SELAMAT BERJUANG JENTERA PAS PERAK DI DUN GALAS N 45

28 10 2010

GALAS: Pesuruhjaya PAS Perak memberi kata-kata semangat kepada seluruh jentera PAS Perak yang diamanahkan bertugas di DUN Galas ( N 45 ) agar terus berjuang dan beristiqamah dalam memastikan kemenangan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad bagi memenangi kerusi DUN Galas ( N 45 ) .

Beliau menyatakan bahawa kemenangan PAS di Galas ini amat penting bagi meneruskan agenda perjuangan PAS bumi Kelantan Darul Naim.

Memetik ucapan beliau, “Permatang Pauh, Permatang Pasir, Penanti, Bukit Selambau, Bukit Gantang, Manek Urai telah mencatat sejarah kemenangan dalam pilihanraya kecil (PRK) kepada PR dengan pencapaian yang begitu baik. Manakala di Kuala Terengganu yang terletak di timur pula juga telah mengukir kemenangan apabila kita berjaya mengambil kerusi tersebut dari tangan BN.

“Kini tiba pula giliran Galas untuk memberi mesej yang lebih jelas kepada BN, bahawa rakyat pelbagai kaum di negara ini mahukan PR mentadbir Malaysia dan membuka lebaran baru untuk rakyat dalam membangunkan sebuah negara yang adil dan berkebajikan”.

Sehubungan dengan itu beliau berharap agar jentera PAS Perak sentiasa meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dalam setiap ibadah dan gerak kerja yang dilakukan, ini kerana kemenangan sebenar adalah apabila adanya bantuan Allah SWT dalam perjuangan kita, dan seluruh jentera PAS Perak juga perlu bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pilihanraya di Perak. “Semoga momentum kemenangan PR dalam PRK yang berlaku sebelum ini, memberi gambaran awal bahawa Perak akan kembali berada dibawah kepimpinan Pakatan Rakyat”, jelas beliau.





UMNO MENGABAIKAN KEDAULATAN BAHASA MELAYU

8 10 2010

IPOH, 8 Oktober, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Haji Abu Bakar Hussain hari ini mempersoalkan benarkah dakwaan bahawasanya Umno sebagai pembela dan penegak kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia ini?

Beliau menjelaskan, jika dilihat kepada realiti yang dihadapi bahasa ibunda selama berada di bawah pemerintahan umno serta hasil dari keluh-kesah dan rintihan para pejuang bahasa sejak berdekad lalu, ianya menggambarkan kepada kita bahawa Umno ialah sebuah parti yang tidak mempedulikan nasib bahasa Melayu.

“ Buktinya kita melihat peristiwa demi peristiwa protes dan kecaman keras pejuang bahasa sering bersambungan sejak sekian lama. Demonstrasi Keranda 152 tanggal 3 Mac 1967 adalah contoh klasik protes rakyat terhadap sikap tidak bertanggungjawab Umno dalam isu bahasa.”

“ Para pejuang bahasa berarak ke kediaman Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman untuk menyampaikan bantahan kepada Majlis Tertinggi Umno yang bersidang pada hari itu. Mereka mendesak Umno mempertahankan bahasa Melayu, ekoran perbahasan Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967 di Parlimen.”

“ Bagaimana pun peristiwa bersejarah itu nyata tidak mengubah sikap liberal Umno terhadap isu bahasa. Penodaan Dasar Bahasa Kebangsaan masih berterusan hingga kini, terutama oleh pemimpin Umno sendiri,” tegas beliau

Selain itu beliau juga menegaskan rakyat sudah tentu masih mengingati bagaimana pemimpin kerajaan menghina pendirian pejuang bahasa dengan memperkenalkan beberapa istilah yang amat dipertikaikan. Antaranya, tema Hari Kebangsaan ‘Budaya Penentu Kecapaian’ yang dipertikaikan tata bahasanya, tagline ‘Saluran Infotainmen Anda’ untuk RTM, istilah ‘boulevard’ dan ‘presint’ di Putrajaya yang sepatutnya memanfaatkan istilah bahasa Melayu.

Selain itu pengenalan dasar pembelajaran yang mengutamakan bahasa Inggeris (BI) dan mencabar kedaulatan bahasa Melayu, seperti dasar PPSMI, cadangan wajib lulus Bahasa Inggeris untuk SPM, bahasa pengantar Bahasa Inggeris di universiti dan banyak lagi.

Bagi saya Umno kini tidak dapat lagi menipu rakyat dengan menggambarkan bahawa mereka adalah pembela bahasa melayu hal ini kerana rakyat Malaysia mengetahui rentetan sejarah pengkhianatan umno terhadap bahasa melayu, bagi saya jika dibiarkan umno terus berkuasa berkemungkinan besar bahasa melayu sudah tidak dapat dimartabatkan lagi di bumi Malaysia ini, tegas beliau.





SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH HAJI : IKHLAS DARI PESURUHJAYA PAS PERAK

8 10 2010

“…Mengerjakan haji itu adalah kewajiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari (ke-wajiban haji), maka sesungguhnya Allah Mahakaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.” (QS. Ali Imran: 97)

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah haji kepada muslimin muslimat yang akan melaksanakan ibadah tersebut di tanah suci Mekah pada tahun ini.

Saya berdoa moga semua jemaah haji sentiasa mendapat perlindungan dari Allah SWT, moga-moga jemaah tersebut dijauhi dari sebarang musibah yang tidak dingini berlaku.

Dikesempatan ini juga saya menyeru agar para jemaah haji dapat memohon doa dengan sepenuh hati kepada Allah SWT agar diberi kemenangan kepada umat Islam yang sedang berjuang untuk menegakkan hukum-hukum Allah SWT diatas muka bumi ini dan di Malaysia khususnya.

Semoga semua jemaah haji sentiasa tabah dan banyak bersabar dalam melaksanakan ibadah haji agar memperolehi haji yang mabrur, insya-Allah.

Ustaz Haji Abu Bakar Hussain

( PESURUHJAYA PAS PERAK )








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.