ICT ASET PENTING KEPADA PENGGERAK KEBENARAN

29 12 2009

BUKIT GANTANG, 29 Disember, Pesuruhjaya PAS Perak dalam ucapannya di konvensyen IT PAS Negeri Perak, menyatakan bahawa teknologi ICT adalah satu aset yang sangat penting kepda pendokong kebenaran di seluruh dunia.

Menurut beliau, apabila kita membicarakan tentang penggunaan ICT, kita sebenarnya tidak boleh lari daripada pendedahan dunia Internet. Sistem inilah yang membuatkan perhubungan menjadi semakin pantas, canggih dan mencabar. Sekali gus, memberi kesan yang besar kepada cara manusia berinteraksi dan berkomunikasi.

Memetik ucapan beliau “ Penggunaan alat ICT pada hari ini bukan sekadar Internet dan komputer tetapi lebih daripada itu antaranya; perisian multimedia, power point, animasi, telefon bimbit, gerbang sesawang, jaringan sosial Internet, perpustakaan digital, permainan atas talian dan banyak lagi ”.

Tambah beliau lagi,, umat Islam seharusnya memanfaatkan perkembangan teknologi maklumat dan seterusnya mengambil pakai kecanggihan teknologi bagi menonjolkan ciri-ciri umat Islam yang mampu memahami keupayaan dan kaedah penggunaan ICT demi memakmurkan bumi.

Walau bagaimanapun, dalam kita menggunakan teknologi yang semakin canggih ini, seharusnya perlu dilihat kesan yang memudaratkan sekiranya pembangunan tidak mengikut acuan Islam yang betul.

Menurut beliau lagi, PAS Perak amat menekankan agar seluruh ahli dan pimpinan PAS Perak supaya menguasai ICT, memandangkan generasi zaman sekarang yang seolah-olah tidak boleh dipisahkan dengan teknologi.

Beliau juga menekankan betapa perlunya elemen ilmu yang berlandaskan al-Quran dan sunnah dalam berinteraksi dengan dunia ICT terutamanya dalam penggunaan internet. Sebagai umat Islam kita perlu mengawal dan menguasai teknologi, bukannya teknologi mengawal kehidupan kita,” tegasnya.

Menurut beliau lagi Kenyataan bahawa “ Islam sesuai di sepanjang masa dan di sebarang tempat ” serta pemikiran tentang adanya aspek tetap dan fleksibel memberi kelebihan kepada Islam untuk berfungsi sebagai agama yang benar sehingga hari akhirat.

“Dalam konteks pengunaan teknologi terutamanya media baru yang menggabungkan media penyiaran, komputer dan satelit, aspek yang tetap dan yang fleksibel masih tetap berperanan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup di majlis itu.

Justeru itu beliau berharap agar lujnah IT PAS Perak, meningkatkan lagi gerka kerja yang terbaik dalam memastikan Islam dapat dimakmurkan serta kezaliman dapat ditumbangkan hasil dari penyampaian sumber maklumat yang tepat lagi benar dari PAS di Negara ini.





Tahniah, dan Teruskan Usaha Dakwah Dewan Pemuda PAS Perak

29 12 2009

Tahniah diucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Perak, kerana berjaya mengadakan pertandingan futsal piala Pesuruhjaya PAS Perak.

Sememangnya program seperti ini sangat penting kerana ia adalah medan mengeratkan ukhuwwah seluruh ahli pemuda PAS Perak di setiap kawasan. Semasa bertemu ahli-ahli boleh saling bertanya khabar dan mengetahui perkembangan organisasi. Ini penting untuk mengeratkan lagi ukhuwwah dan kesatuan organisasi bagi melancarkan agenda dakwah.

Selain itu saya melihat aktiviti riadah berfutsal yang dianjurkan oleh pemuda PAS Perak ini boleh dijadikan medan mengumpul mad’u yang baru. Riadah boleh dijadikan masa untuk bertemu dan saling berkenalan. Dengan berkenalan akan timbul kesefahaman dan kasih sayang yang merupakan asas dalam dakwah.

Selain itu, program riadah dapat membentuk akhlak muslim. Ketika bersukan pastinya akan ada kekasaran. Kadangkala juga seorang itu akan diuji sejauh mana dia jujur dengan kesalahan yang dilakukannya ketika bersukan. Oleh itu dari kekasaran akan terbentuknya sifat kemaafan dan kejujuran menanamkan sifat sering merasai pemerhatian oleh Allah (ma’iyatullah).

Sehubungan dengan itu, penghayatan terhadap kepentingan riadah pula adalah sebahagian daripada fikrah Islam yang syumul. Sebuah organisasi yang membawa fikrah yang syumul harus merialisasikan apa yang didokongnya.

Tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Perak kerana berjaya menjadikan riadah sebagai salah satu wasilah kepada dakwah, tarbiyah dan siasah, teruskan segala usaha murni dalam meneruskan gerak kerja Islam.

ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN

Al Fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain
Pesuruhjaya PAS Perak





Desakan keluar Pakatan, seperti usaha kudeta UMNO Perak –Pesuruhjaya PAS Perak

28 12 2009

IPOH, 28 Dis. Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussain tidak menolak kemungkinan bahawa demontrasi pemuda mendesak PAS supaya keluar dari Pakatan Rakyat di Selangor merupakan suatu usaha menjatuhkan kerajaan negeri itu.

“Saya tak tolak kemungkinan ia suatu usaha mereka (Umno) untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, seperti kudita yang mereka buat di Perak,” jelasnya

“Semacam di Perak, mereka (Umno) cuba adakan pelbagai helah dan demontrasi, modul ini yang kita lihat di Selangor sejak Umno tak perintah kerajaan negeri itu lagi.”

Selain menyamakan demontrasi tersebut dengan Demontrasi Mengarak Kepala Lembu September lalu, beliau mengganggap demontrasi tersebut dilakukan oleh segelintir yang kecewa melihat PAS bersama-sama Pakatan Rakyat memerintah Selangor sejak 8 Mac tahun lalu.

“Sama seperti demontrasi kepala lembu berdarah sebelum ini, perhimpunan ini mungkin didalangi membabitkan mereka yang kecewa apabila Umno (dan) BN gagal menguasai (kerajaan negeri) Selangor,” jelasnya.

Sekiranya anggapan tersebut benar, beliau menasihatkan kepemimpinan PAS Negeri serta Pakatan Rakyat Selangor supaya tidak cepat melatah dengan aksi-aksi pemuda terbabit.

“Saya lihat PAS dan Pakatan sepatutnya tidak mudah melatah dengan permainan mereka (Umno) ini yang sengaja mencari isu (dan) jalan (tektik) walaupun tidak bermoral asalkan boleh boleh rampas Selangor seperti mereka kudeta Perak,” jelasnya.

“Keduanya, PAS dan Pakatan Rakyat sepatutnya lebih usaha mengeratkan persefahaman, semacam yang dituntut dalam Konvensyen (Pakatan Rakyat)
baru-baru ini.”

Semalam, lebih 20 pemuda melancarkan demontrasi kerana mengganggap PKR
dan DAP mengetepikan keberadaan PAS dalam Pakatan Rakyat ketika mentadbir negeri itu.

Mereka yang diwakili Wan Hilman Abdul Halim dilaporkan mahu menyerah memorandum kepada Pesuruhjaya PAS Datuk Dr. Mohd Hassan pagi tadi, namun gagal.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali kemudiannya mengarahkan Badan Perhubungan PAS Selangor supaya menyiasat dalang di sebalik perhimpunan misteri tersebut.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula menegaskan bahawa mereka yang
terbabit sebenarnya tidak mewakili PAS negeri itu.





PERUTUSAN AWAL MUHARRAM PESURUHJAYA PAS PERAK

17 12 2009

ASSALAMU ‘ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.Saudara-saudari muslimin-muslimat yang dihormati sekelian, Pada hari ini maka genaplah 1431 tahun sejak Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah dari Mekah ke Madinah.Demikianlah pentingnya penghijrahan ini sehingga tarikhnya dijadikan tarikh permulaan bagi perkiraan zaman Islam.Sebenarnya Nabi Muhammad s.a.w menerima wahyu yang pertama 13 tahun lebih awal dari penghijrahan ke Madinah. Penentuan penghijrahan sebagai tarikh permulaan zaman Islam tentulah mempunyai erti yang istimewa.

2. Jika kita kaji sejarah Islam dan sejarah dunia kita akan dapati bahawa penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. pada 1hb. Muharam tahun pertama Islam adalah satu peristiwa yang bukan sahaja membawa kesan kepada umat Islam pada ketika itu dan pada zaman ini tetapi bagi seluruh umat manusia. Dari tarikh itulah bermula perkembangan Islam dengan pesatnya ke seluruh dunia sehingga berlakulah perubahan-perubahan yang kekal hingga sekarang. Penghijrahan juga menjadi satu tauladan bagi umat Islam tentang kesabaran dan ketabahan hati dalam menghadapi penindasan dan cabaran yang mana inilah yang akhirnya membawa kejayaan.

3. Penghijrahan merupakan satu ikhtiar dan penyerahan kepada Allah Subhanahuwataala. Penyerahan sahaja tanpa ikhtiar tidak akan membawa kemenangan. Perjalanan dari Mekah ke Madinah yang jauh melalui padang pasir, dengan dikejar oleh musuh dan perompak adalah juga satu ujian terhadap keteguhan iman mereka yang menyertai kumpulan ini.Dan tidak syak lagi pengalaman penghijrahan telah mengukuhkan semangat pengikut-pengikut Nabi serta mengkagumkan orang-orang Madinah.

4. Dari peristiwa ini umat Islam di zaman-zaman yang mereka ditindas bolehlah mencari inspirasi bagi mengukuhkan semangat. Sebenarnya apa yang dihadapi oleh umat Islam sekarang tidak sebegitu berat dan teruk seperti cabaran yang dihadapi oleh Nabi Muhammad s.a.w. Umat Islam di zaman ini amat ramai. Sebahagian daripada mereka kaya-raya. Mereka memerintah wilayah-wilayah yang besar. Sudah sepatutnyalah mereka mencapai kejayaan. Tetapi mereka tidak mencapainya.Sebaliknya mereka di usir dari satu wilayah ke satu wilayah, ditakluk oleh kuasa-kuasa asing, disiksa dan dibunuh tanpa mereka boleh membuat apa-apa. Mereka cuma meraung dan merayu kepada orang lain. Di Palestin dan Lubnan mereka diserang, dibunuh beramai-ramai dan diusir dengan sewenang-wenang oleh Yahudi dan kawan-kawan mereka. Dengan pemindahan orang Palestin, kita sekali lagi melihat peristiwa penghijrahan.

5. Memang benar nasib buruk orang Islam sekarang disebabkan oleh perbuatan orang Yahudi dan penyokong-penyokong mereka. Kita patut salahkan mereka ini dan kita patut kutukkan mereka. Tetapi kita patut juga periksa diri kita sendiri. Apakah semangat dan ketabahan hati yang terdapat pada Nabi Besar kita dan sahabat-sahabat Baginda ada pada kita.yang penting sekali tidak sanggup berusaha atau berikhtiar untuk menuju ke arah kejayaan. Yang jelas ialah kalau kita lemah, maka kita perlu kuatkan diri kita, jika kita kurang cekap maka kita perlu berlatih untuk menguasai kecekapan, dan jika kita kekurangan ilmu maka kita mengejar ilmu. Ini semua jelas dan dituntut oleh Islam tetapi kita masih asyik berpoya-poya, masih suka mencari alasan dan sebab kenapa kita tidak mungkin buat itu dan ini, masih hendak menyalahkan orang semata-mata. Selagi kita tidak sanggup bertindak secara positif, selama itulah kita akan dipermainkan orang dan ditindas.

7. Memperingati detik-detik sejarah dan pengalaman tidak berguna melainkan ianya menjadi pengajaran kepada kita.Pada awal Muharam ini kita patut ingatkan balik peristiwa penghijrahan supaya kita dapat manfaat dari satu peristiwa dalam sejarah Islam yang penting ini. Awal Muharam bukan untuk berehat dari kerja atau bercuti atau perayaan tetapi adalah untuk kita memperkukuhkan nilai-nilai dan keazaman kita, mempertingkatkan keupayaan kita dalam semua bidang.Jika kita pelajar maka kita perlu belajar dengan bersungguh-sungguh. Jika kita pekerja maka kita perlu kerja dengan jujur dan dedikasi. Jika kita peniaga kita perlu menjaya dan mempertingkatkan perniagaan dan perusahaan kita.Jika kita pemimpin kita perlu menumpukan lebih banyak tenaga dan usaha dalam membentuk satu masyarakat Islam yang dihormati oleh semua pihak. Pendek kata Awal Muharam adalah satu hari untuk memperbaharui azam dan tekad sebagai orang Islam yang committed kepada kebesaran agama Allah SWT dan kesejahteraan penganut-penganutnya.

8. Di Mekah dan di Madinah di zaman Nabi Muhammad s.a.w Islam antara sebab utama Islam berkembang ialah kerana keadilan dan timbangrasa Islam. Kerana ini jugalah Islam dihormati dan disegani. Pada satu haribulan Muharam ini kita perlu ingatkan diri kita bahawa keangkuhan kuasa tidak ada tempat dalam pemerintahan yang berlandaskan Islam. Sementara hak orang Islam kita pelihara, hak orang lain kita jaminkan mengikut ajaran Islam. Dengan ini bukan sahaja Islam akan dihormati tetapi penindasan terhadap orang Islam yang menjadi minoriti di negara lain dapat dikurangkan.

10. Satu haribulan Muharam patutlah dijadikan satu tarikh untuk kita semua merenung dan mengkaji sejarah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. terutama penghijrahan dari Mekah ke Madinah. Dengan ini saya mengucap selamat mencontohi semangat penghijrahan dalam semua perjuangan hidup dan mati kita. Mudah-mudahan kita akan mendapat nikmat daripadanya; Insyaallah.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu ‘alaikum warahmatulahi wabarakatuh.

Al fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain
Pesuruhjaya PAS Perak





UMNO TERLALU SOMBONG UNTUK MOHON MAAF

17 12 2009

Pesuruhjaya PAS Perak hari ini menyatakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak terlalu sombong untuk memohon maaf di atas perkara yang berlaku mutakhir ini. Beliau juga menyifatkan kenyataan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir yang menyifatkan UMNO telah busuk hingga ke ususnya adalah kenyataan yang ikhlas dan relevan dengan situasi UMNO kini.

Mengulas lanjut mengenai hal ini, beliau mengatakan bahawa isu-isu yang dibawa oleh UMNO dan BN sejak akhir-akhir ini jelas melampaui adab dalam amalan demokrasi dan tidak menunjukkan kematangan berpolitik, malah lebih kepada politik samseng dan fitnah. Katanya lagi, jika dilihat kepada bentuk serangan UMNO kini, ia lebih kepada usaha untuk memburukkan PAS dan Pakatan Rakyat dalam siri-siri demonstrasi dan kenyataan berbaur fitnah terhadap PAS dan Pakatan Rakyat tanpa bukti yang dikemukakan.

Menurut beliau lagi, perkara ini jelas menunjukkan UMNO dan BN kini sudah ketandusan isu untuk menjatuhkan kredibiliti PAS dan Pakatan Rakyat. Beliau juga menyatakan, pimpinan PAS Perak berpendirian bahawa UMNO sepatutnya memohon maaf di atas siri-siri demonstrasi dan tuduhan berbentuk fitnah yang di ada-adakan oleh UMNO dan BN bagi memburukkan PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat.

Menceritakan mengenai demonstrasi pemuda Umno di Pejabat SUK Kelantan yang memohon Mursyidul Am PAS menarik balik kenyataan kerana mendoakan supaya Allah SWT, memberikan musibah kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana menzalimi rakyat Kelantan kerana tidak memberikan hak royalti minyak kepada rakyat Kelantan, beliau menyatakan bahawa perkara itu jelas menggugat ketenteraman awam . ”Tidak ada salahnya kita berdoa jika kita teraniaya. Malah, doa orang yang dizalimi lebih cepat
dimakbulkan oleh Allah”, katanya merujuk kepada isu doa Mursyidul Am PAS itu lagi. Ditanya mengenai demonstrasi pemuda UMNO Pulau Pinang yang membakar gambar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan memijak gambarnya di Pulau Pinang baru-baru ini, beliau menyatakan tindakan itu adalah keterlaluan kerana simbolik kepada membakar gambar adalah suatu perkara yang amat menghinakan bagi situasi di Malaysia,
tambahan pula beliau merupakan seorang Ketua Menteri dan wakil rakyat. Ia juga jelas menunjukkan UMNO dan BN tidak menghormati Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri yang merupakan pilihan rakyat.

Beliau juga menambah, UMNO memang terlalu sombong untuk memohon maaf kerana sehingga kini kita masih belum melihat atau mendengar kenyataan UMNO memohon maaf berhubung demonstrasi memijak kepala lembu yang jelas tidak menghormati perbezaan agama dan budaya yang berlaku di Selangor. Selaku Pesuruhjaya PAS Perak, beliau juga kesal dengan sikap UMNO dan BN yang sehingga kini dilihat tidak memohon maaf di atas
rampasan kuasa yang dilakukan di Perak.

Selain itu, Pesuruhjaya PAS Perak itu juga mengecam sikap UMNO yang kerap kali memburukkan imej ulama’ seperti yang berlaku kepada Mursyidul Am PAS dan juga Presiden Parti Islam SeMalaysia. Beliau berkata, UMNO tidak sepatutnya menyerang keperibadian Tuan Guru Nik Abdul Aziz semata-mata untuk menguasai Kelantan. Mereka juga tidak sepatutnya menyerang peribadi Presiden PAS untuk menjatuhkan imej PAS
yang dilihat kian meningkat di mata rakyat. ”UMNO selaku komponen yang mewakili kelompok masyarakat Islam di dalam Barisan Nasional sepatutnya menasihati komponen lain BN bagaimana menghormati ulama’, bukan dengan mencerca mereka”, Tegas Pesuruhjaya PAS Perak itu. Katanya lagi, PAS akan sentiasa komited menjalankan amanah rakyat dan memperjuangkan keadilan Islam di Malaysia, bahkan yakin untuk
memenangi hati rakyat menjelang Pilihanraya Umum ke-13.





PAS PERAK: SEGERAKAN KEPUTUSAN MENTERI BESAR PERAK YANG SAH

7 12 2009

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak Al Fadhil Abu Bakar Hussain menegaskan kenyataannya kepada media bahawa keputusan mahkamah persekutuan yang akan mengistiharkan siapa Menteri Besar Perak yang sah adalah titik sejarah yang sangat penting bagi seluruh rakyat Malaysia.

Beliau mempersoalkan mengapa keputusan siapa Menteri Besar Perak yang sah masih tidak diistiharkan mahkamah persekutuan untuk pengetahuan rakyat, sedangkan keputusan sudah diketahui dikalangan 5 hakim yang menghakimi kes tersebut , perkara ini penting kerana rakyat Perak ingin tahu siapa sebenarnya Menteri Besar Perak yang sah selama ini, tegas beliau.

Beliau turut menyatakan bahawa Dato’ Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah mengikut perundangan dan perlembagaan Negeri Perak, dan selama ini Pakatan Rakyat Perak tidak pernah mengiktiraf Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak .

Memetik kata-kata beliau “ Keputusan Dato’ Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah adalah sangat penting kerana ia dapat membuktikan proses demokrasi mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Perak telah dapat dipertahankan.”

“ Keputusan Dato’ Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah adalah sangat penting kerana ia dapat menjadi pelajaran dan pengajaran kepada UMNO/BN bahawa urusan perlantikan sebuah kerajaan dan segala proses perlantikan dan perlucutan jawatan hendaklah mengikut peraturan yang telah termaktub dalam perlembagaan.”

Beliau juga menyatakan bahawa PAS Perak berpendirian bahawa, kriris rampasan kuasa secara tidak sah yang telah dilalui di Perak ini bukan sahaja dirasai oleh rakyat Perak, bahkan seluruh Negara, bahkan seluruh masyarakat dunia juga sedang mengikuti kes siapa Menteri Besar Perak yang sah ini , ia termasuk para ahli akademik dan orang awam.Semua mereka mengharapkan agar prinsip demokrasi ini perlu diperbetulkan kepada landasan yang tepat mengikut lunas undang-undang dan demokrasi.

Selain itu beliau juga menyatakan bahawa PAS Perak berpendirian sekiranya keputusan siapa Menter Besar Perak yang sah berpihak kepada Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir maka keputusan itu akan mencemarkan malah merosakkan seluruh sendi demokrasi yang telah disepakati dan diamalkan di negara Malaysia selama ini.

Menurut beliau lagi PAS Perak berpendirian, sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan berpihak kepada Dato’ Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah maka jelaslah keputusan ini adalah keputusan yang tepat dan terbaik bagi mengelakkan Negeri Perak, malah seluruh Negeri yang lain dari terjebak dalam peraturan dan percaturan undang-undang rimba iaitu “siapa kuat dia dapat”, tanpa mengikut ruang perlembagaan dan undang-undang yang cuba dibawa oleh UMNO/BN, di Perak.

PAS Perak turut menegaskan bahawa, akibat dari tidakan UMNO/BN yang terlalu gopoh dan bernafsu untuk mengambil alih pemerintahan Negeri Perak ini, maka ia telah menyebabkan punca kenapa kegawatan politik Perak telah berlaku dan memalukan seluruh Negeri Perak dikaca mata dunia luar, kata beliau.

Tambah beliau lagi, Bukan sahaja episod ADUN Pakatan Rakyat tidak dibenar masuk ke Dewan Undangan Negeri dan terpaksa bersidang dibawah pokok telah disaksikan oleh semua , malah pergelutan sehingga tindakan ganas di dalam sidang DUN Perak ketika hendak menukar Speaker Dewan juga telah mencatatkan sejarah yang cukup hina dan memalukan dalam politik Negara, semua ini adalah akibat dari sifat gopoh dan zalim yang dibawa oleh UMNO/BN ke Negeri Perak ini.

Beliau juga turut membidas tindakan zalim UMNO/BN yang telah menyalahgunakan institusi polis dan pegawai awam untuk mengheret secara fizikal V.Sivakumar selaku Speaker serta mengkasari beberapa orang ADUN Pakatan Rakyat ketika hari persidangan DUN pada sidang DUN 3 Mac 2009, 7 Mei 2009, 2 September 2009 dan 28 Oktober 2009 sangat tidak dapat diterima samasekali dan ia adalah tindakan yang sangat zalim
.
PAS Perak, berpendirian bahawa dengan keadaan bilangan ADUN yang boleh sahaja berubah di kedua-dua belah pihak , maka jalan keluar yang terbaik ialah membubarkan DUN Perak dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang lebih stabil bagi kemaslahatan rakyat Negeri Perak, jelas beliau





UMNO DIGESA MOHON MAAF SEGERA

3 12 2009

IPOH 3 Disember: Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain , menegaskan dalam kenyataannya supaya umno segera meminta maaf kepada kerajaan negeri serta rakyat Pulau Pinang, begitu juga dengan insiden memijak kepala lembu yang jelas-jelas didalangi pemuda umno selangor,
yang mana kedua-dua insiden buruk ini telah menimbulkan sentimen perkauman yang boleh memecahbelahkan perpaduan kaum di Negara ini.Jelas beliau dalam kenyataan media beliau di Pejabat Perhubungan PAS Perak hari ini.

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak itu, beliau kagum dengan sifat keterbukaan yang diamalkan oleh parti DAP yang telah memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan isu memijak gambar tiga adun yang telah menyebabkan kejatuhan kerajaan pakatan
rakyat Perak ini.

“ Ini adalah sikap yang harus dipuji dan dijadikan contoh oleh kita semua, sikap memohon maaf ini adalah sifat yang mulia, sebenarnya jika sikap ini dijadikan amalan kita, semua masalah yang dihadapi dapat diselesai dengan segera” memetik ucapan beliau.

Jelas beliau lagi, umno juga sewajibnya perlu memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, berikutan tindakan pemuda umno di Pulau Pinang dan Selangor yang benar-benar keterlaluan dan cuba
menimbulkan perpecahan dikalangan rakyat Malaysia.

Memetik ucapan beliau “ Umno dan barisan nasional perlu
bertanggungjawab terhadap tindakan yang dilakukan oleh mereka, isu membakar gambar Ketua Menteri Pulau Pinang dan isu perkauman memijak kepala lembu adalah tindakan primitif dan tidak beritika”

“ Tindakan menggunakan gambar seorang pemimpin sebuah kerajaan negeri dan juga Ketua Menteri yang dipilih oleh rakyat menjadi bahan untuk dibakar gambarnya adalah tindakan ganas yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat ” tambah beliau lagi.

Beliau jugu turut menyarankan supaya umno segera memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Negeri Perak dan Kelantan dengan cara mengembalikan semula hak rakyat Negeri Perak melalui pembubaran DUN Perak, serta mengembalikan semula hak royalti minyak kepada rakyat
Kelantan.

Justeru itu beliau menasihatkan supaya umno segera memohon maaf atas tindakan zalim mereka kepada rakyat yang tertindas selama ini.








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.