POLITIK PERKAUMAN UMNO MENJAUHKAN ORANG MELAYU DARI DASAR PERJUANGAN ISLAM

26 11 2010

IPOH, 26 November, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, hari ini menyatakan bahawa UMNO cuba menipu orang Melayu dengan membangkitkan isu perpecahan Melayu yang kononya sedang berlaku di Perak.

Menurut beliau, UMNO merasakan kononnya mereka sahajalah yang mengambil berat akan orang Melayu. Hakikatnya, PAS selama penubuhannya, telah sekian lama memperjuangkan kesatuan Melayu. Hanya bezanya ialah kesatuan yang diusahakan oleh PAS adalah berasaskan Islam sedangkan apa yang diusahakan oleh UMNO adalah berasaskan sentimen perkauman yang sempit.

Beliau menyatakan lagi, bagi PAS dan mereka yang berjuang di atas dasar Islam, UMNO adalah punca perpecahan ummat Islam kerana UMNO membawa dasar selain dari Islam sebagai dasar perpaduan ummat Islam. UMNO membawa sebuah dasar yang bukan dari Islam dan dalam banyak segi, bercanggah dengan Islam.

Memetik ucapan beliau, “ Usaha PAS untuk menyatupadukan ummat Islam atas dasar Islam digagalkan UMNO melalui berbagai cara termasuk fitnah, penyelewengan maklumat dan tidak ketinggalan juga penggunaan ISA terhadap pimpinan PAS ” “ Ummat Islam ditakut-takutkan oleh media yang dikuasai UMNO dan dikelirukan dengan sengaja supaya menolak perpaduan yang diusahakan PAS. UMNO adalah punca mengapa ummat Islam tidak bersatu di atas dasar Islam ”

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak itu lagi, UMNO sebenarnya gagal menyatupadukan orang Melayu atas dasar Melayu kerana PAS membawa persoalan agama ke dalam arena politik, satu tindakan yang ditolak UMNO. PAS memberitahu orang Melayu bahawa dasar “Melayu” yang mengharuskan rasuah, kezaliman, penyelewengan, penindasan, kronisma dan segala yang tercela “demi kepentingan Melayu”, adalah sesuatu yang menyesatkan. Oleh itu sebahagian dari orang Melayu tidak bersama UMNO dan sebaliknya memilih untuk bersama PAS.

UMNO memberitahu orang Melayu bahawa bangsa Melayu akan hilang kuasa politik sekiranya tidak bersatu di bawah payung mereka dan menakutkan orang Melayu dengan ramalan-ramalan seperti orang Melayu menggemis di Negara sendiri dan sebagainya. PAS memberitahu ummat Islam bahawa keadaan “lemah” mereka adalah hasil dari perjuangan “Melayu” yang diperalatkan segelintir elit Melayu untuk mengayakan diri mereka sendiri di atas nama semangat Melayu. PAS menyeru ummat Islam untuk kembali kepada Islam dan menolak dasar Melayu ini. Sekiranya tidak, maka pendekatan yang dibawa UMNO selama ini akan menyebabkan ummat Islam menjadi semakin lemah dan yang paling dikhuatiri sebagai ummat Islam ialah semakin dimurkai Allah, tegas beliau.





KENYATAAN MEDIA PAS PERAK ( 23 NOVEMBER 2010 )

24 11 2010

UMNO / BN PERAK TERDESAK: PENGHULU SELURUH PERAK DIHASUT UNTUK MEMBENCI PAKATAN RAKYAT.

Menurut sumber yang diperolehi oleh PAS Perak, baru-baru ini seluruh penghulu-penghulu negeri Perak telah dikumpulkan di Cameron Higland dalam satu program anjuran Kerajaan Barisan Nasional ( BN ). Program tersebut diisi oleh Majlis Keselamatan Negara. Program yang asalnya berupa taklimat isu-isu keselamatan negara menjadi medan politik kepada para penceramah untuk memastikan UMNO BN terus kekal memerintah negeri Perak.

Menurut sumber para penceramah telah menyentuh isu-isu yang boleh dianggap menghasut para penghulu dengan membangkitkan perasaan perkauman. Kerajaan Pakatan Rakyat yang telah memerintah Perak hampir setahun telah diburukkan imejnya oleh mereka di hadapan penghulu-penghulu, antara dakwaan yang berbentuk perkauman dan fitnah mereka ialah mereka menimbulkan kebencian peserta kepada Pakatan Rakyat Perak dengan mendakwa kononnya DAP lah yang menguasai Perak, PAS dan Dato’ Seri Ir Hj Mohamad Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar Perak hanya boneka semata-mata, Selain itu PAS Perak juga mendapat maklumat bahawa Dato Seri Anwar Ibrahim juga menjadi sasaran mereka. Para penceramah tidak segan silu memburuk-burukkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat terutamanya Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

PAS Perak melihat UMNO BN Perak kini sedang berada dalam ketakutan, Buktinya UMNO BN cuba meracuni pemikiran rakyat dengan doktrin hanya UMNO BN sahaja yang mampu dan boleh memerintah Perak dan negara sebaliknya negara akan hancur sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negara.

Bagi PAS Perak, UMNO BN sememangnya sudah terdesak dengan situasi politik Perak dan seluruh negara, mereka tidak yakin mampu mempertahankan kerajaan Perak yang dirampas mereka. Buktinya ialah, para penghulu dihimpunkan oleh UMNO BN untuk ditanam bibit-bibit kebencian kepada Pakatan Rakyat.

Program yang dilakukan itu menggambarkan UMNO BN meletakan harapan agar para penghulu boleh mamainkan peranan bagi memastikan UMNO BN kekal mengekalkan kuasa mereka, inilah bukti salahguna kuasa yang dilakukan oleh UMNO BN dam menguruskan kakitangan awam di negara ini.

PAS Perak melihat bahawa Adun-adun UMNO BN Perak sudah tidak dapat menarik sokongan rakyat untuk menyokong mereka, Adun-adun UMNO BN kini sudah tidak yakin dengan kapasiti UMNO BN samada mereka masih boleh terima oleh rakyat Perak atau tidak, kerana itulah para penghulu diperdaya kononnya menghadiri taklimat isu-isu keselamatan negara, pada hal mereka dihasut oleh para penceramah untuk membenci Pakatan Rakyat.

Bagi PAS Perak, perkara yang berlaku ini amat dikesalkan sama sekali, duit rakyat yang besar bagi membiayai program tersebut digunakan untuk program politik UMNO BN atas nama Majlis Keselamatan Negara.

Menurut sumber yang didapati oleh PAS Perak juga, selepas ini Ketua-ketua Kampung seluruh Perak juga akan dikumpulkan bagi tujuan program yang sama, begitu juga para pengetua dan guru-guru besar sekolah-sekolah seluruh Perak juga akan dikumpulkan bagi menabur fitnah kepda Pakatan Rakyat khususnya di Perak bagi memastikan UMNO BN terus kekal memerintah Perak.

Ustaz Abu Bakar Hussain
( Pesuruhjaya PAS Perak )





PERUTUSAN AIDIL ADHA : PESURUHJAYA PAS PERAK

15 11 2010

Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam, khususnya ahli dan penyokong PAS. Sukacita saya memberi peringatan bahawa hari raya bagi umat Islam, bukan sahaja makan minum dan berpakaian, tetapi lebih istimewa ia berkait dengan ibadah penting dan peristiwa besar kepada umat Islam.

Kita baru sahaja berhari raya sempena ibadah puasa Ramadan yang besar hikmat dan fadilatnya, serta peristiwa Nuzul al-Quran dan perjuangan besar seperti Badar dan lain-lain yang memberi kemenangan kepada umat Islam.

Sekarang kita menyambut hari raya yang berkait dengan ibadah haji dan peristiharan al-Quran disempurnakan, seterusnya peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim yang ikhlas beribadah hanya kepada Allah dan menentang syirik, walaupun ianya didukung oleh kuasa besar dunia paling kaya, kuat dan zalim di zamannya, akhirnya Allah memberi kemenangan kepada Islam.

Peristiwa ini dihayati pula oleh kalangan Ansar (para sahabat) dari Madinah yang berbai’ah di Aqabah dalam musim haji, menyatakan keimanan, kesetiaan dan bersedia untuk berkorban apa sahaja bagi menegak dan mempertahankan Islam di tengah kuasa-kuasa besar dunia dan seluruh dunia di zamannya. Akhirnya mencapai kemenangan dan Islam menjadi kuasa besar tunggal yang memimpin dunia dengan adil.

Marilah kita hayati Hari Raya Aidil Adha ini dengan mengambil iktibar daripada petunjuk di atas, demi kemenangan dunia dan akhirat. Allahhu Akhbar Allahhu Akhbar Allahhu Akhbar

Ustaz Abu Bakar Hussain
( PESURUHJAYA PAS PERAK )





12 11 2010





PESURUHJAYA PAS PERAK : ISTIQAMAHLAH, KITA SEMAKIN HAMPIR DENGAN KEMENANGAN.

11 11 2010

IPOH, 11 November – Pesuruhjaya PAS Perak hari ini mengingatkan kepada seluruh ahli PAS di setiap peringkat supaya terus tetap dan sabar dalam membawa perjuangan Islam untuk sampai kepada masyarakat. Beliau mengingatkan agar penggerak-penggerak parti supaya terus istiqamah dalam menghadapi mehnah dan tribulasi dalam perjuangan kerana sudah menjadi sunnatullah atau adat perjuangan, pastinya mereka akan diuji sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
(Al Ankabut : 2-3)

Beliau juga menambah, istiqamah merupakan suatu perkara yang mudah untuk dikatakan akan tetapi, pelaksanaannya amat sukar dan memerlukan kepada kesabaran dan pengorbanan yang tinggi. Istiqamah merupakan perkara yang amat berat sehingga tumbuh uban Rasulullah ketika mana turunnya ayat yang menyuruh untuk istiqamah.

Mengulas lanjut, beliau menambah, PAS merupakan parti yang amat komited di dalam memperjuangkan Islam sejak dari zaman kemerdekaan lagi. “Kita tidak pernah berundur daripada medan mendaulatkan syariat Allah di muka bumi ini kerana kita komited dengan perjuangan suci ini,” tegas beliau menjelaskan kewujudan PAS di muka bumi Malaysia. “Maka tidak harus kita berundur sekarang kerana kita yakin kemenangan sudah semakin hampir dengan kita,” jelas beliau lagi mengajak seluruh ahli supaya terus tetap berada di jalan perjuangan dan seterusnya mengatakan bahawa untungnya menjadi pejuang Islam adalah kerana dihujungnya, pasti akan mencapai kemenangan samada kemenangan di dunia ataupun mendapat syahid sambil membacakan ayat ke-23 surah al-Ahzab yang bermaksud

Di antara orang-orang yang beriman itu terdapat pemuda-pemuda yang membenarkan janji mereka kepada Allah. Di antara mereka ada yang telah menyempurnakannya dan ada yang masih menunggu. Mereka tidak sekali-kali mengubah janji mereka. (Al-Ahzab: 23)

Seterusnya, beliau menambah, UMNO kini sudah tua untuk memerintah Malaysia. Malaysia memerlukan pembaharuan untuk membawa masyarakat kini dan beliau menyeru agar penggerak-penggerak parti untuk bekerja dengan untuk lebih kuat. “Dengan izin Allah dan kesungguhan kita bergerak kerja, UMNO dan Barisan Nasional akan menjadi sejarah pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti,” tegas beliau.





ZAMBRY PERLU AKUI KESILAPAN BUKAN MEMPERTAHANKAN PERKARA YANG SALAH : PESURUHJAYA PAS PERAK

8 11 2010

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyokong tindakan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak kerana telah mengecam tindakan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang masih meneruskan amalan perbuatan khurafat dan syirik ketika merasmikan program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar dalam DUN Manong sebelum ini.

Menurut beliau perkara yang diamalkan , Zambry yang didakwa telah meletak ancak ke tiang seri di tapak pembinaan rumah jelas menunjukkan Zambry tidak sensitif terhadap isu umat Islam yang menyentuh berkenaan umat Islam di Perak.

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak itu lagi, amalan khurafat ialah perbuatan atau perkara-perkara yang menyalahi hukum syarak yang masih terdapat dalam aktiviti masyarakat. Kepercayaan yang telah kuat bertapak dan berakar umbi dalam masyarakat itu seolah-olah telah menjadi satu pegangan atau tradisi yang mesti dilakukan dalm majlis-majlis atau perayaan tertentu.

Selain itu beliau juga menyatakan, Antara perkara khurafat yang dibuat oleh Zambry ialah meletak ancak ke tiang seri di tapak pembinaan rumah Syarat dan adat Istiadat yang mesti di buat untuk mendirikan rumah baru seperti mengantungkan buah kelapa muda di tiang seri rumah, menanam tahi besi ,emas , perak , tembaga pada setiap tiang seri rumah dan menepung tawar sebagai upacara memulih rumah tersebut.

Beliau juga menyatakan, Acara-acara khurafat tersebut biasanya akan dilakukan oleh Bomoh, kononnya untuk mengelakkan daripada di ganggu oleh jin dan syaitan dan untuk mendapatkan kesejahteraan dan keselamatan kepada semua penghuni rumah tersebut. Sebenarnya upacara tersebut tidak lebih daripada upacara menjamu jin dan tidak ada kena mengena dengan keselamatan dan kesejahteraan penghuni rumah itu.

Selain itu Pesuruhjaya PAS Perak itu juga mengharapkan agar rakyat Perak dapat menjauhkan diri dari amalan-amalan khurafat sepertimana yang diamalkan oleh Zambry, atau mana-mana amalan yang boleh menggugat akidah umat Islam. Hal ini kerana perkara berkaitan akidah adalah perkara yang penting dan merupakan perkara teras dalam kehidupan umat Islam, jika akidah tergugat maka seluruh amalan yang lain turut tidak diterima Allah SWT.








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.