PERUTUSAN PESURUHJAYA PAS PERAK SEMPENA RAMADHAN AL MUBARAK

31 07 2011

Umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia menyambut kedatangan bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam, Ramadan al-Mubarak dengan penuh kegembiraan dan keinsafan.

Ia bukan sekadar bulan diwajibkan berpuasa tetapi lebih penting pada bulan ini hukum dan perlembagaan tertinggi buat umat manusia, al-Quran, diturunkan Allah SWT.

“Bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah).” (maksud al Baqarah: 185)

Melalui al-Quran, maka Allah SWT menyelesaikan segala kemelut dan permasalahan manusia khasnya bagi mereka yang mahu menjunjung dan melaksanakannya.

Oleh itu bulan Ramadan ini bukan sekadar bulan ruhiyah (spiritual) bagi mereka yang tekun menghayatinya tetapi ia sebenarnya bulan siyasiyah (politik) kerana di bulan inilah hukum dan peraturan lengkap bagi manusia diperturunkan Allah SWT kepada Rasul-Nya SAW.

Di samping kita mengejar manfaat dan kelebihan Ramadan sebagai bulan ruhiyah kita juga wajar menghayatinya sebagai bulan siyasiah bagi mengembelengkan seluruh tenaga dalam meyakinkan segenap lapisan masyarakat bahawa formula untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara kita hanyalah apabila kita kembali kepada al-Quran yang diturunkan pada bulan ini di samping berpegang teguh kepada Sunnah Rasul-Nya.

Di bulan penuh barakah ini jangan sekali-kali kita lupa nasib saudara-saudara kita di bumi Islam yang sedang bergolak khasnya di Palestin, Iraq dan Afghanistan, di samping mereka yang sedang bertarung nyawa di Chechnya, Selatan Filipina, Selatan Thai dan seluruh bumi umat Islam di dunia ini.

Titipkanlah doa di bulan yang penuh rahmat ini, mudah-mudahan Allah SWT memberikan kemenangan dan kejayaan kepada mereka setelah sekian lama hidup dan menderita dalam kesengsaraan, darah dan air mata.

Semoga Ramadan tahun ini mampu membangkitkan kesedaran kita untuk mempertingkatkan amal ibadat menuju keredaan Allah di samping menyedarkan kita bahawa hanya Islam penyelamat kita di dunia dan di akhirat, lantas marilah kita sama-sama kembali kepadanya, InsyAAllah dengan bantuan Allah SWT, PAS Perak akan memimpin rakyat Perak kearah keredhaan Allah SWT

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Ramadan Kareem” kepada semua umat Islam, mudah-mudahan kekuatan dan semangat yang terbentuk sepanjang Ramadan ini akan terus memperteguhkan iltizam kita untuk sama-sama membela, mempertahan dan memperjuangkan Islam hingga ke akhir hayat.

Ustaz Abu Bakar Hussain

(Pesuruhjaya PAS Perak)





PENGGUNAAAN BIOMETRIK OLEH SPR MENGUNTUNGKAN BARISAN NASIONAL

31 07 2011

Pesuruhjaya PAS Perak menyokong pandangan Presiden PAS bahawa cadangan SPR untuk menggunakan keadah biometrik bagi menyelesaikan isu pengundi hantu dan pengundi bertindih bukan penyelesaian yang sebenar.

Kaedah penggunaan biometrik ini mudah terdedah kepada manipulasi pihak yang mengendalikannya kerana hanya segelintir sahaja yang ada kepakaran dan terlibat mengendalikan biometrik ini.

PAS tetap berpendirian untuk mendesak supaya SPR menggunakan dakwat celup jari ketika mengundi bagi membasmi pengundi hantu dan juga pengundi yang mengundi banyak kali dalam setiap pilihanraya.

Begitu juga pendaftaran pemilih secara automatik. Kita pelik bagaimana SPR boleh bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dalam pengendalian biometrik ini, tetapi tidak boleh bekerjasama dalam mengendalikan pendaftaran pemilih secara automatik.





SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA IKHLAS DARI PAS PERAK

31 07 2011





PAS PERAK UCAP TAKZIAH BUAT KELURGA ALLAHYARHAMAH DR LO’ LO’ MOHD GHAZALI

18 07 2011

PAS Perak ingin merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali diatas pemergiannya kerahmatullah.

PAS Perak dan seluruh kawasan-kawasan kehilangan seorang pejuang yang begitu gigih dan sangat kososten dalam memartabatkan Islam di bumi Malaysia. Pemergian Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali sangat dirasai oleh seluruh ahli PAS di negeri Perak.

Pengorbanan dan semangat juangnya inilah yang wajar dicontohi oleh ahli-ahli PAS terutamanya generasi muda.

PAS Perak melihat, walaupun pemergian Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali menemui Allah SWT adalah satu kehilangan besar bagi PAS, tetapi Allahyarhamah telah berjaya membuktikan bahawa beliau telah menggunakan kesempatan hidup diatas muka bumi untuk terus berjuang menegakkan perintah ALLAH SWT. Semoga ALLAH SWT meletakkan rohnya bersama para An’biya, Syuhada’ dan Solihin.

Salam Takziah

Ustaz Abu Bakar bin Hussain

( PESURUHJAYA PAS PERAK )





RIBUAN HADIR MEMBANJIRI CERAMAH PASCA BERSIH 2.0 NEGERI PERAK

18 07 2011

IPOH 13 Julai, lebih 5 ribu orang telah hadir membanjiri Ceramah Pasca Bersih Peringkat Negeri Perak yang diadakan di Bukit Jana Kamunting, Taiping semalam. Sambutan diluar jangkaan itu mungkin disebabkan ‘aura ‘ Himpunan Bersih 2.0 yang masih kuat dalam kalangan masyarakat ketika ini.

Ceramah tersebut disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar, AJK PAS Pusat Dato’ Seri Nizar Jamaluddin, Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussain dan penceramah khas daripada Kuala Lumpur yang juga anak saudara kepada Allahyarham Baharudin yang meninggal ketika menyertai Himpunan Bersih Sabtu lalu.
Ustaz Abu Bakar Hussain telah mendeklimasikan sajak nukilan Sasterawan Negara, A Samad Said pada malam itu.

Pada ucapan yang penuh bersemangat, Dato’ Seri Nizar mengutuk sekeras – kerasnya kekejaman polis ke atas peserta demonstrasi Bersih Sabtu lalu. Beliau juga mendakwa UMNO sengaja membangkitkan semangat perkauman.
Dato’ Mahfuz pula dalam ucapannya menyeru kepada semua ahli PAS supaya tidak memarahi polis kerana mereka hanya mengikut arahan UMNO. “ saya ingin katakan kepada seluruh ahli PAS suapaya tidak memarahi polis kerana mereka telah menjadi kuda tunggangan Barisan Rasional, “ katanya sambil disambut dengan laungan takbir.





AL FATEHAH KEPADA PEJUANG BERSIH 2.0 : PAS PERAK

18 07 2011

IPOH, 11Julai – Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyeru kepada semua muslimin dan muslimat agar sama-sama menghadiahkan Al-Fatehah kepada Allahyarham Baharuddin Ahmad yang telah tekorban sewaktu himpunan Bersih 2.0. Baharuddin yang mengalami sesak nafas setelah terhidu gas pemedih mata, pengsan dan kemudiannya meninggal dunia di perkarangan KLCC.

Beliau juga menyifatkan tindakan ganas beberapa anggota polis yang disiarkan di laman web Malaysiakini dan Al Jazeera sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan. Justeru itu, Pesuruhjaya PAS Perak itu menggesa pihak berkuasa agar menyiasat kes tersebut dan mengadili dengan sebaiknya. Menurut beliau lagi, komitmen yang ditunjukkan oleh semua peserta Bersih 2.0 yang sanggup datang dari jauh sebagai bukti bahawa rakyat mahukan perubahan.

Sebelum mengakhiri ucapan beliau, beliau membacakan sepotong ayat Al-Quran yang berbunyi :

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah). (Al-Baqarah:124)

Sebagai pengakhir bicara, beliau menuntut supaya semua ahli PAS di seluruh Malaysia memperhebatkan lagi gerak kerja tarbiah, dakwah dan siasah agar momentum Bersih 2.0 ini dapat dimanifestasikan ke segenap rakyat Malaysia dan menjadi pemangkin kemenangan pada Pilihanraya Umum ke 13.





HIMPUNAN RAKYAT BERSIH 2.0: POLIS PERLU BERI KERJASAMA

6 07 2011

IPOH, 30 Jun: Menjelang Himpunan Aman BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 nanti, provokasi, ugutan dan pelbagai tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh pihak polis dan Barisan Nasional semakin dahsyat dan sukar dikawal.

Lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia pula seperti biasa cuba menghangatkan suasana dengan menaburkan fitnah demi fitnah terhadap pihak NGO dan rakyat yang terlibat dalam menjayakan BERSIH 2.0.

Justeru, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menggesa semua pihak yang akan menjayakan himpunan aman itu nanti untuk bersiap sedia dari segi fizikal dan juga mental.

Tegasnya, “Kita akan berhimpun secara aman damai untuk menyerahkan memorandum khas kepada Yang Di-Pertuan Agong. Para peserta harus bertenang dan elakkan daripada termakan provokasi pihak UMNO, PERKASA dan Polis.”

Beliau turut menjelaskan, kerajaan perlu faham bahawa himpunan yang akan diadakan pada 9 Julai ini ialah satu himpunan aman. Ia hanya bertujuan untuk menuntut hak rakyat dan keadilan dalam sistem demokrasi dikembalikan sebagaimana yang tersenarai dalam 8 Tuntutan BERSIH.

Jelas sekali pihak polis mahupun kerajaan tidak mempunyai alasan yang munasabah untuk menidakkan perhimpunan ini. Hal ini kerana ia jelas bercanggah dengan Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat sebagaimana yang dimaklumkan dalam satu kenyataan Suhakam baru-baru ini.

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menyarankan agar polis membenarkan orang awam menyertai perhimpunan aman BERSIH 2.0 ini tanpa sebarang provokasi atau gangguan. Malah, polis harus memberi kerjasama dalam mengawal himpunan ini agar ia dapat berjalan dengan lancar tanpa insiden yang tidak diingini berlaku.

Menurut beliau lagi, pihak polis dilihat berat sebelah dengan membiarkan sahaja beberapa siri himpunan bantahan yang dilakukan oleh pihak pemuda UMNO dan juga PERKASA dengan mengeluarkan kenyataan berupa ugutan dan ancaman tanpa sebarang tindakan diambil.

Beliau turut menyeru kepada rakyat Malaysia agar mengkaji dan memahami Perlembagaan Persekutuan untuk mengetahui hak masing-masing sekiranya ditahan polis dengan merujuk kepada Buku Merah terbitan Majlis Peguam dan seterusnya berkongsi maklumat kepada umum melalui pelbagai medium. Hak-hak ini perlu dijaga untuk mengelakkan pencabulan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau juga mengulangi komitmen BERSIH untuk memastikan Himpunan BERSIH 2.0 kelak akan berlangsung dalam keadaan aman.








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.