Takziah Buat Keluarga Allahyarham Zakaria Yasin Pengarah Majlis Tindakan DUN Pasir Panjang.

15 02 2011

PAS Perak ingin merakamkan ucapan takziah buat keluarga Almarhum Zakaria Yasin ( Pengarah Majlis Tindakan DUN Pasir Panjang ) 51 Tahun, diatas pemergiannya kerahmatullah awal pagi tadi.

Beliau merupakan, Pengarah Majlis Tindakan DUN Pasir Panjang juga pernah menjawat jawatan sebagai Setiusaha PAS Kawasan Lumut, Ketua Penerangan PAS Kawasan Lumut dan Pengerusi bersama Sekretariat Pakatan Rakyat Parlimen Lumut

Beliau telah meninggal dunia jam 1.00 pagi tadi dalam perjalanan ke hospital setelah mengadu sakit dada, Jenazah beliau disembahyangkan di Surau MADAH Fasa 1A Seri Manjung jam 10.00 pagi tadi dan disemadikan di kampung Relau Batu Kurau, Perak.

Sesungguhnya pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat PAS Perak.

PAS Perak melihat, walaupun pemergian Almarhum menemui Allah SWT adalah satu kehilangan besar bagi PAS Perak, tetapi Almarhum telah berjaya membuktikan bahawa beliau telah menggunakan kesempatan hidup diatas muka bumi untuk terus berjuang menegakkan perintah ALLAH SWT.

Semoga ALLAH SWT meletakkan rohnya bersama para An’biya, Syuhada’ dan Solihin.

Salam Takziah
Ustaz Abu Bakar bin Hussain
( PESURUHJAYA PAS PERAK )





PAS PERAK, LANCAR KEMPEN INFAQ PENGHAPUS DOSA

14 02 2011

IPOH- Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, melancarkan kempen “ INFAQ PENGHAPUS DOSA” diperingkat negeri Perak baru-baru ini.

Program ini telah menghimpunkan seluruh Yang Di Pertua dan Setiausaha PAS Kawasan-kawasan di Perak bagi menerima amanat untuk membuat kutipan Infaq bagi mengukuhkan tabung gerak kerja Tarbiyah, Dakwah dan Politik PAS Perak.

Kempen ini bertujuan untuk mengumpul dana sebanyak RM100 Ribu dalam tempoh satu bulan dengan kaedah edaran kupon derma, disamping menggalakkan seluruh ahli PAS Negeri Perak untuk bersedaqah dan menginfaqkan harta.

Selain itu, kempen ini juga dapat mewujudkan budaya mengutamakan bersedaqah yang mana ia mampu melepaskan seorang mu’min dari sifat kedekut dan melatih tumbuhnya sifat berkorban, suka berinfaq dan sikap suka mementingkan orang lain lebih dari diri sendiri.

Pesuruhjaya PAS Perak itu turut mengingatkan agar semua ahli PAS Perak sentiasa mengingtati ayat Al-Quran dalam Surah Al-Baqarah ayar 261 yang bermaksud “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya

Justeru PAS Perak mengharapkan agar usaha murni ini dapat menambahkan kekuatan material PAS Perak bagi membina kekuatan dakwah di Perak bagi merealisasikan konsep Negeri yang baik serta mendapat keampunan dari Allah.





PAS KOMITED KUKUHKAN USAHA KERJASAMA ANTARA KAUM BERSAMA PAKATAN RAKYAT

11 02 2011

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussain menyatakan bahawa PAS akan sentiasa komitmen dan istiqamah bersama Pakatan Rakyat bagi menumbangkan kuasa umno BN yang sudah lama bertapak di Malaysia dan Perak khususnya.

Beliau menyatakan, perjuangan melalui landasan dimensi baru seperti Pakatan Rakyat adalah suatu perjuangan yang realiti dan pastinya mewakili komposisi kaum, stratafikasi sosial serta pluralisasi budaya yang wujud di bumi Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa,pemimpin dan pendokong pakatan Rakyat tidak akan larut dengan kempen dan idea-idea perkauman sempit yang kian dikumandangkan oleh UMNO menjelang pilihanraya akan datang. Idea yang menghalang kelancaran persefahaman antara kaum dan agama dalam komponen Pakatan Rakyat perlu diketepikan.

Malah menurut beliau juga, pegangan kaum Muslim (ahli PAS) berkenaan konsep Agama Islam yang hanya diiktiraf oleh Allah (In Addin Indallah Al Islam) adalah perkara ‘tetap’ yang menjadi tulang belakang aqidah dan tidak akan merosakkan saranan agama untuk berinteraksi dan memakmurkan bumi ini secara adil dan mengajak ke arah kebaikan. Perinsip aqidah adalah teras agama dan ia bukan alasan untuk umat Islam menolak toleransi antara agama dalam negara ini.

Beliau menyatakan bahawa, PAS akan mengenepikan sikap perkauman dan ketuanan bangsa yang digunakan umno selama ini dalam menghalang masyarakat bukan melayu melihat Islam sebagai suatu agama yang indah dan baik.

Menurut beliau lagi, pertautan kerja erat antara kaum dalam Pakatan Rakyat adalah perlu untuk mengekalkan kemenangan Pakatan Rakyat di Perak khususnya.

Selain itu, Dewan Himpunan Penyokong PAS ( DHPP ) yang terdiri dari masyarakat bukan Islam didalam dewan ini akan menyemarakkan lagi agenda penerangan kepada kaum bukan islam dan menimbulkan kesedaran kepada kaum melayu betapa tegarnya sikap kaum bukan Melayu terhadap agenda perubahan kerajaan yang lebih baik, jelas beliau.

Justeru beliau mengingatkan agar Jentera PAS Perak sentiasa bekerja atas kesepaduan kerja antara kaum serta mengeratkan hubungan dengan parti Pakatan Rakyat yang lain untuk menghadapi jentera BN PRU-13 akan datang serta mengambil resolusi Konvensyen PR di Pulau Pinang sebagai landasan kefahaman kerja bagi mencipta kemenangan buat rakyat dalam pilihanraya umum ke 13 ini.





KEBANGKITAN RAKYAT MESIR INSPIRASI RAKYAT MALAYSIA UNTUK TUKAR KERAJAAN PUSAT

4 02 2011

IPOH, 5 Februari, dalam mengulas isu kebangkitan rakyat di Mesir dan dunia arab yang lain, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar memulakan dengan memetik firman Allah SWT. dalam Surah Ali-Imran:

“Katakanlah: `Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (QS. 3:26)

Memetik ucapan beliau “ Dalam ayat ini, Allah sebut bahawa Allah yang memberi kerajaan kepada sesiapa yang Dia khendaki dan menggulingkan sesiapa yang dikhendaki”

“ Ayat ini merupakan suatu renungan kepada mana-mana kerajaan bahawa mereka hanya berkuasa atas pemberian Allah dan bukan atas kehebatan mereka sendiri. Buatlah tembok besi ke, tentera yang canggih dan ramai ke, pengaruh yang luas ke, semua itu hanya kecil dibandingkan dengan kekuasaan Allah”

“ Benda-benda itu tak dapat menyelamatkan mereka daripada ketentuan Allah. Apabila kita faham konsep ini, sepatutnya pemerintah bersifat adil dan saksama. Kena bertanggungjawab kepada rakyat dan membantu hidup mereka.”

Menurut beliau, di Mesir kita lihat rakyat di sana sudah tidak tahan ditindas. Bagaikan air panas yang terpendam dalam bumi, tunggu masa sahaja hendak keluar dan meletus. Jurang taraf hidup antara golongan berada dan golongan berpendapatan rendah semakin luas. Kerajaan Hosni Mubarak dengan zalim menangkap dan menghancurkan musuh politik mereka untuk memastikan mereka terus berkuasa. Lebih zalim lagi, pemimpin Mesir bekerjasama dengan musuh utama umat islam iaitu israel. Mereka membantu israel menyerang Gaza dengan menutup sempadan untuk membawa bekalan makanan. Tindakan mereka ini sangat kejam dan zalim. Selain itu, pempimpin mesir mengambil amerika dan israel sebagai wakil mereka sedangkan Allah telah melarang perbuatan tersebut

Beliau juga menyatakan bahawa, semua perkara yang berlaku ini di bawah kekuasaan Allah. Peristiwa yang berlaku ini Allah nak jadikan ikhtibar kepada pemimpin zalim di negara lain. Mereka yang kononnya memperjuangkan demokrasi dan kebebasan padahal menindas dan menipu rakyat. Berwaspadalah sebab Rasulullah s.a.w. telah memberi amaran sebelum ini bahawa jika pemimpin tidak melaksanakan kandungan Al-Quran, Allah akan wujudkan perbalahan di kalangan mereka.

Selain itu beliau juga menyatakan, suatu perkara lain yang menjadi ikhtibar ialah kesanggupan rakyat Mesir menentang pemimpin zalim mereka walaupun mereka tahu nyawa dan ketenteraman hidup mereka mungkin terganggu. Kalaulah rakyat Mesir mengambil sikap tak kisah, dan tak sanggup keluar daripada zon selesa, tentulah mereka akan duduk di rumah dan membiarkan kerajaan zalim mereka terus memerintah. Inilah sikap yang perlu dicontohi rakyat Malaysia.

Sikap sanggup keluar daripada zon selesa demi menegakkan keadilan. Manfaat kesusahan kita hari ini akan membantu anak cucu kita merasa kesenangan di masa hadapan.





PEMIKIRAN SEKULAR TUN MAHATHIR PENYEBAB RAKYAT TIDAK FAHAM TENTANG ISLAM YANG SEBENAR

3 02 2011

IPOH, 3 Februari, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain hari ini menyebut bahawa kenyataan Dr Mahathir ( Bekas Presiden UMNO ) baru-baru ini bahawa Islam Tuan Guru Nik Abdul Aziz ( Mursyidul AM PAS ) lebih teruk daripada Islam nasionalis, merupakan bukti jelas perjalanan yang ditempuh PAS sama seperti perjalanan Rasulullah SAW.

Tindakbalas yang diterima Tuan Guru Nik Abdul Aziz oleh seorang yang membenci dakwah beliau merupakan suatu perkara biasa dalam perjalanan dakwah Rasulullah SAW.

Beliau menegaskan ayat :

Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin” (Surah Al-An’am: 112)

Sebelum ini, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata bahawa “Orang Melayu di sini pun tolak Islam, tolak Islam ambil kebangsaan lebih teruk daripada Lee Kuan Yew.

Lee Kuan Yew cakap jangan pegang (Islam) kuat sangat, orang ini kata buang semua ambil kebangsaan”. Kata-kata Tuan Guru ini kemudian membuatkan Dr Mahathir terasa bagaikan cacing kepanasan, jelas Pesuruhjaya PAS Perak itu.

Memetik kata-kata Pesuruhjaya PAS Perak itu, “ Dr Mahathir mempersoalkan kenapa Tuan Guru menyerang orang di dalam Malaysia dan bukannya Lee Kuan Yew. Padahal benarlah kata Tuan Guru itu kerana ancaman dari dalam negara sendiri adalah jauh lebih merbahaya daripada ancaman luaran”.

“ Adakah Dr Mahathir lupa bahawa sirah Rasulullah SAW membuktikan ancaman daripada puak munafiq lebih berbahaya berbanding ancaman daripada puak kafir? Hinggalah Allah SWT menyebut bahawa orang yang berpura-pura islam lebih teruk azabnya berbanding orang yang terus terang islam” soal beliau.

Ustaz Abu Bakar juga menasihatkan agar pemimpin UMNO dan Dr Mahathir khususnya melihat kembali ayat Al Quran berkenaan orang munafik dalam surah an-nisa’ ayat 145

“sesungguhnya orang munafiq itu, di tempat yang paling bawah sekali di dalam neraka” (surah an-nisa': 145)

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menyanggah kata-katanya, Dr Mahathir apabila mantan presiden umno itu mengatakan bahawa islam telah banyak berkembang di bawah pemerintahan nasionalis.Kononnya kemajuan islam dikaitkan dengan kehebatan semangat kebangsaan Barisan Nasional.

“ Mahathir lupa yang bukan jasa UMNO islam semakin berkembang di Malaysia tetapi jasa orang yang menentang UMNO seperti Dr Burhanuddin Helmi, Prof Zulkifli Muhammad dan Ustaz Fadzil Noor. Mereka inilah yang menjadi pengimbang, “check and balance” kepada kerajaan sehingga kerajaan BN terpaksa mengamalkan islam” Tegas beliau

Menurut beliau, Inilah kewajipan yang mereka lakukan walaupun nyawa mereka diancam. Kalau hendak diikutkan nafsu BN, sudah lama islam dianggap kuno, tidak sesuai dan merugikan Negara.

Menurut Ustaz Abu Bakar Hussain lagi, Allah SWT telah menetapkan bahawa sejak dahulu lagi dunia ini menjadi medan pertempuran di antara yang hak dan yang batil. Pertempuran antara iman dan kufur. Rasulullah SAW. dahulu dituduh oleh puak Quraisy sebagai pemisah suami dan isteri, saudara mara dan bangsa qurasiy sendiri, hanya kerana baginda mengajak orang kaumnya untuk beriman kepada Allah SWT dan menyelamatkan mereka daripada azab api neraka. Hari ini orang menganggap PAS sebegitu pula. Padahal kita menyeru supaya bumi ini diperintah dengan adil utk kesalamatan dunia dan akhirat. Menjadi keyakinan kami bahawa jika rakyat Malaysia beriman dan bertaqwa, Allah SWT akan membantu kita

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menegaskan bahawa kini terbukti kebenaran perjuangan PAS adalah perjuangan Islam yang sebenar bukannya seperti umno yang bertopengkan Islam. Sebelum ini ada pemimpin PAS yang telah dipenjara, ada yang dihalau, ada yang dipanggil gila, ada yang dipanggil pemecah-belah masyarakat. Padalah semua ini adalah ujian sama yang dilalui Rasulullah SAW. Dari sini wujudlah rasa perjalanan yang gerakan islam PAS tempuhi, sama dengan perjalanan Rasulullah SAW.





Keputusan Pilihan Raya Kecil DUN N.05 Tenang – Kenyataan Rasmi

1 02 2011

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menyampaikan ucapan terimakasih yang tidak terhingga kepada seluruh petugas pilihan raya kecil DUN Tenang dari berbagai latarbelakang politik, Pengarah dan Jawatankuasa Pilihan Raya PAS – DAP – PKR yang bertungkus lumus menggerakkan jentera kempen, Pengerusi dan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor dan seluruh Negeri serta orang perseorangan dari pelbagai rumpun bangsa yang datang menyumbangkan tenaga dan sokongan. Ucapan tahniah diucapkan kepada calon PAS iaitu Cikgu Normala Sudirman dan keluarga beliau yang telah berjaya menggerakkan semangat juang yang tinggi di kalangan petugas sepanjang pilihan raya berjalan. Jutaan terima kasih juga kepada seluruh pengundi berbagai kaum yang telah memberikan kepercayaan dengan mengundi PAS sebagai wakil Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil berkenaan.

PAS amat menghargai sokongan dan harapan semua pihak dalam pilihanraya kecil ini untuk melihat fajar baru menyinsing dalam dominasi politik baru di tanah air tercinta ini. Keputusan pilihanraya ini walaupun tidak menyebelahi kita, tetapi ianya telah menjadi kunci kepada semangat juang kita seterusnya dalam proses untuk kita melakukan perubahan yang menyeluruh dan bermakna dalam sistem demokrasi yang berat sebelah ini. Kita akan terus menerus merangka strategi berkesan bagi meningkatkan keupayaan dan kebersamaan gerakerja dalam pilihanraya seterusnya, dan dalam masa yang sama akan melakukan desakan agar pilihan raya yang bebas dan telus dilaksanakan di Malaysia.

Untuk kesekian kalinya kita berhadapan dengan UMNO-BN yang menggerakkan jentera kerajaan dengan bajet yang tidak terbatas, media berat sebelah yang masuk di tiap-tiap buah rumah, dan peraturan pilihan raya yang tidak berasaskan suasana pertandingan di lapangan yang sama rata. Oleh yang demikian, usaha menggerakkan massa menerusi saluran parti politik dan NGO akan terus dilaksanakan agar demokrasi yang tulen dapat ditegakkan. Kita senatiasa menegaskan bahawa demokrasi tulen bukan terbatas kepada perubahan cetakan kertas dan kotak undi

semata-mata, tetapi ianya mestilah bertitik tolak dari peraturan yang adil, senarai pengundi yang bersih, media yang bebas, persekitaran kempen yang bebas dari sogokan dan ugutan rasuah projek pembangunan yang melimpah ruah semasa tempoh berkempen, dan berbagai lagi ciri yang mentakrifkan sebuah sistem demokrasi yang adil dan tulen.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.