buat jelas Pesuruhjaya PAS Perak itu. Menambah mengenai keampuhan Barisan Nasional, beliau berkata, Barisan Nasional sebenarnya masih belum berjaya mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia, sebaliknya UMNO yang kononnya bertindak sebagai ketua di dalam Barisan Nasional sendiri berpecah sesama sendiri, walaupun 52 tahun Malaysia mengecapi kemerdekaan, kita boleh melihat bagaimana sifat perkauman masih menebal dalam hati setiap parti komponen BN terutamanya UMNO dan perkara ini jelas menunjukkan bagaimana mereka yang berjuang di atas nama perkauman, kebangsaan ataupun atas nama tanah air tidak akan kekal lama.

Krisis yang berlaku dalam komponen-komponen BN menunjukkan BN kini sedang berpecah. ”Empangan yang besar pecah bermula dari retak-retak kecil”, kias beliau mengenai Barisan Nasional yang kini dilihat tidak relevan buat rakyat Malaysia yang kini lebih terdedah dengan pelbagai sumber maklumat.





KRISIS PERAK : IMEJ MALAYSIA BURUK DIMATA MASYARAKAT DUNIA

4 11 2009

IPOH 4 November : Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain hari ini sekali lagi menggesa agar kerajaan UMNO dan Barisan Nasional Perak hentikan penipuan terhadap rakyat dan jangan sesekali menzalimi rakyat Perak. Beliau mengatakan, natijah daripada tindakan gelojoh UMNO dan Barisan Nasional merampas kerajaan Perak dengan membelakangkan undang-undang dan perlembagaan Perak, Malaysia kini dilihat semakin lemah di mata dunia. Perkara ini akan menyukarkan Negara Malaysia berhadapan dengan globalisasi dunia .

Menurut beliau lagi Dalam usaha kita menjalin hubungan dengan negara luar, sudah tentu Malaysia akan dilihat sebagai negara yang terkebelakang berbanding negara lain, akibat krisis pelanggaran demokrasi di Negeri Perak ini.

Katanya lagi, perkara ini adalah disebabkan oleh ketiadaan pengasingan kuasa akibat daripada pelanggaran kuasa yang telah dibuat oleh Barisan Nasional. Menurut Perlembagaan Persekutuan, ketiga-tiga badan iaitu badan perundangan (legislatif), badan pentadbiran (eksekutif) dan badan kehakiman (judiciary) adalah 3 badan yang berasingan yang tidak boleh dicampuri apalagi dirosakkan, perkara ini sangat penting bagi mengelakkan pemusatan kuasa oleh mana-mana badan.

Memetik ucapan beliau ”Akan tetapi, apa yang menjadi masalah kini, UMNO/BN adalah pencetus dan penggerak dalam merosakkan keharmornian ketiga-tiga badan ini di Negeri Perak ” ”Selain daripada itu, tindakan UMNO mengenepikan undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak juga merupakan satu lagi pencabulan undang-undang oleh UMNO dan Barisan Nasional di Negeri ini ”.
Menurut beliau lagi akibat tindakan UMNO/BN ini, krisis Perak ini telah mengundang pemerhati politik dari seluruh dunia untuk memerhatikan politik kotor UMNO/ BN di Perak ini.

Natijahnya, politik Perak bukan dilihat sebagai rujukan yang baik untuk dicontohi akan tetapi, rujukan bagaimana sebuah sistem demokrasi boleh diruntuhkan oleh kuasa autokrasi perakar ini terbukti dalam perancangan rampasan kuasa kerajaan negeri oleh UMNO/BN di Perak ini. Jelas beliau.





SOLAT HAJAT UNTUK KEMENANGAN RAKYAT – PESURUHJAYA PAS PERAK

4 11 2009

DSC_0037

IPOH, 4 November – Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain,
meminta semua ahli PAS, pemimpin dan penyokong di semua peringkat
mengadakan solat hajat bagi memohon pertolongan Allah SWT agar memberi
kemenangan dan memelihara keselamatan Dato’ Seri Ir Haji Mohamad
Nizar Jamaluddin, yang mana pada esok hari akan diputuskan di Mahkamah
Persekutuan, siapakah Menteri Besar Perak yang sah disisi undang -
undang.

Beliau meminta seluruh ahli PAS dan rakyat yang cintakan keadilan
memohon berdoa memohon pertolongan dari Allah SWT agar keputusan
tersebut berpihak kepada Dato’ Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaluddin ,
serta dijauhkan dari perancangan jahat musuh-musuh Islam

Memetik ucapan beliau “ Saya mengarahkan kepada semua ahli PAS Perak
disemua peringkat, supaya melakukan solat sunat hajat secara
berterusan, mohon kepada Allah SWT agar diberi kemenangan kepada PAS,
diberi Kekuatan kepada PAS, semoga Allah SWT Sentiasa Membela,
Memelihara dan Melindungi pejuang-pejuang PAS, dan semoga Allah SWT
Satukan hati seluruh para pejuang Islam dan memfokuskan Matlamat
Perjuangan PAS, iaitu menumbangkan kezaliman dan menegakkan Islam.”

InsyaALLAH dengan bantuan daripada Allah SWT, PAS akan beroleh
kemenangan sepertimana yang pernah diberikan kepada tentera Allah SWT
sebelum ini, seperti yang telah termaktub dalam Al Quran Karim, “Hai
orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah
dikurniakan) kepadamu ketika datang tentera-tentera, lalu Kami kirmkan
kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu
melihatnya. Dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan” –
Surah a-Ahzab ( 33 : 9), jelas beliau.





PESURUHJAYA PAS PERAK : RAKYAT LEBIH MEMAHAMI ISLAM DI BAWAH KERAJAAN PAKATAN RAKYAT.

1 11 2009

DSC_0529

Melayu dan Islam sememangnya suatu yang sinonim di Malaysia. KeIslaman bangsa Melayu di Tanah Melayu dapat dilihat melalui peristiwa keIslaman Parameswara. Malah, penemuan batu bersurat di Tanah Melayu menunjukkan Islam telah lebih awal sampai di Tanah Melayu.Justeru itu Negeri Perak juga pada suatu ketika dahulu pernah mengamalkan undang-undang Islam iaitu Undang-undang 99 Perak. Jelas Ustaz Abu Bakar Hussain Pesuruhjaya PAS Perak, Menurut beliau lagi, Islam sebenarnya telah lama bertapak hasil daripada kerja dakwah berterusan para pendakwah Islam di seluruh dunia.

Menurut beliau lagi, PAS ialah gerakan Islam tunggal di Malaysia yang menggerakkan jihad siyasi (politik) dengan menggunakan wadah berpolitik untuk berdakwah. Gerakan memperjuangkan Islam yang tidak pernah putus sejak sebelum merdeka ini, telah didaftarkan secara rasmi menggunakan medium sebuah parti iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengikuti kehendak kerajaan untuk memberikan lebih ruang untuk menggerakkan dakwah Islam di Malaysia. Selain itu Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menyatakan bahawa segala hasil daripada gerak kerja Islam yang dilakukan oleh PAS selama ini, rakyat dapat melihat dan mengenali ajaran Islam yang sebenar yang dianjurkan oleh Islam. Sebaliknya rakyat semakin keliru melihat model Islam yang dianjurkan oleh UMNO dan hasil daripada itu telah menyebabkan rakyat semakin jauh dari memahami Islam yang sebenar.

Menurut beliau lagi Hasil daripada dakwah yang dibuat oleh gerakan Islam PAS ini, kita dapat melihat bagaimana bukan sahaja masyarakat Melayu yang dapat memahami kebaikan dan kehebatan Islam, malah masyarakat bukan Melayu yang bukan Islam juga dapat memahami Islam yang sebenar.

Menurutnya lagi, di Perak khususnya, kita dapat melihat bagaimana sepanjang pemerintahan Pakatan Rakyat selama 10 bulan, ADUN PR yang bukan Islam dapat memetik beberapa terjemahan ayat al-Quran yang mana ada di kalangan orang Islam yang belum pernah terfikir menggunakan ayat itu dalam kehidupan. Malah, ada di kalangan ADUN PR yang bukan Islam mampu membaca ayat al-Quran, selain itu kita juga dapat melihat bagaimana kaum bukan Islam semakin memahami ajaran Islam sebenar yang diterjemahkan dalam perjuangan PAS, kaum bukan Islam juga dapat mempelajari sedikit sebanyak ajran-ajaran Islam bahkan jiwa mereka semakin tertarik untuk memahami ajaran islam .

Memetik ucapan beliau ” PAS melihat perkara ini sebagai peluang untuk melebarkan dakwah Islam, yang menjadi asas pergerakan PAS. ”Kita melihat ini perkembangan yang baik buat Islam, dan kita tidak menghalang masyarakat mengenali Islam secara lebih dekat”, katanya.

Mengulas mengenai perjuangan UMNO, Pesuruhjaya PAS Perak itu menyatakan bahawa, masyarakat kini semakin keliru dengan Islam bawaan UMNO. Asas pergerakan yang tidak berpaksikan Islam dan hanya berdasarkan materialistik semata-mata, menyebabkan rakyat semakin tidak berminat kepada Islam. Doktrinasi yang dibawa mereka seperti Islam Hadhari, 1 Malaysia menyebabkan rakyat keliru dan mempersoalkan kredibiliti kepimpinan tertinggi UMNO yang dilihat tidak konsisten kesefahaman di antara seorang pemimpin dengan yang lain. Menurut beliau lagi, masyarakat Melayu yang suatu ketika dahulu kuat pegangan Islamnya, kini semakin ramai yang tidak memahami Islam secara sempurna di bawah pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional, Sebenarnya UMNO hanya mementingkan pembangunan semata-mata tanpa mempedulikan agama lagi,”

Selain itu, beliau juga menyelar kerajaan UMNO dan Barisan Nasional kerana sudah 52 tahun memerintah, tetapi rakyat semakin fobia dengan ajaran Islam. Mereka hanya menggunakan Islam untuk mengekalkan kuasa politik, sedangkan PAS menggunakan kuasa politik untuk mengekalkan Islam”, katanya lagi menerangkan mengenai perbezaan Islam bawaan UMNO dan PAS.








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.