D.S Haji Nizar akan ambil tindakan undang-undang terhadap TV3 dan TV9

27 01 2010

Dato Seri Mohamad Nizar Jamaludin hari ini mengesahkan tiada seorang pun Pegawai Khas atau bekas Pegawai Khasnya semasa menjadi Menteri Besar Perak terlibat dalam penangkapan 34 orang oleh SPRM seminggu yang lalu berhubung dengan kes skandal penyeludupan pasir dan rasuah.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya di Pejabat PAS Perak hari ini. Seterusnya beliau membidas TV3 dan TV9 yang melaporkan dalam berita semalam bahawa salah seorang dari 34 orang yang dibebaskan semalam adalah Pegawai Khas kepada beliau. Beliau kesal dengan tindakan stesen tv tersebut yang menggambarkan seolah-olah beliau dan petugas beliau mempunyai kaitan dengan skandal penyeludupan pasir itu.

Tindakan stesen tv tersebut disifatkannya sebagai karut dan berniat jahat semata-mata untuk menjejaskan nama baik beliau dan PAS. Sehubungan itu, beliau telah berbincang dengan peguamnya, Hanipa Maidin untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap stesen tv terbabit bagi membersihkan nama beliau dan para pegawainya.





BUBAR DUN: PAS PERAK GESA RAKYAT BERSIAP SEDIA

25 01 2010

IPOH, – PAS Perak hari ini menggesa seluruh rakyat negeri tersebut bersiap siaga menghadapi kemungkinan berlakunya pilihanraya semula ekoran desas-desus yang bertiup kencang berlakunya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, ketika mengulas isu ini turut menggesa seluruh rakyat khususnya mahasiswa dan anak muda yang masih belum mendaftar untuk segera berbuat demikian bagi memastikan mereka tidak terkecuali dalam membuang undi sekiranya pilihanraya berkenaan benar-baner berlaku.

“Saya dengan ini merayu dan menggesa seluruh mahasiswa, belia dan mana-mana golongan rakyat di negeri ini (Perak) yang belum mendaftar sebagai pemilih untuk berbuat demikian secepat mungkin.

Ini kerana sekiranya DUN benar-benar dibubarkan, kita tidak mahu mereka yang layak mengundi tidak dapat berbuat demikian disebabkan kelewatan mereka untuk mendaftar” jelas beliau.

“Oleh itu sebagai anak muda, kita perlu sedar akan peranan dan suara kita yang sangat berkuasa dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga berharap agar konflik yang berlaku di
Perak selama ini akan terlerai dengan pembubaran DUN ini demi menjamin kestabilan politik dan pembangunan di negeri Perak Darul Ridzuan.

“Apa yang lebih penting bagi kita adalah apabila mandat diserahkan semula kepada rakyat melalui pilihanraya, kestabilan politik di negeri Perak akan dapat dikembalikan demi menjana pembangunan dan ekonomi yang mapan” jelas beliau.





PAKATAN RAKYAT SEMAKIN KUAT, BN SEMAKIN TERDESAK

19 01 2010

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak hari ini menegaskan bahawa Pakatan Rakyat
Perak akan meningkatkan kualiti dan komitmen bekerja untuk rakyat bagi
menyelamatkan rakyat dari terus ditipu oleh umno dan BN.

Beliau juga menegaskan, Pakatan Rakyat di Perak khususnya akan
memastikan rakyat mendapatkan maklumat yang benar supaya semua rakyat
jelata mengetahui dengan jelas perjuangan rakyat yang didokong oleh
Pakatan Rakyat.

Menurut beliau, jika tidak kerana rampasan kuasa yang dilakukan oleh
UMNO BN, sudah semestinya rakyat Perak akan hidup dengan aman di bawah
pentadbiran Pakatan Rakyat.

Selain itu beliau juga menegaskan bahawa Pakatan Rakyat Perak
khususnya tidak sesekali akan memberi peluang kepada umno BN untuk
meracuni pemikiran rakyat jelata dengan belbagai lakonan bagi menutup
kezaliman UMNO BN merampas negeri Perak secara tidak sah.

Disamping itu beliau juga menyeru agar rakyat menilai dengan sebaiknya
bagaimanakah Sepanjang pakatan rakyat memerintah lima negeri, Selangor
Perak Pulau Pinang Kedah dan Kelantan adakah bangsa dan rakyat yg di
tindas? dan sepanjang 50 tahun BN memerintah hak rakyat sudah banyak
tergadai akibat rasuah dan salahguna kuasa yang dilakukan UMNO BN.

Beliau turut mendakwa Umno sedang dalam proses memulihkan imej parti
itu melalui program Juara Rakyat setelah terpalit dengan pelbagai isu
yang menghakis kepercayaan rakyat terhadap mereka.

Memetik ucapan beliau “Kita lihat program ini lebih banyak kepada
usaha membaik pulih imej Umno.Tapi pada waktu yang sama rakyat melihat
isu yang lebih besar yang sepatutnya ditangani oleh pemimpin Umno
belum selesai ”. jelasnya

“Sebagai contoh kos hidup rakyat yang semakin meningkat, rasuah yang
berleluasa, kehilangan jet dan kes Menetri Besar Perak yang belum
selesai,”ujarnya.

“ Kita juga tahu bahawa UMNO BN sedang berada dalam ketakutan kerana
Pakatan Rakyat semakin hampir mengambil alih pentadbiran Malaysia di
Putrajaya, dan jika Pakatan Rakyat berjaya memimpin rakyat Malaysia,
UMNO BN bimbang segala kezaliman dan penipuan mereka terhadap rakyat
akan dibongkarkan”.

Beliau juga menegaskan bahawa bagi manghadapi pembubaran DUN yang
dijangka akan berlaku dalam masa terdekat ini, Pakatan Rakyat Perak
sudah bersedia untuk mengembalikan keharmornian dan kestabilan hidup
rakyat Perak dengan berkhidmat sepenuhnya untuk rakyat.





UMAT ISLAM DIGESA TUNAIKAN SOLAT SUNAT GERHANA MATAHARI

14 01 2010

Saya selaku pesuruhjaya PAS Perak, menyeru supaya seluruh umat Islam dan ahli PAS Perak khususnya untuk menunaikan solat sunat gerhana matahari yang jatuh pada esok hari mulai antara 3.15ptg hingga 5.45 ptg.

Solat Sunat Gerhana atau juga dikenali sebagai solat sunat Kusuf atau Solat Khusuf merupakan solat yang didirikan sewaktu terjadi gerhana bulan atau matahari. Solat sunat gerhana matahari dalam istilah arabnya : Solat Sunat Kusuf. Solat sunat gerhana bulan dalam istilah arabnya : Solat Sunat Khusuf.

Kusuf dari segi bahasa bermaksud terlindungnya cahaya matahari samada terlindungnya itu dalam bentuk juzu’nya atau keseluruhannya. Khusuf pula mutlak digunakan untuk lindungan cahaya bulan secara juzu’ atau pun keseluruhannya. Ramai ulama’ yang menyatakan bahawa kedua-dua kalimah itu boleh digunakan untuk kedua-duanya sekali samada gerhana bulan atau pun matahari.
Hukum Solat Gerhana Matahari

Hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan.

Ini berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermakna : Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematiaan seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang(hilang gerhana) apa dengan kamu.

Hadis ini keluar daripada mulut Rasulullah s.a.w pada hari kematian anak lelakinya Ibrahim di mana ramai orang mendakwa bahawa kematian Ibrahim inilah yang menyebabkan matahari bersedih sehingga berlakunya gerhana. Mengikut kepercayaan mereka ketika jahiliah di mana apabila berlakunya gerhana matahari atau pun bulan maka mereka beranggapan bahawa berlakunya sesuatu gerhana disebabkan kematian seseorang yang besar dan mulia.

Rasulullah s.a.w telah menyangkal kefahaman karut ini lalu bersabda sebagaimana tersebut. Begitulah juga dengan kebanyakan kita hari ini yang mana mereka bukan bersegera untuk solat gerhana apabila berlakunya sesuatu gerhana tetapi sebaliknya mencari sesuatu untuk memukul pangkal-pangkal pokok buahan supaya berbuah lebat. Perkara ini jika melibatkan kepercayaan yang berlawan dengan kekuasaan Allah dalam membuat sesuatu boleh membawa kepada syirik.

Cara Solat Sunat Gerhana

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami’ah!! ( Solat berjemaah )

Niatnya : “Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta’ala” – (Jika berimam) ataupun “Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta’ala” – (Jika solat seorang diri)

Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :

Rakaat pertama

1. Niat solat Gerhana, Takbir

2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah

3. Rukuk

4. I’tidal

5. Baca Al-Fatihah dan surah

6. Rukuk.

7. I’tidal.

8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.

Rakaat kedua

1. Niat solat Gerhana, Takbir.

2. Baca Al-Fatihah dan surah.

3. Rukuk.

4. I’tidal,

5. Baca Al-Fatihah dan surah.

6. Rukuk.

7. I’tidal.

8. Sujud

9. Tahiyyat Akhir





PESURUHJAYA PAS PERAK MELAWAT MANGSA KEBAKARAN DI SUNGAI SIPUT

12 01 2010

SUNGAI SIPUT, 12 Januari, Pesuruhjaya PAS Perak ditemani Ustaz Zulkifli Yang Dipertua PAS kawasan Sungai Siput bersama rombongan jawatankuasa PAS kawasan Sungai Siput telah turun menziarahi mangsa kebakaran bangunan rumah kedai dua tingkat yang terletak di Pekan Batu Satu Sungai Siput.

Menurut sumber, punca kebakaran adalah disebabkan litar pintas yang telah menyebabkan lima buah bangunan rumah kedai. Bangunan kedai tersebut telah mengalami kebakaran yang teruk. Mangsa kebakaran terdiri dari empat keluarga Cina dan satu keluarga India.

Kehadiran beliau disambut baik oleh penduduk tempatan disitu. Pesuruhjaya PAS Perak itu juga telah menyampaikan sumbangan kebajikan kepada mangsa kebakaran bagi meringankan beban mereka.

Memetik ucapan beliau ” PAS sentiasa prihatin dan mengambil berat berkenaan isu kebajikan rakyat, apatah lagi rakyat kini melihat PAS bukan sahaja sebagai parti politik akan tetapi PAS juga dilihat sebagai parti yang menggerakkan kebajikan rakyat”.

Di kesempatan itu juga, beliau juga turut memberi kata-kata semangat kepada keluarga mangsa kebakaran, supaya banyak bersabar dan tabah dalam menghadapi segala ujian, beliau juga menyeru agar semua ahli PAS tidak kira diperingkat mana sekalipun, supaya sentiasa prihati terhadap isu kebajikan rakyat.





BUBAR DUN PERAK, BANGUNKAN EKONOMI RAKYAT

10 01 2010

IPOH, 11 Dis: Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain
menegaskan bahawa jalan terbaik bagi menyelesaikan krisis perundangan
di Perak adalah dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun).”

Beliau membidas kenyataan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang
berharap semua pihak yang terbabit dalam krisis perlembagaan di negeri
itu memberi fokus untuk membangunkan pertumbuhan ekonomi negeri, akan
tetapi Umno BN dalang sebenarnya yang mencipta krisis di Perak dengan
agenda rampasan kuasa secara haram yang dilakukan mereka

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak itu, Pakatan Rakyat Perak sudah lama
mahu menyelesaikan krisis di negeri itu supaya negeri terus membangun
dan menarik pelabur asing dengan mencadangkan pembubaran Dun .

Menurut beliau Zambry sendiri tidak menunjukkan keikhlasan untuk
menyelesaikan kemelut yang melanda, yang berpunca Dari Umno BN
sendiri.

“Saya menggesa Datuk Seri Zambry kalau beliau benar-benar ikhlas mahu
melihat Perak kembali cemerlang dalam urusan pentadbirannya dan
rakyatnya hidup dalam keadaan harmorni serta menarik pelabur asing
datang tanpa ragu-ragu ke Perak maka jalan terbaik adalah DUN
Perak perlu dibubarkan” tegas dalam ucapan beliau.

“Kami Pakatan Rakyat sudah tentu kami menyambut baik sebarang tindakan
untuk selesaikan krisis Perak dengan dibubarkan DUN kerana itulah yang
paling adil dan memberikan hak kepada rakyat untuk membuat
pilihan.Kalau tak dibubarkan DUN,krisis tidak akan selesai,” katanya.

Pesuruhjaya PAS Perak itu turut menyifatkan harapan Datuk Seri Dr.
Zambry Abdul Kadir untuk melihat krisis di Perak selesai hanyalah
kenyataan retorik semata-mata dan ianya hanya lakonan pembohongan
semata-mata..

Sebenarnya, kenyataan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir Perak itu
mempamerkan kebimbangannya kerana menyedari sebenarnya rakyat dan
undang-undang tidak menyebelahinya, dan sepatutnya Umno/BN perlu buat
persiapan untuk pembubaran DUN Perak yang dijangka tidak lama lagi
akan berlaku.

“Beliau juga menegaskan supaya Umno/BN jangan cuba lari dari kenyataan
bahawa rakyat mengetahui kezaliman yang dilakukan mereka serta
undang-undang tidak menybelahi mereka dalam krisis perundangan negeri
Perak ini” katanya

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak itu lagi, para pelabursemestinya mahukan
satu keyakinan dan kestabilan politik dan ekonomi di Perak ini. Selagi
perkara ini tak terjamin mereka tidak akan datang., dan hakikatnya apa
yang sedang berlaku di Perak ini sebenarnya tidak memberikan ruang
untuk percambahan aktiviti ekonomi ini kerana pelabur tidak yakin
untuk melabur dengan keadaan yang tidak stabil di Negeri Perak ini.





PAKATAN RAKYAT PERAK KECAM SERANGAN, SERU ADAKAN RUNDINGAN

10 01 2010

KENYATAAN MEDIA PIMPINAN PAKATAN RAKYAT NEGERI PERAK 9 JANUARI 2010

Berikutan insiden menyerang dengan cubaan membaling bom buatan sendiri di tiga gereja iaitu di Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Gereja Assumption di Petaling Jaya dan Gereja Life Chapel di Damansara. Maka Pakatan Rakyat Negeri Perak pada hari nini mengeluarkan beberapa kenyataan mengenai perkara berkaitan.

1. Pakatan Rakyat Perak mengecam dan sangat kesal dengan kejadian tersebut dalam keadaan rakyat Malaysia dan Perak yang cintakan kepada keamanan dan ketenteraman. Segala tindakan yang bertentangan dengan hasrat itu adalah amat dikesali dan kami membantah sekeras-kerasnya tindakan itu.

2. Kami berpandangan segala tindakan kekerasan yang bertentangan undang-undang Negara dan ajaran Islam itu sendiri mestilah ditangani dengan sebaik mungkin dengan peruntukan undang-undang yang ada. Mereka yang melakukan tindakan provokatif dengan cara “ baling batu sorok tangan “ itu mestilah disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.

3. Pakatan Rakyat Perak berpandangan bahawa mahkamah bukannya jalan yang terbaik untuk mengatasi permasalahan ini. Meja perundingan mesti didahulukan dengan semua pihak tidak mengira agama dan kaum perlu duduk bersama bagi menyelesaikan masalah ini. Insiatif ini mesti diambil oleh pihak kerajaan. Segala pandangan semua pihak hendak lah diambil kira.

4. Kami yakin dengan tahap keamanan Negara yang telah dicapai selama 52 tahun mampu dikekalkan . Oleh itu sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan dan mengganggu kenteraman awam mestilah ditentang oleh rakyat berbagai agama dan bangsa serta di semua peringkat umur dan tahap pendidikan.

5. Oleh itu Pakatan Rakyat Perak mengharapkan segala langkah yang dilakukan oleh kerajaan bagi menyelesaikan masalah ini diambil dengan secepat mungkin dengan mengambil kira semua aspek.

1. Ust. Abu Bakar Hussain – Pesuruhjaya PAS Perak

2. YB. Dato’ Ngeh Koo Ham – Pengerusi DAP Perak

3. Hj. Mustafa Kamil Ayub – Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Perak





SERUMPUN DOA, SEMOGA CEPAT SEMBUH

7 01 2010

Bismillahir Rahman’ nir Rahim

Assalamualaikum wrt

PAS Negeri Perak ingin merakamkan doa kami kepada Dato` Seri Ir.Haji Mohammad Nizar serta keluarga diatas kemalangan yang menimpa beliau awal pagi tadi, Sesungguhnya kami yakin, seluruh rakyat Perak khususnya amat mengharapkan agar Dato` Seri Ir.Haji Mohammad Nizar berada dalam keadaan baik dan selamat. PAS Negeri Perak juga berharap keluarga Dato` Seri Ir.Haji Mohammad Nizar dan seluruh rakyat dapat bersabar dalam ujian dan ketentuan dari Allah S.W.T ini .Bagi pihak seluruh kepimpinan dan warga PAS Negeri Perak, kami mendoakan semoga Dato` Seri Ir.Haji Mohammad Nizar dilimpahkan kesihatan dan kekuatan yang jitu dari Allah S.W.T.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

Al Fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain
( Pesuruhjaya PAS Perak )








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.