Tiada salah bincang politik Islam di masjid – Pesuruhjaya PAS Perak

12 05 2010

PAS Perak menyokong pendirian Mursyidul Amnya, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat bahawa masijid boleh digunakan bagi membincangkan politik Islam tetapi bukannya politik berpartisan atau politik berpuak-puak.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain berkata: “Islam adalah cara hidup dan politik adalah sebahagian daripadanya. Masjid sentiasa telah digunakan sebagai gelanggang bagi membincangkan kebajikan, ekonomi, pendidikan dan politik.”

Beliau berucap di Muktamar Tahunan ke-27 Dewan Pemuda PAS Perak di Markas Tarbiyah Air Kuning di Taiping, semalam.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan saranan Sultan Selangor bahawa masjid tidak seharusnya digunakan untuk politik partisan bagi menyerang sesama umat kerana masjid dibina bagi menyatukan semua.

Baru-baru ini, Sultan Selangor melahirkan rasa kurang senang baginda berhubung tindakan sesetengah pihak yang menggunakan masjid untuk kepentingan politik.

Baginda mahu tindakan itu dihentikan.

Namun menurut Ustaz Abu Bakar, PAS tidak diberi peluang menggunakan tempat-tempat awam seperti dewan sekolah dan dewan orang ramai bagi menyampaikan maklumat mereka.

Beliau mendakwa Umno yang sebenarnya menggunakan masjid bagi agenda politik tetapi sebaliknya menuduh parti pembangkang seperti PAS yang menyalah-gunakan tempat ibadat Islam.





Perlantikan Pegawai Penyelaras Masjid Daerah (PPMD) Perak tidak ikut peraturan

12 05 2010

PAS Perak membantah keras Kerajaan BN melantik Pegawai Penyelaras Masjid Daerah (PPMD) seluruh Perak tanpa mengikut peraturan dan tatacara perlantikan yang betul. PAS membantah dan mempersoalkan perlantikan tersebut berdasarkan perkara-perkara berikut :-

1. Mengapa surat perlantikan PPMD ditandatangani oleh CEO Majlis Agama Islam Perak(MAIAMPk) ? Sedangkan PPMD adalah jawatan yang dibiayai peruntukannya oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) . Manakala perlantikannya diperingkat negeri adalah di bawah urusetia Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) melalui Bahagian Pengurusan Masjid dengan Pegawai Penyelaras Takmir Masjid (Pegawai Hal Ehwal Islam, JAKIM) di tempat di situ. Penempatannya pula di di Pejabat-pejabat Agama Daerah bukan di MAIAMPk atau Baitul Mal Daerah, pemantauan atau penyelian tugas di bawah pentadbiran Pegawai Tadbir Agama Daerah, manakala elaun atau gaji mereka terus daripada JAKIM (tidak melalui MAIAMPk).

2. Lazimnya proses perlantikan PPMD adalah melalui Jabatan Agama Islam, Pejabat Agama Daerah dan Orang Besar Jajahan (OBJ) bagai daerah berkenaan. Semua permohonan akan diselaraskan oleh Bahagian Pengurusan Masjid untuk proses pemilihan melalui temuduga oleh pihak JAKIM dan JAIP. Malangnya prosedur ini tidak dipatuhi, campurtangam politik UMNO BNlah yang menentukan proses perlantikan ini, sebahagiannya pula dicalonkan tanpa pengetahuan awal mereka hinggalah diberi tahu tentang perlantikan itu dan diarahkan untuk menerima Surat Perlantikan di Majlis Menghafaz Al Quran Negeri Perak dan Pentauliahan Imam-Imam Daerah Hilir Perak di Teluk Intan pada 5.4.2010.

Jelas kerajaan BN menafikan hak pemohon-pemohon yang berminat melalui prosedur yang telah disarankan Mesyuarat MAJLIS dengan syarat kelulusan yang munasabah melalui saluran OBJ dan JAIPk. Mereka yang mempunyai kelayakan tidak dipanggil temuduga.

3. PAS Perak menyedari bahawa adalah elemen dan unsur-unsur menpergunakan nama Tuanku bagi melantik hanya orang-orang UMNO sahaja yang layak memegang jawatan tersebut tanpa melalui proses temuduga.

Sehubungan dengan itu, PAS Perak membantah sekeras-kerasnya tatacara perlantikan PPMD yang dibuat oleh kerajaan UMNO BN dengan membelakangi peraturan yang diguna pakai sebelum ini.

PAS Perak menuntut Surat Perlantikan ditarik balik dan dibuka permohonan sekali lagi bagi membolehkan perlantikan dibuat semula melalui proses temuduga.

PESURUHJAYA PAS PERAK

USTAZ ABU BAKAR HUSSEIN.








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.