PRU 13 : PAS PERAK YAKIN PERAK AKAN KEMBALI KEPADA PAKATAN RAKYAT.

29 06 2011

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyifatkan Pilihanraya Umum 13 bakal memberi cabaran besar kepada Barisan Nasional di perak Darul Ridzuan. Ini kerana, PRU 13 bakal menjadi medan dimana rakyat Perak akan menilai prestasi Barisan Nasional yang telah merampas Perak daripada Pakatan Rakyat dengan cara yang tidak sah.

Beliau turut menegaskan bahawa kegagalan BN untuk mempertahankan tampuk kekuasaan pada PRU 13 akan menjadi bukti bahawa rakyat tidak merestui perbuatan mereka merampas Perak daripada Pakatan Rakyat. Tambahan beliau, walaupun PR dilihat sebagai menang tipis pada PRU 12, namun ianya adalah satu kemenangan yang sah daripada rakyat.

Mengulas tentang kepimpinan BN di Perak, Dato’ Dr Zambry Abd Kadir dilihat sedikit goyah dan banyak dibayangi dengan aura oleh Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang lebih disenangi oleh rakyat Perak berbilang kaum. Ini bukti yang jelas bahawa rakyat Perak tahu menilai siapa pemimpin yang lebih telus dan berjiwa rakyat.

Memetik ucapan beliau, “ PAS bersama Pakatan Rakyat tidak pernah gentar untuk menggempur Barisan Nasional pada pilihanraya umum yang akan datang kerana kami percaya dengan mandat yang diberikan oleh rakyat di samping usaha gigih semua ahli.”

Sehubungan dengan itu, Pesuruhjaya PAS Perak itu menggesa semua ahli PAS agar meningkatkan lagi hubungan dengan Allah SWT dan terus berkhidmat pada masyarakat agar Allah SWT berkenan untuk memberikan kemenangan pada pakatan Rakyat menjelang PRU 13.





HIMPUNAN BERSIH 2.0 : BUKTI RAKYAT MAHUKAN KEADILAN

19 06 2011

IPOH,Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyifatkan perhimpunan Bersih 2.0 sebagai medium untuk rakyat turun dan menyampaikan hasrat mereka.

Beliau berkata demikian selepas mengulas tentang sikap pemuda UMNO Malaysia yang juga mahu menjadi jaguan dengan turut serta mengadakan perhimpunan pada 9 Julai 2011.

Ustaz Abu Bakar Hussein menegaskan bahawa himpunan bersin 2.0 merupakan satu perhimpunan damai yang dilakukan setelah beberapa usaha dan diskusi bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menemui jalan buntu.

Mengulas tentang 350 laporan polis yang telah dibuat, beliau menyatakan yang perhimpunan bersih ini bukanlah bertujuan untuk menganggu ketenteraman awam, tetapi menunjukkan solidariti masyarakat Malaysia yang mahukan keadilan. Beliau turut optimis yang perhimpunan ini akan berjalan lancar andai tiada provokasi yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Memetik kata-kata beliau, “Apa yang ingin disampaikan oleh PAS ialah, sistem politik negara yang dilihat semakin keroh harus diperbaiki agar sistem demokrasi kembali berada pada tempat asalnya.”





UTUSAN MALAYSIA BIADAP MENYIARKAN KARIKATUR MENGHINA ISLAM

17 06 2011

Ipoh, 17 Jun, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain hari ini mengecam karikatur terbaru yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia berjudul “Kekeliruan Kes Rogol” pada 15 Jun lalu yang disifatkan menghina syariat Islam.

Beliau kesal atas karikatur sebegitu yang dianggap langsung tidak bertanggungjawab dan menidakkan sensitiviti masyarakat beragama Islam di Malaysia. Karikatur itu yang disiarkan pada muka surat 15 Utusan Malaysia, menyaksikan dua situasi berbeza yang terpaksa dialami oleh mangsa rogol.

Dalam situasi pertama, mangsa rogol telah mengemukakan aduan kepada jabatan agama, namun ditolak kerana menurut karikatur itu mangsa memerlukan empat orang saksi sedangkan mangsa hanya mempunyai rakaman video. Sementara itu dalam situasi kedua, mangsa telah membuat laporan polis dan pegawai yang menguruskan kes itu berkata rakaman video boleh dijadikan bukti.

Penyiaran karikatur itu yang menggambarkan mangsa rogol membuat laporan kepada 2 pihak berkuasa berbeza jelas mempersendakan golongan ulama dan Islam.

Beliau berkata, “Kartun sebegini jelas mempunyai niat jahat untuk memperlekeh pandangan alim ulama dan memberikan tanggapan negatif kepada Islam. Unsur-unsur sebeginilah yang membawa kepada perpecahan umat. Bertentangan dengan objektif media itu sendiri sebagai alat perpaduan.”

Ujar beliau lagi, “Pihak Utusan Malaysia seharusnya jelas dalam membicarakan soal ini. Zina dan rogol, adalah dua perbuatan yang mempunyai definisi berbeza. Justeru, mempunyai pemberat serta pertimbangan berbeza dalam soal hukum. Karikatur sebegini boleh mencetuskan salah faham kepada Islam malah mempersenda aspek sistem keadilan di dalam Islam.”

Dalam pada itu, beliau meluahkan kekesalan terhadap sikap PERKASA dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dilihat seolah-olah membela Utusan Malaysia dengan mendakwa ia hanyalah sindiran terhadap golongan yang tidak memahami undang-undang Islam dan masalah persepsi individu.

Tindakan Utusan Malaysia ini turut dikecam oleh Persatuan Ulama Malaysia dan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan. Selain itu, Mursyidul Am PAS Datuk Bentara Setia Nik Abdul Nik Mat pula menyifatkan Utusan Malaysia sebagai “Denmark Malaysia” kerana menyiarkan karikatur yang menghina syariat Islam.

Sehubungan dengan itu, PAS Perak menggesa pihak Utusan Malaysia menarik balik siaran karikatur ini dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia atas kebiadapannya mempersendakan perundangan Islam.





PAS PERAK UCAP TAKZIAH KEPADA MANGSA TANAH RUNTUH DI RUMAH ANAK-ANAK YATIM AT TAQWA

17 06 2011

Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussain, turut menyatakan simpati atas tragedi tanah runtuh di Rumah Anak Yatim At-Taqwa, Felcra Semungkis, Batu 14, Hulu Langat Kajang, beliau mewakili seluruh ahli dan pimpinan PAS Perak merakamkan ucapan takziah atas ujian yang telah diberikan Allah SWT itu.

Memetik ucapan beliau,

“Saya mewakili PAS Perak merakamkan tanda simpati dan takziah kami kepada mangsa-mangsa tanah runtuh iaitu rumah anak yatim at-Taqwa, terutama sekali kepada mangsa anak yatim yang telah kembali ke rahmatullah”

“Namun begitu, PAS Perak menyeru kepada seluruh ahli PAS Perak untuk memberi bantuan berbentuk kewangan dan material untuk meringankan beban mangsa dan keluarga” katanya lagi.

“ Semoga mangsa anak yatim yang telah kembali ke rahmatullah di tempatkan di kalangan orang beriman. InsyaAllah.”

“Saya juga mengharapkan agar mangsa-mangsa rumah anak yatim at-Taqwa tersebut tabah dalam menghadapi segala ujian Allah.” katanya lagi.





DEWAN ULAMA’ PAS PERAK BERSEDIA MEMIMPIN UMMAH : PESURUHJAYA PAS PERAK

17 06 2011

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussain menyatakan beliau yakin bahawa Dewan Ulama’ PAS Perak bersedia memimpin ummah bagi mendekatkan diri ummah kepada Allah dan terus bersama Pakatan Rakyat membimbing rakyat untuk menumbangkan kezaliman umno di Perak dan Malaysia.

Beliau menyatakan demikian sempena majlis perasmian muktamar Dewan Ulama’ PAS Perak yang berlangsung baru-baru ini, di Pusat Tarbiyyah PAS Perak.

Menurut beliau, Kepimpinan ulama PAS sudah menjangkau suku abad, satu tempoh yang tidak pendek dan tidak terlalu panjang untuk dinilai semula pencapaiannnya, melihat sejak daripada era kepimpinan ulama, pencapaian besar perjuangan yang diletakkan atas landasan Islam bagi menuju matlamat, keagungan Islam dan memartabatkannya menjadi perjuangan yang memikat hati majoriti umat Islam di negara ini, antara hasilnya, bermula pada 1990, PAS menang di Kelantan, dan sampai kini terus memerintah Kelantan

Selain itu beliau juga menyatakan, PAS juga pernah menang di Terengganu untuk satu penggal dan menjadi pembangkang yang kuat di Parlimen sehingga kini, pada 2008 PAS mendapat sokongan daripada bukan Islam. Kecenderungan ini mula nampak beberapa ketika sebelum pilihan raya lagi apabila kita berjaya menubuhkan Kelab Penyokong PAS kepada bukan Islam.

Keanggotaannya bertambah dengan pesat sekali. Ini bukan retorik sokongan tetapi ia berkaya diterjemahakan oleh bukan Islam dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil selepas itu.Dominasi majoriti dua pertiga BN berjaya dinafikan. Dengan izin Allah jua, hitungan politik yang dulunya kita rasa mustahil, misalnya untuk Pakatan menguasai negeri-negeri seperti Kedah, Selangor, Perak dan Pulau Pinang, kini menjadi realiti.

Memetik ucapan beliau, “ Ulama boleh bergandingan dengan sesiapa sahaja serta sentiasa bantu-membantu di antara satu sama lain.Kepimpinan ulama hanyalah satu arah tuju yang kita nampak sebagai pengemudi parti”.

“ Ulama laksana juruterbang yang mambawa kapal terbang atau nahkoda bagi sebuah kapal. Namun ia bukan kerja dia seorang tetapi beserta parajurit-parajurit yang lain, kesinambungan itu yang membuatkan sesuatu perjalanan menjadi lancar”.

“ Analogi itu ada di dalam PAS. Begitu juga seperti sejarah peperangan. Ada yang hebat berjuang dan ke depan. Nabi Muhammad mengetuai peperangan tetapi tidak pernah sekali pun membunuh. Begitu juga ada yang diperintahkan Nabi tetapi Nabi sendiri tidak pernah lakukan seperti azan dan qamat, sesuai dengan dirinya yang sentiasa jadi imam”.

“Ada ketika Nabi pernah perintah pasukan tentera Islam berkhemah tetapi ditegur oleh pakar perang bahawa kawasan itu tidak sesuai kerana jauh daripada air, dekat dengan laluan angin dan mengadap pancaran matahari. Nabi bersetuju dan pindah tempat lain. Itu menandakan, dalam perang masing-masing ada kepakarannya. Ada yang hebat menombak, memanah dan ada yang hebat berdakwah.Begitu juga dalam PAS, masing-masing ada kelebihannya dan saling tampung-menampung”.

Justeru Pesuruhjaya PAS Perak itu menyatakan, perjuangan PAS dan UMNO sangat berbeza. UMNO pentingkan keduniaan, catur politiknya juga dunia dan modal besar serta janji mereka juga adalah dunia seperti pembangunan dan penambahan dari segi material.

Untuk berdepan dan menyaingi UMNO, PAS bukan sahaja perlukan ulama, tetapi juga tenaga dan buah fikiran berbagai pemikiran dan idea untuk memantapkan parti dan bergerak memastikan kejayaan perjuangan Islam ini, Tegas beliau.





PAS DAN PAKATAN RAKYAT YAKIN DAPAT REALISASIKAN NEGARA ADIL DAN BERKEBAJIKAN BUAT RAKYAT

17 06 2011

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyeru agar rakyat membuktikan bahawa rakyat mampu untuk membuat perubahan pada pilihan raya umum ke 13 akan datang, seiring dengan perubahan yang ditunjukkan di negara lain bagi menyelamatkan Negara Malaysia ini.

Menurut beliau, PAS bersama Pakatan Rakyat wajib menggantikan UMNO BN untuk memerintah negara bagi melakukan perubahan. Kita wajib turun ke seluruh pelosok memberi maklumat sebenar kepada rakyat berkenaan kezaliman UMNO BN terhadap rakyat.

Beliau juga menjelaskan bahawa kini, seluruh rakyat di mana di Negara mereka yang masih terdapat pemimpin yang zalim terus berkuasa rakyat di Negara itu akan terus berusaha melakukan perubahan di Negara mereka.

Memetik ucapan beliau, “ Kita berjaya mewujudkan Pakatan Rakyat (PR) dan melakukan pendekatan pemikiran ke arah sistem dua parti dalam Negara”.

“UMNO kini sangat gerun apabila melihat PAS,PKR dan DAP bersepakat untuk memastikan Islam sebagai agama negara, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,menerima Raja Berperlembagaan dengan menerima haknya sebagai raja mengikut kehendak Islam,

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menyeru agar ahli PAS bergerak segera ke arah perubahan yang disasarkan serta memperkukuhkan gerak kerja bagi menghadapi PRU 13 yang akan berlaku pada bila-bila masa.

Beliau juga mengharapkan agar sokongan yang diberikan oleh rakyat perlu diperkukuhkan untuk menghadapi cabaran menjelang PRU akan datang.

Justeru beliau berharap agar satu perubahan dalam Negara berlaku secepat mungkin untuk mendirikan Negara Malaysia yang adil dan berkebajikan, bukan melalui keganasan, tetapi perubahan untuk menunjukkan Islam itu adil untuk semua.





RAKYAT MAMPU BUKTIKAN, KEZALIMAN UMNO BN BOLEH DITUMBANGKAN

17 06 2011

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menegaskan bahawa, sepanjang pemerintahan Dato Seri Najib selaku Perdana Menteri Malaysia, rakyat bawahan cukup merana dan tersiksa dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Menurut beliau kesan kenaikan harga barang ini akan dirasai oleh rakyat bawahan terutama mereka yang berpendapatan rendah. Para peniaga di pelbagai peringkat akan mengambil kesempatan dalam hal ini.

Beliau menyatakan, buktinya pada tahun 2010, harga petrol, diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG). Petrol RON97 telah dinaikan beberapa kali. Harga petrol RON97 dinaikkan pada Disember 2010 sebanyak 15 sen dan terahkir pada 6 Januari lalu dari RM2.30 kepada RM2.40.

Beliau turut menjangkakan tahun 2011 ini akan menyaksikan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang mendadak dan membimbangkan.

Justeru Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menggambarkan bahawa, medan yang paling berkesan menghukum UMNO adalah pada pilihanraya Negeri Sarawak dan Pilihanraya Umum yang akan berlaku pada bila-bila masa dari sekarang.

Memetik ucapan beliau, “ Rakyat telah menunjukkan buktinya. Tekanan kuat kepada kerajaan pada tahun 2008, memaksa UMNO terpaksa mengaku kalah apabila rakyat dapat menafikan kuasa dictator UMNO BN di Malaysia selama ini”.

“Kenaikan harga petrol, diesel dan harga barang keperluan harian rakyat adalah besar kesannya dan menjejaskan sosio-ekonomi rakyat. Rakyat bawahan yang semakin gelisah dengan situasi itu menjadi bertambah tertekan dan terus tertekan dengan pemrintahan UMNO BN”.

Beliau menjelaskan lagi, apa yang amat menghairan ialah slogan yang digunakan Najib “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan” merupakan kata—kata palsu . Tradisi sebenar UMNO BN selama ini ialah “ membelakangkan rakyat, kroni dibela” terus dilaksanakan.

Justeru Pesuruhjaya PAS Perak itu menyeru agar Rakyat segera bangkit dan bertindak untuk bersama berganding bahu bagi menumbangkan kerajaan UMNO BN yang sudah lama mengkhianati amanah rakyat ini, Rakyat Malaysia mempunyai potensi besar untuk membuktikan kepada UMNO BN bahawa kuasa sebenar ada di tangan rakyat.








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.