TAKZIAH BUAT KELUARGA DAN ANAK DIDIK TUAN GURU “PAK TEH” PENGASAS PONDOK PAK TEH PENGKALAN HULU

29 09 2010

PAS Perak ingin merakamkan ucapan takziah buat keluarga dan anak didik Almarhum Tuan guru Haji Dato Abdul Latif b. Adul Rahman atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Pak Teh diatas pemergiannya kerahmatullah pada awal pagi hari ini.

PAS Perak merasai kesedihan akan hilangnya seorang pejuang agama yang begitu gigih dan merupakan seorang Tuan Guru yang telah banyak melahirkan pelajar-pelajar agama di Perak ini. Pemergian Tuan Guru Pak Teh sangat dirasai oleh seluruh rakyat di negeri Perak ini. Al Marhum sememangnya sangat dikenali sebagai seorang tuan guru yang mahir dalam belbagai bidang agama dan sentiasa istiqamah dalam melahirkan insan-insan yang memahami dan mendalami ilmu agama di pondok beliau.

Pengorbanan dan semangat juangnya dalam misi untuk berbakti kepada ummah dan melahirkan insan yang faham agama inilah yang wajar dicontohi oleh seluruh rakyat khususnya umat Islam, walaupun pemergian Almarhum menemui Allah SWT adalah satu kehilangan besar bagi rakyat Perak, tetapi Almarhum telah berjaya membuktikan bahawa beliau telah menggunakan kesempatan hidup diatas muka bumi untuk terus berjuang menegakkan perintah ALLAH SWT.

Semoga ALLAH SWT meletakkan rohnya bersama para An’biya, Syuhada’ dan Solihin.

Salam Takziah

Ustaz Abu Bakar bin Hussain
( PESURUHJAYA PAS PERAK





KENYATAAN MAHATHIR MEMBUKTIKAN PEMIMPIN UMNO TAKUT HILANG KUASA

24 09 2010

IPOH 24 September, Pesuruhjaya PAS Perak hari ini menegaskan bahawa pandangan yang dikeluarkan oleh Tun Mahathir Mohamad hanyalah kenyataan politik lama dengan tujuan untuk mengugut pengundi Melayu agar tidak memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.

Beliau berpandangan sebenarnya Tun Mahathir Mohamad dan pemimpin Umno kini sudah dapat menjangkakan bahawa mereka akan kehilangan kuasa pada pilihanraya umum ke-13 nanti.

Menurut beliau jika umno menjadi pembangkang maka tidak ada siapa baik pemimpinnya atau pengikutnya yang sanggup menyumbangkan tenaga dan kewangan untuk pergerakan parti umno itu pada masa akan datang, serta berkemungkinan besar parti umno ini akan menjadi tidak relevan dan ditolak oleh seluruh rakyat akan kewujudannya.

Beliau juga menjelaskan bahawa terdapat menteri-menteri umno yang sudah membeli tanah dan rumah di luar negara untuk menyenangkan mereka tinggal disana jika umno tidak dapat memerintah Malaysia pada masa akan datang.Sebenarnya pemimpin umno kini sentiasa berada dalam ketakutan kerana satu persatu kes-kes mereka semua akan dibongkar dan dibawa kemuka pengadilan jika Pakatan Rakyat dapat megmbil alih pentadbiran kerajaan pusat.

Memetik kata-kata beliau ” Kita tahu selama ni pemimpin-pemimpin umno memperolehi duit dari pengusaha-pengusaha kilang dan syarikat-syarikat kroni mereka untuk menjana kewangan parti mereka. Jika umno jadi pembangkang selepas ini maka tiada siapa yang sanggup beri duit pada umno ”

Beliau menyimpulkan kenyataan yang dikeluarkan Tun Mahathir itu adalah kenyataan yang berbaur ugutan kerana Tun Mahathir sudah menjangkakan Umno berkemungkinan besar untuk kalah pada Pilihanraya umum ke 13 nanti.





JEMPUTAN KE JAMUAN AIDIL FITRI PAKATAN RAKYAT PERAK

21 09 2010

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Sempena meraikan Syawal 1431 Hijrah,PAS Perak bersama PAKATAN RAKYAT PERAK, dengan berbesar hatinya menjemput serta mengalu-alukan kehadiran YB/Dato/Datin/Tuan/Puan/Encik/Cik ke Majlis Jamuan Raya Aidilfitri yang akan diadakan pada hari Ahad, 26 September 2010 bersamaan dengan 17 Syawal 1431 Hijrah. Jamuan ini akan diadakan di Perkarangan Pejabat Perhubungan PAS Perak, Medan Istana Bandar Ipoh Raya . Jamuan akan diadakan mulai pukul 8.00 malam sehingga jam 11.00 malam.

Semoga keberkatan bulan syawal ini akan menambahkan kekuatan kepada kita untuk meneruskan perjuangan bagi memikul amanah rakyat dalam membawa perubahan ke arah keharmornian serta keadilan buat Negeri Perak dan Malaysia yang tercinta.

Sekian,

Ustaz Misbahul Munir Masduki

( Pengarah Jamuan Hari Raya Pakatan Rakyat Perak )





TERUSKAN USAHA PENTARBIYAHAN DIRI DI BULAN SYAWAL

15 09 2010

IPOH Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain hari ini menyeru agar umat Islam meneruskan pentarbiyahan diri dengan berpuasa enam di bulan syawal

Menurut beliau, Ramadhan telah berlalu dan kini Syawal telah tiba. Namun tarbiyah Ramadhan diikuti tarbiyah Syawal juga tarbiyah bulan-bulan lain semuanya dan berkesinambungan dengan ketaatan dan ibadah merupakan bukti penerimaan Ibadah kita di bulan Ramadhan.

Beliau menyatakan lagi bahawa, Puasa sunat di bulan Syawal selepas Ramadhan adalah di antara peluang terbaik kerana orang yang berpuasa masih berada pada ketaatan dan ibadah yang lain setelah selesai puasa Ramadhan.

Jikalau tanda penerimaan sesuatu ibadah ialah kecenderungan melakukan ibadah seterusnya, maka puasa 6 Syawal selepas Ramadhan adalah bukti kesyukuran orang berpuasa kepada Allah kerana memberi taufik kepada puasa Ramadhan dan menambahkan kebaikan, sepertimana puasanya sebagai bukti kecintaan kepada ibadah dan ketaatan dan kecenderungan untuk meneruskan jalan ibadah. Bahkan ia seakan-akan suatu perjanjian dengan Allah untuk bersungguh-sungguh beribadah dan melaksanakan ketaatan kerana ia tidak mahu hanya beribadah kepada Allah di bulan Ramadhan dan meninggalkan ibadah selepas Ramadhan. Jelas beliau.





PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI PESURUHJAYA PAS PERAK

8 09 2010

BAGI pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Perak, saya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri 1431 Hijrah, hari kebesaran kurnia daripada Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan, berjihad dan bermujahadah dengan mengerjakan ibadat dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Ibadat yang melatih kita untuk menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah SWT. Hanya orang yang bertakwa sahaja yang menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dan Allah SWT melakukan nuzul Al-Quran pada bulan Ramadan. Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa.

Dalam masa yang sama, bagi menegakkan petunjuk ini, kita berdepan dengan cabaran. Al-Quran menjadi furqan, yang membezakan di antara hak dan batil, benar dan salah. Dengan petunjuk Al-Quran, kita menegakkan yang benar, menentang perkara yang bercanggah dengan Al-Quran.

Dengan semangat tarbiah melalui Ramadan, menjadikan diri kita orang yang beriman, yang bertakwa, yang kuat, yang sanggup menghadapi cabaran selepas Ramadan dengan mendapat pertolongan daripada Allah SWT, walaupun kita dikelilingi oleh musuh-musuh yang ramai yang tidak akan memberi kesempatan kepada Islam untuk tegak semula di bumi Allah SWT ini.

Dengan takwa dan iman yang yang kuat, kita yakin semua musuh itu adalah kecil apabila kita bersama dengan Allah SWT dan Allah SWT memilih pula di bulan Ramadan berlakunya kemenangan kepada umat Islam.

Dalam peristiwa Badar, Fathul Makkah, Ain Jalut dan penawanan Kota Belgrade di Balkan pada zaman Kerajaan Othmaniah dalam keadaan orang Islam dianggap lemah tetapi hati mereka ikhlas menyumbangkan pengorbanan harta benda dan jiwa raga disertakan dengan iman yang kuat, percaya kepada Allah SWT dan percaya kepada janji Allah SWT, dunia dan akhirat. Berbekalkan perkara-perkarta itu, Allah SWT memberikan kemenangan kepada generasi awal Islam.

Saya yakin dan percaya sekiranya umat Islam di zaman kini melaksanakan contoh dan teladan tersebut, mereka juga akan diberikan kemenangan sekali lagi oleh Allah SWT.

Marilah pada kesempatan ini, kita membaharukan semangat untuk meningkatkan lagi kerja dan amal kita dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT dan meningkatkan pengorbanan kita dalam perjuangan kita untuk meninggikan agama Allah SWT supaya agama ini tegak sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT, dalam Al Quran Karim.

Dalam masa yang sama, pada kesempatan ini, marilah kita menguatkan ukhuwah, persaudaraan di kalangan kita dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan umat Islam sehingga mereka tidak ada beza di antara satu sama lain. Mereka adalah satu ummah, laksana satu jasad yang bersambung di antara satu sama lain, sama-sama memikul tanggungjawab, bertolong menolong sama ada yang berkait dengan urusan agama dan dunia.

Dalam masa yang sama, membolehkan kita menyampaikan mesej kita kepada seluruh manusia untuk menyatakan bahawa kitalah yang menyelamatkan manusia yang sebenar di dunia dan di akhirat.

Mudah-mudahan dengan semangat ini, kita berjaya menjadi seorang Islam yang diterima oleh Allah SWT dan merealisasikan apa yang diperintahkan oleh Allah, firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam.” (Surah Ali Imran: 102)

Sekian, terima kasih.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillah il-hamd.

Al Fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain

( Pesuruhjaya PAS Perak Darul Ridzuan)





SALAM AIDILFITRI DARI PAS PERAK BUAT SEMUA

6 09 2010





PESURUHJAYA PAS PERAK: DAKWAH PERLU DITERUSKAN KEPADA BUKAN ISLAM

4 09 2010

Ipoh, 4 September – Pesuruhjaya PAS Perak di sini hari ini, menegaskan supaya dakwah diteruskan kepada masyarakat yang bukan Islam supaya mereka lebih mengenali Islam. Mengulas lanjut, beliau mengatakan masyarakat bukan Islam perlu terlebih dahulu diperkenalkan kepada Islam sebelum mereka diperkenalkan kepada orang Islam. Hal ini, menurut beliau adalah kerana kebenaran perlu diperkenalkan kepada mereka terlebih dahulu untuk mereka menilai siapa sebenarnya yang membawa kebenaran. “PAS perlu menyampaikan dakwah kepada masyarakat bukan Islam supaya sampai kepadanya ilmu Islam sebelum ia menumbuhkan keyakinan kepada mereka. Manusia memusuhi apa yang tidak ia ketahui,” ujarnya lagi mengenai keperluan PAS untuk mendekati dan berdakwah kepada masyarakat bukan Islam.

Menambah mengenainya, Ustaz Abu Bakar mengatakan pada saat kini, masyarakat bukan Islam sedang menunggu-nunggu dakwah daripada PAS supaya mereka lebih memahami polemik isu yang dimainkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika ini. Hal ini juga kerana, kini, masyarakat bukan Islam diwarwarkan dengan keharmonian yang dicanang oleh UMNO dan BN sedangkan hakikatnya, PAS dan Pakatan Rakyat telah terlebih dahulu menunjukkan contoh keharmonian di antara kaum yang lebih baik daripada UMNO dan BN. “Kita perlu pasarkan produk berkualiti kita kepada masyarakat supaya masyarakat nampak keperluan untuk menumbangkan kerajaan korup yang ada kini,” katanya lagi.

Selain itu, katanya lagi, PAS dan PR sebenarnya mempunyai perwatakan yang lebih meyakinkan berbanding daripada perwatakan pemimpin UMNO dan BN yang kini penuh terpalit dengan najis rasuah. Untuk itu, beliau menambah, para ‘amilin di dalam PAS perlu bekerja lebih keras untuk berdakwah samada melalui contoh tauladan, penyampaian risalah penerangan dan sebagainya. Di akhirnya, beliau berkata, masyarakat Malaysia kini tidak boleh mengharapkan UMNO untuk menyampaikan Islam. “PAS kini perlu bersedia untuk menggantikan tempat UMNO untuk menyampaikan Islam dan menerajui Malaysia,” ujarnya menyeru kepada semua ahli PAS.





TINGKATKAN BANTUAN KEBAJIKAN KEPADA RAKYAT

4 09 2010

Ipoh,3 September – Pesuruhjaya PAS Perak hari ini menyarankan agar ahli PAS di setiap peringkat supaya terus menerus memberikan kebajikan kepada rakyat. Mengulas lanjut, beliau mengatakan bahawa ruang lingkup kebajikan haruslah mencapah supaya dapat mencapai rakyat di pelbagai peringkat. Mengaitkan sirah kebajikan yang dilakukan Rasulullah SAW, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW dapat mengubah arab jahiliyah disebabkan sifat sabar dan istiqamah dalam memberikan kebajikan kepada masyarakat.

“Kita harus memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk meyakinkan rakyat bahawa PAS adalah jamaah Islam yang mendekati masyarakat dan bersedia untuk menggantikan kerajaan korup yang ada kini,” ujarnya mengenai kepentingan PAS memperbanyakkan aktiviti kebajikan. Beliau menambah, sebagai jamaah Islam, PAS harus memanfaatkan bulan Ramadhan untuk memperbanyakkan amal kebajikan kepada rakyat yang lebih utama berbanding amalan-amalan sunat.

Tambahnya lagi, kebajikan tidak harus dipandang dari sudut tenaga dan wang ringgit semata-mata, malah kebajikan juga dapat dilakukan dengan menyampaikan ilmu dan informasi kepada rakyat.








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.