PAS PERAK SEDIA HADAPI PILIHANRAYA PADA BILA-BILA MASA

25 01 2011

IPOH, – PAS Perak bersedia menghadapi pilihan raya umum atau pilihanraya di Negeri Perak sahaja, bila-bila masa dari sekarang, kata Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain.

Walaupun kuasa memanggil pilihan raya itu terletak di tangan Perdana Menteri untuk membuat suatu kejutan, Pesuruhjaya PAS Perak itu berkata kerajaan seharusnya memberi tempoh tertentu sebelum mengadakan pilihan raya bagi membolehkan parti bertanding membuat persediaan.

“Sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, pilihan raya tidak patut diadakan secara mengejut dan perlu diisytiharkan lebih awal seperti tiga bulan atau sebagainya supaya kita sama-sama boleh bersedia,” jelas beliau.

Beliau mengulas kenyataan kemungkinan DUN Perak juga akan dibubarkan dalam masa terdekat memandangkan DUN Sarawak sudahpun dibubarkan.
Beliau juga menganggap Datuk Seri Najib Razak tidak memahami konsep Negara domokrasi yang sebenar kerana beliau ada menyatakan tarikh pilihan raya tidak akan diadakan dalam masa terdekat dan pengumuman mengenainya akan dibuat sebagai suatu kejutan.

Sebelum ini, Najib berkata kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum akan datang semata-mata berdasarkan kepada satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokong beliau.

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga berkata, soal cepat atau lambat pilihan raya diadakan, bagi PAS ia tidak menimbulkan masalah kerana parti itu sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi Pilihanraya umum pada bila-bila masa.





ISA SAMAD SELESA DENGAN BUDAYA MAKSIAT DAN GEMAR HINA ULAMA

21 01 2011

IPOH , Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, menyatakan bahawa setiap orang hendaklah beringat bahawa segala amalan yang dilakukan di dunia akan dinilai Allah di akhirat.

Beliau mengulas maksud ayat al quran “Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, niscaya dia akan melihat balasannya, dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya”

Beliau menjelaskan semakin lama kita menyertai gerakan islam PAS, semakin kita meyakini bahawa perjuangan PAS adalah untuk memberikan keadilan islam kepada semua dan perkara ini bukan khayalan . .

Beliau menjelaskan tempoh hari bekas presiden UMNO dan merangkap pengerusi FELDA, Isa Samad telah mengutuk Tuan Guru Nik Aziz sebagai gila. Katanya , “Musyidul am PAS lagi gila. Dia kata DAP sudah memahami Islam”.

Pesuruhjaya PAS Perak itu menyatakan kita sebagai orang Islam perlu menilai sejauhmana kefahaman Isa Samad terhadap Islam

Memetik kata-kata beliau “. Boleh ke kata-kata Isa Samad ini dipercaya? Rekod politiknya gelap kerana pernah terlibat dengan politik wang dalam perhimpunan agung UMNO 2004 sehingga dipecat daripada jawatan naib presiden UMNO”

“ Baru-baru ini Isa Samad menghina Mursidul Am PAS dalam program jamuan 1 Malaysia dimana peserta dijamu dengan bir percuma bersama prgoram tari-tarian. Semua ini menunjukkan kata-kata Isa Samad tidak boleh dipercayai sama sekali malah perlu ditolak dan ditegur. “ Tegas beliau.

Ini merupakan petunjuk daripada Allah kepada rakyat Malaysia bahawa UMNO perlu ditolak dan bukti PAS berada pada jalan yang benar. Inilah jalan yang dilalui Rasulullah SAW, dimana baginda juga pernah dilabel sebagai orang gila oleh orang kafir Quraisy. Tetapi Allah menyayangi baginda dan membela baginda dengan menurunkan ayat Quran: “Siapakah orangnya yang gila di antara kamu semua. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk. Oleh itu (berpegang teguhlah pada ajaran Islam yang sedang engkau amalkan, dan) janganlah engkau menurut kemahuan orang-orang yang mendustakan (ugama Allah)” .

Beliau menyimpulkan bahawa, cukuplah peristiwa ini dan lain-lain sebagai bukti kepada rakyat Malaysia bahawa perjuangan PAS perlu didokong manakala UMNO pula perlu ditolak.





TAHNIAH DARI PAS PERAK KEPADA BARISAN PEGUAM PAS DAN PIMPINAN SERTA AHLI PAS YANG BERJAYA MENYATAKAN KEBENARAN DI MAHKAMAH

14 01 2011

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain mewakili PAS Perak, mengucapkan tahniah kepada kepada barisan peguam pas dan pimpinan serta ahli pas yang berjaya menyatakan kebenaran di mahkamah kerana memenangi kes atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam.

PAS Perak mengucapkan tahniah khususnya kepada peguam-peguam PAS, khususnya kepada Peguam Mohamad Hanipa Maidin, Peguam Aminuddin Zulikifli dan Peguam Yusnita Yusoff yang yang Berjaya mempertahankan hujah dan kebenaran bagi memastikan kemenangan berpihak kepada kebenaran.

Semoga dengan keputusan ini, kita terus meningkatkan komitmen dan istiqamah kita dalam memastikan perjuangan membela rakyat dalam mendapatkan keadilan diteruskan oleh kita semua

Semoga Allah SWT memberkati segala amal ibadah dan usaha kita dalam perjuangan ini.





SELAMAT BERJUANG JENTERA PAS PERAK DI DUN TENANG

14 01 2011

Pesuruhjaya PAS Perak hari ini memberi kata-kata semangat kepada seluruh jentera PAS Perak yang diamanahkan bertugas di Pilihanraya Kecil DUN Tenang, agar terus berjuang dan beristiqamah dalam memastikan kemenangan calon PAS, bagi memenangi kerusi Dun Tenang.

Beliau menyatakan bahawa kemenangan PAS diDUN Tenang ini amat penting bagi membuka lembaran baru kebangkitan PAS di zon selatan tanah air ini.

Memetik ucapan beliau ” Permatang Pauh, Permatang Pasir, Penanti, Bukit Selambau, Bukit Gantang di utara telah mencatat sejarah kemenangan dalam pilihanraya kecil (PRK) kepada PR dengan pencapaian yang begitu baik. Manakala di Kuala Terengganu yang terletak di timur pula juga telah mengukir kemenangan apabila kita berjaya mengambil kerusi tersebut dari tangan BN.

“Kini tiba pula giliran DUN Tenang yang terletak di selatan untuk memberi mesej yang lebih jelas kepada BN, bahawa rakyat pelbagai kaum di negara ini mahukan PR mentadbir Malaysia dan membuka lembaran baru untuk rakyat dalam membangunkan sebuah negara yang adil dan berkebajikan”.

Sehubungan dengan itu beliau berharap agar jentera PAS Perak sentiasa meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dalam setiap ibadah dan gerak kerja yang dilakukan, ini kerana kemenangan sebenar adalah apabila adanya bantuan Allah SWT dalam perjuangan kita, dan seluruh jentera PAS Perak juga perlu bersiap sedia untuk menghadapi Pilihanraya Umum yang akan berlaku tidak lama lagi. “semoga momentum kemenanangan PR dalam PRK yang berlaku sebelum ini, memberi gambaran awal bahawa Perak akan kembali berada dibawah kepimpinan Pakatan Rakyat”. jelas beliau





UMNO GUNA STRATEGI MEMISKINKAN RAKYAT AGAR UMNO TERUS BERKUASA

13 01 2011

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyatakan bahawa, kajian yang dijalankan oleh Economist Intelligence Unit mendapati bahawa demokrasi di Malaysia jatuh kepada anak tangga ke-71 berbanding tangga ke-68 pada tahun 2008 adalah satu perkara yang sangat membimbangkan bagi perjalanan sesebuah Negara yang memegang prinsip demokrasi

Penilaian tersebut dibuat melalui lima kriteria iaitu proses pilihan raya dan pluralisme, fungsi kerajaan, penyertaan politik, budaya politik dan kebebasan sivil. Malaysia mengalami penurunan dalam budaya politik dan kebasan sivil, meskipun meningkat dalam peratusan fungsi kerajaan.

Menurut beliau apabila ditanya kepada masyarakat kampung berkenaan dengan keluarga, pekerjaan, pendapatan, bantuan kewangan, politik dan kerajaan, kita pasti akan mendapati ramai di antara mereka yang berada di bawah paras kemiskinan tegar, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Beliau menyatakan, mereka yang dikategorikan sebagai miskin ialah mereka yang sukar memenuhi keperluannya yang amat asasi sebagai manusia, yang dinamakan kemiskinan mutlak. Namun pengkategorian kemiskinan adalah relatif, berbeza mengikut kumpulan pendapatan, kumpulan etnik dan penghuni bandar dan luar bandar.

Beliau menyatakan lagi, ada di antara mereka yang mempunyai penghasilan gaji tetap, swasta, usahawan kecil dan bekerja sendiri. Akan tetapi penghasilan yang diperoleh setiap bulan tidak mencukupi untuk hidup secara selesa, apatah lagi untuk mendapatkan tempat tinggal yang layak, pendidikan anak-anak, kemudahan kesihatan yang terbaik dan sebagainya.

Ada pula yang tidak mempunyai penghasilan tetap, bahkan ada yang tidak bekerja. Mereka mendapatkan sumber wang melalui cara meminta sedekah dan mencuri tegas beliau.

Justeru kita mendapati bahawa, tekanan hidup yang mereka hadapi memberi kesan kepada sokongan politik. Disebabkan tekanan hidup yang tinggi, mereka cenderung untuk mengharap kepada bantuan. Ada juga yang berpendapat masyarakat miskin adalah masyarakat warung, sesiapa yang membeli dan membayar akan dilayani. Apa maksudnya?

Masyarakat miskin sangat dipengaruhi oleh pemberian yang memberi kesan kepada sokongan. Ini bermakna, sesiapa yang membayar mereka, maka itulah pihak yang akan diundi di dalam pilihanraya. Maka timbul persoalan, dapatkah masyarakat sebegini mengamalkan demokrasi secara baik, penuh kesedaran dan tanggungjawab? Tegas beliau

Beliau berpendapat bahawa demokrasi yang diamalkan oleh masyarakat miskin adalah demokrasi perut . Ia bermaksud mana-mana pihak yang dapat memenuhi keperluan mereka secara pragmatik seperti memberi wang, bahan makanan dan sebagainya menjelang pengundian, pihak itulah yang akan mereka undi dalam pilihanraya nanti.

Selain itu apabila ditanya kepada masyarakat kampung, khususnya masyarakat di pedalaman mengenai politik, maka jawapan mereka sangat membimbangkan. Mereka akan memilih pihak yang memberi bantuan wang (yang sebenarnya hanya diberikan apabila menjelang hari pengundian). Apa yang menarik, ada juga di antara mereka yang mempertaruhkan 1 undi hanya untuk mendapatkan wang 50 ringgit yang dijanjikan.

Justeru beliau menyatakan, dalam masyarakat miskin dan akses kepada pendidikan kualiti yang kurang, demokrasi tidak dapat tumbuh dan berkembang dengan baik. Demokrasi dapat dijual kepada kuasa ekonomi dan politik dengan harga yang murah, kerana tekanan kemiskinan dan ketidaktahuan. Maka, masyarakat sebegini akan menyalurkan aspirasi politik mereka kepada mereka yang mempunyai kuasa wang.

Dengan itu Pakatan Rakyat perlu bekerja lebih kuat untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat Malaysia terutama yang berda di kawasan pendalaman, hal ini sangat penting kerana strategi Umno Bn untuk mengekalkan kuasa mereka adalah dengan terus membiarkan penduduk kampong dan pendalaman tidak maju dan berada ditahap kemiskinan yang sangat teruk, hal ini penting bagi mereka untuk mereka mengamalkan rasuah politik wang yang selama ini diajar oleh mereka kepada masyarakat luar Bandar, tegas beliau.





SERUMPUN DOA, SEMOGA CEPAT SEMBUH BUAT USTAZ MISBAHUL MUNIR

12 01 2011

Bismillahir Rahman’ nir Rahim

Assalamualaikum wrt

PAS Negeri Perak ingin merakamkan doa kami kepada Al Fadhil Ustaz Misbahul Munir Masduki ( Setiusaha Badan Perhubungan PAS Perak merangkap YDP PAS kawsan Bagan Datoh ) serta keluarga diatas musibah yang menimpa beliau disebabkan terlibat dalam kemalangan jalanraya, Sesungguhnya kami yakin, seluruh ahli PAS Perak khususnya amat mengharapkan agar Al Fadhil Ustaz Misbahul Munir Masduki berada dalam keadaan baik dan selamat.

PAS Negeri Perak juga berharap keluarga Al Fadhil Ustaz Misbahul Munir Masduki dapat bersabar dalam ujian dan ketentuan dari Allah S.W.T ini .Bagi pihak seluruh kepimpinan dan warga PAS Negeri Perak, kami mendoakan semoga Al Fadhil Ustaz Misbahul Munir Masduki dilimpahkan kesihatan dan kekuatan yang jitu dari Allah S.W.T.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

Al Fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain
( Pesuruhjaya PAS Perak )





MASALAH SOSIAL NEGARA BERPUNCA DARI PEMIMPIN UMNO BN YANG ROSAK AKHLANYA

7 01 2011

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyatakan saban tahun Negara diliputi dengan kes-kes gejala sosial dan kerosakan moral seperti kes pembuangan bayi, kes pembunuhan dan kes rasuah.

Beliau menyeru agar rakyat Malaysia berfikir sejenak dimanakah letaknya punca masalah-masalah ini.

Menurut beliau, umumnya semua orang mengetahui bahawa agama merupakan benteng penghalang utama daripada masalah-masalah sosial tersebut berlaku. Tetapi sekarang kita lihat pegangan agama rakyat sudah rosak dan antara punca utamanya ialah rakyat Malaysia kini mempunyai pemimpin yang zalim dan ketandusan akhlak yang baik.

Beliau mengulas mengenai kes seorang menteri kanan kerajaan Malaysia yang dikatakan merogol pembantu rumah mereka. Kes ini dibocorkan Wikileaks yang mendedahkan maklumat diplomasi kerajaan Amerika. Paling teruk ialah isteri menteri tersebut tahu akan kejadian tersebut tetapi cuba disembunyikan kerajaan UMNO BN.

Memetik ucapan beliau “ Jika inilah tahap pegangan agama seorang menteri yang diamanahkan untuk memimpin rakyat, tidak hairanlah rakyat Malaysia terpaksa berhadapan dengan kes pembuangan bayi, kes pembunuhan dan pelbagai lagi kes yang membuatkan kehidupan di Malaysia semakin tidak aman, disebabkan rakyat mempunyai pemimpin yang rosak ini”

Pesuruhjaya PAS Perak itu menyeru agar seluruh rakyat Malaysia mengambil ikhtibar akan kes yang berlaku itu.

Menurut beliau kini rakyat Malaysia sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan BN kerana memiliki pemimpin yang mempunyai masalah akhlak dan integriti yang sangat kritikal

“ Rakyat kena tolak kerajaan BN. Bukan sahaja untuk kesejahteraan kita, tetapi bayangkan bagaimana pemimpin ini akan mendidik anak-anak kita, tentulah rosak anak-anak kita. Rosak generasi seterusnya” tegas beliau.

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga mengajak rakyat Malaysia untuk bertaqwa kepada Allah. Takutlah daripada menerima akibat sama seperti kaum-kaum terdahulu seperti kaum Firaun dan kaum Namrud, di mana mereka ini dipimpin oleh pemimpin-pemimpin zalim yang akhirnya mengakibatkan diri mereka sendiri bersama dengan rakyat-rakyat mereka dihancurkan Allah Taala kerana maksiat yang mereka lakukan.





ISU SUK SELANGOR: KERAJAAN PUSAT CUBA RAMPAS KUASA DI SELANGOR SEPERTIMANA STRATEGI MEREKA DI PERAK

3 01 2011

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, menyatakan isu perlantikan SUK Selangor merupakan suatu lagi petanda diberikan Allah kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan Umno BN wajar ditolak dalam pilihanraya akan datang.

Beliau menyatakan, Kes perlantikan tersebut jelas menunjukkan kerajaan Umno BN memberi amanah bukan untuk kepentingan rakyat tapi untuk kepentingan peribadi mereka.

Memetik ucapan beliau “ Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. digambarkan bahawa kemusnahan akan berlaku sekiranya amanah diberikan kepada orang yang bukan ahlinya. Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w., bertanya tentang ” bilakah terjadi kiamat “. Rasulullah s.a.w. menjawab : yang bermaksud :” Apabila hilang amanah, tunggulah kiamat itu. Orang itu bertanya lagi : Bagaimanakah keadaan itu berlaku ? jawab Rasulullah s.a.w. : ” iaitu apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamatnya (kerosakan)”.

Menurut beliau lagi, tujuan utama perlantikan SUK kerajaan negeri, di mana-mana negeri sekalipun, adalah supaya SUK dapat membantu menggerakkan pengurusan kerajaan negeri berkhidmat kepada rakyat.

Menjalankan tugas mentadbir sesuatu negeri bukan suatu yang mudah malah memerlukan kelayakan dan kerjasama daripada pelbagai pihak baik Adun yang dilantik oleh rakyat ataupun kakitangan kerajaan, jelas beliau.

Dalam kes di Selangor, perlantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK sepatutnya tidak berlaku kerana beliau telahpun mempunyai masalah yang kritikal sebelum ini dengan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor sewaktu beliau masih menjawat jawatan Pengarah JAIS. Jelas ini menunjukkan beliau tidak boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri seterusnya menjalankan amanah yang diberikan dengan baik.

Beliau jjuga menyatakan, Datuk Mohd Khusrin Munawi jelas dilihat sebagai agen yang dihantar Umno Barisan Nasional untuk mengganggu pentadbiran Pakatan Rakyat di Negeri Selangor, hal ini kerana Umno Bn tidak dapat menerima kenyataan bahawa kerajaan Selangor kini dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat.

Beliau juga menyatakan bahawa umno bn sememangnya cuba untuk mendapatkan semula negeri Selangor dengan apa cara sekalipun dan buktinya umno bn sudah Berjaya mendapatkan Perak dengan cara rampasan kuasa sebelum ini.

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menyeru agar rakyat Malaysia menolak kerajaan BN kerana perlantikan ini menunjukkan kerajaan BN tidak meletakkan khidmat kepada rakyat sebagai misi utama mereka sebaliknya berkhidmat memenuhi kepentingan dan kehendak nafsu mereka.

Menurutnya lagi, jika sebelum ini rakyat tercari-cari apakah buktinya bahawa kerajaan pusat BN sering menindas kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat, kes perlantikan SUK inilah bukti yang kukuh. Inilah perangai yang ditunjukkan kerajaan BN iaitu mengutamakan kepentingan peribadi berbanding amanah berkhidmat untuk rakyat.

Ustaz Abu Bakar Hussain juga mengajak semua pihak untuk bertakwa kepada Allah. Semua pihak harus ingat bahawa berkhidmat untuk rakyat bukan sekadar membantu rakyat menghadapi kehidupan dunia, sebaliknya membantu rakyat menghadapi kehidupan dunia dan akhirat yang kekal abadi.








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.