JELAS PEMIMPIN UMNO TOLAK UNDANG-UNDANG ISLAM

23 09 2011

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyatakan apabila pemimpin Umno menolak Islam maknannya pemimpin Umno anggap agama Islam ini sudah rosak dan tidak sesuai diamalkan lagi.

Memetik ucapan beliau,“ Bila kita beli barang di kedai, kita pilih-pilih barang, bila barang yang kita tolak, maknnya barang tu sudah rosak, begitu juga Umno, bila Umno tolak Islam, maknanya dia anggap agama Islam ini sudah rosak atau tidak sesuai diamalkan”

“ Bumi yang kita duduk Allah yang ciptakan, tubuh badan kita dari hujung rambut sampai hujung kaki semuanya Allah yang cipta, tapi kenapa pemimpin Umno tolak Islam? Soalnya

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak itu, Perjuangan untuk menegakkan Islam adalah perjuangan sehingga hari qiamat, justeru yang menyambung perjuangan para Rasul ialah para ulama’ dan seluruh pejuang agama yang ikhlas.

Justeru,beliau menyatakan Islam kini sedang di ancam, rakyat juga sedang di ancam, kedaulatan Negara juga sedang digugat dan yang menggugatnya ialah Umno dan Barisan Nasional (Bn) di dalam negara kita.

Justeru beliau menyeru, agar seluruh rakyat menggerakkan kebangkitan rakyat untuk menamatkan tempoh Umno Bn mengusai Negara ini, perkara ini dapat dibuktikan rakyat dalam PRU 13 ini, perkara ini sangat penting kerana dasar perjuangan Umno dan Bn sangat berpotensi merosakkan masa depan Islam.





DEMI KUASA UMNO BN SANGGUP KHIANATI NEGARA

21 09 2011

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, menyatakan kini, jelas bahawa Umno BN adalah pengkhianat negara dan bangsa, demi untuk terus mengekalkan kuasa yang ada pada mereka.

Menurut beliau, Umno BN sanggup memberikan kerakyatan kepada warga asing .Pemberian Kerakyatan segera ini pada mulanya dikesan berlaku di Sabah dan kini telah menjadi masalah yang rumit bagi rakyat asal Sabah di sana.

Beliau juga menegaskan supaya Umno BN jangan sesekali cuba untuk menafikan perkara ini.

Gejala tersebut kini mula melebar luas ke seluruh negeri.tidak mustahil Umno BN akan mengulangi kerja terkutuk itu dalam menghadapi PRU-13 nanti, jelas beliau.

Menurut beliau lagi, beberapa bukti mengenainya telah dapat dikesan oleh Pakatan Rakyat. Terbaru ialah pendedahan Dewan Pemuda PAS Pusat yang mendapati sekurang-kurangnya 170,818 pengundi tidak diketahui negara asal kelahiran tetapi layak mengundi.Mereka merujuk kepada kod negara “71 ” yang terdapat pada no kad pengenalan pengundi tersebut seperti dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) suku ke dua 2011 SPR.

Bagi pecahan mengikut negeri tempat mengundi pula adalah Selangor (29,758), Johor (28,164), Wilayah Persekutuan (17,548), Perak (16,680), Kelantan (15,345), Pulau Pinang (12,799), Sarawak (9,324), Sabah (8,590), Melaka (8,069), Negeri Sembilan (7,516), Pahang (6,495), Kedah (5,793), Terengganu (3,313) dan Perlis (941) .

Selain itu, paling memalukan apabila Perdana Menteri Bangladesh sendiri telah mengesahkan tentang rakyatnya begitu mudah mendapat kerakyatan di Malaysia.

Justeru Pesuruhjaya PAS Perak itu menyatakan, jika rakyat mahukan Negara kembali selamat dan aman,maka rakyat sendiri perlu menghukum pemimpin Umno BN, Pemimpin Umno BN adalah pengkhianat dan petualang negara sebenarnya, maka sudah tiba masanya rakyat bersama Pakatan Rakyat untuk kita mengangkat semula martabat Negara Malaysia, demi kelangsungan masa depan generasi anak-anak kita.





8 TUNTUTAN BERSIH, SPR DAN KOMUNIS

13 09 2011


IPOH: Kehangatan dan pasca Bersih 2.0 yang menjadi agenda perbualan rakyat semakin tenggelam dek isu sejarah yang diputar belit oleh pemimpin umno bn dan media pro kerajaan .

Justeru, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyatakan, dalam kehangatan masyarakat berbincang soal siapa pejuang dan petualang negara, maka pelbagai natijah dan kesan yang timbul.

Katanya, secara umumnya ia dilihat positif kerana telah membuka ruang dan minda masyarakat untuk membelek semula sejarah perjuangan kemerdekaan negara. Namun hakikat yang lebih besar ialah, sejarah sudah tidak boleh diubah dan sejarah tidak pernah menipu manusia, jelasnya.

Tambahnya, penipu dan penyeleweng hanya datang dari mereka yang berkepentingan bagi mendapatkan sokongan moral dan simpati politik tertentu, khususnya umno” .

Beliau berkata, media cetak dan elektronik pro kerajaan digunakan semaksimanya oleh umno bagi mempertahankan sejarah yang dilukis oleh pihak pemerintah, walaupun pelbagai keraguan yang timbul di dalamnya.

“Perkara pokok di sebalik isu ini ialah masyarakat beralih arah untuk berbincang berkenaan masa belakang, tidak lagi masa depan.

“Masa depan yang dimaksudkan ialah berkenaan 8 tuntutan Bersih 2.0 yang menjadi agenda perbualan rakyat baru-baru ini semakin tenggelam oleh kerana isu sejarah yang diputar belit oleh pemimpin umno bn da medianya,”ujarnya.

Ujar beliau, sebenarnya persoalan masa depan negara bergantung kepada ketelusan dan keadilan sistem demokrasi yang dilakukan.

Katanya lagi, banyak kepincangan dan kelompangan sistem yang didedahkan oleh pelbagai pihak yang masih belum dijawab dengan baik oleh pihak kerajaan dan spr.

Beliau menambah, peri pentingnya soal demokrasi adalah suatu kayu ukur bagaimana corak dan budaya pemerintah yang akan dipilih oleh rakyat sama ada meneruskan legasi yang penuh kepincangan atau berubah kepada arena politik baru.

Jelasnya, masa depan negara ditentukan atas perjalanan pilihan raya yang bersih dan adil. “Mungkin pada waktu ini pihak SPR boleh menarik nafas panjang dan lega di dalam kekalutan orang beralih dan berbincang isu sejarah, bukan lagi soal pilihan raya,”

katanya. Maka, ujarnya perlu diberikan perhatian juga kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang diwakili oleh parti pemerintah, pembangkang dan bebas. “Sejauh mana keberkesanan dan kemampuan jawatankuasa ini membuat transformasi terhadap pilihan raya di Malaysia ini juga perlu dinilai bukan bukan hanya menjadi modal politik untuk menunjukkan keseriusan kerajaan dalam soal penambahbaikan sistem pilihan raya,” ujarnya.

Beliau berkata, daftar pemilih, kempen, kebebasan media dan pelbagai lagi isu berkaitan pilihan raya dan masa depan negara perlu diberikan perhatian semula.

“Dibimbangi jika kita tercampak dengan lubang yang dibuat untuk menimbus lompang yang lain, maka sampai bilapun kita akan tertipu dengan permainan licik propaganda umno dan bn yang berkuasa,” katanya.

Justeru, tambah beliau rakyat kini bimbang terhadap masa depan negara akan ditentukan oleh warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan Thailand jika senarai daftar pemilih tidak dibersihkan.

Katanya, berbincang soal sejarah perlu untuk dijadikan sempadan, berjuang untuk masa depan juga penting untuk kelangsungan.





PAS PERAK SIAP SEDIA HADAPI PRU 13

7 09 2011

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyatakan kesediaan PAS Perak untuk menggantikan UMNO mesti diterjemahkan dalam pilihan raya umum ke-13 ini dan persiapannya harus dijadikan agenda penting bagi semua kawasan PAS di Perak.

Menurut beliau, PAS Perak harus memenangi kerusi-kerusi yang ditandingi pada pilihan raya umum akan datang kerana ianya akan mempengaruhi keyakinan rakyat terhadap parti itu dan ianya merupakan cabaran yang harus dipikul oleh semua pimpinan dan ahli parti khususnya di Perak.

Memetik ucapan beliau,

“Kemenangan pilihan raya jadi ukuran dalam konteks politik. Memanglah dalam Islam kita menang ke kalah kita kena istiqamah,tapi umum menilai kita bergantung kepada pencapaian dalam pilihan raya”.

“Jadi kalau kita masuk pilihan raya tiba-tiba pencapaian kita rendah,akan ada kesan politik dan mempengaruhi keyakinan rakyat,”

Pesuruhjaya PAS Perak itu turut menyatakan, PAS Perak sentiasa memberi tumpuan kepada strategi memperkukuhkan peranan PAS dalam Pakatan Rakyat kerana PAS dikenali sebagai parti yang menjadikan Islam sebagai dasarnya.

“Kita kena terjemahkan supaya orang Melayu Islam khususnya, terus memberikan sokongan penuh kepada perjuangan PAS dan masyarakat bukan Islam turut yakin dengan agenda perjuangan PAS yang jelas mahukan sebuah negara yang adil dan berkebajikan yang sememangnya dituntut dalam Islam, jelas beliau.

Justeru beliau mengharapkan agar seluruh jentera PAS di seluruh kawasan di Perak memperhebatkan gerak kerja persiapan PRU 13, kerana kemungkinan besar PRU 13 akan berlaku pada bila-bila masa.





PAS PERAK ZIARAH DI HOSPITAL RAJA PERMAISURI BAINUN IPOH

7 09 2011

PAS Perak diketuai oleh Pesuruhjayanya sendiri Ustaz Abu Bakar Hussain bersama Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak YB Dato’ Seri Hj Nizar Jamaluddin dan Ustaz Misbahul Munir diiringi beberapa ajk Lajnah Kebajikan PAS Negeri dan Dewan Muslimat Negeri telah meluangkan masa kira-kira hampir 2 jam menziarahi beberapa pesakit di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.

Kehadiran mereka disambut oleh pegawai-pegawai hospital dan mereka turut mengiringi pimpinan PAS Perak melawat beberapa wad, kunjungan mereka mengejutkan para pesakit namun mereka menyambut gembira di atas kunjungan tersebut. Selain bertanya khabar, mengucap salam eidul fitri, sebungkus kueh raya turut dihulurkan kepada setiap pesakit yang diziarahi. Beberapa pegawai perubatan dan kakitangan wad yang berada diwad turut diberi sumbangan kueh raya oleh Pesuruhjaya dan Timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS Perak.

Para pegawai, kakitangan dan para pesakit kelihatan begitu gembira diziarahi oleh pimpinan PAS Perak terutama kehadiran bekas Menteri Besar Perak yang mereka sayangi.





MUNAJAT PERDANA PAS PERAK

7 09 2011

PAS Perak, telah mengadakan Munajat Perdana serentak bersama seluruh negeri-negeri lain baru-baru ini untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Program bermula dengan solat terawih sehingga berakhir selepas subuh pada hari esoknya.

Seluruh yang yang hadir ke program ini dapat mendengar amanah dari kepimpinan tertinggi parti yang dipancarkan secara langsung melalui internet.

Antaranya ucapan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berucap dari Masjid Rusila, Terengganu.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz pula berucap di Kota Bharu dan turut disiar secara langsung ke seluruh program munajat di seluruh negara.

Memetik ucapan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, “Semoga program ini akan memberi kekuatan baru kepada petugas-petugas untuk menghadapi cabaran yang begitu mencabar di dalam PRU 13 ini.

“Selain daripada kita mengatur strategi maka akhirnya kepada Allah untuk memohon pertolongan agar segala halangan akan dapat kita hadapi dengan tabah,” katanya.





PERUTUSAN HARI RAYA I’EDUL FITRI 1432 H, PESURUHJAYA PAS PERAK

7 09 2011

Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Perak, saya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri 1432 Hijrah, hari kebesaran kurnia daripada Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan, berjihad dan bermujahadah dengan mengerjakan ibadat dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Ibadat yang melatih kita untuk menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah SWT. Hanya orang yang bertakwa sahaja yang menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dan Allah SWT melakukan nuzul Al-Quran pada bulan Ramadan. Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa.

Dalam masa yang sama, bagi menegakkan petunjuk ini, kita berdepan dengan cabaran. Al-Quran menjadi furqan, yang membezakan di antara hak dan batil, benar dan salah. Dengan petunjuk Al-Quran, kita menegakkan yang benar, menentang perkara yang bercanggah dengan Al-Quran.

Dengan semangat tarbiah melalui Ramadan, menjadikan diri kita orang yang beriman, yang bertakwa, yang kuat, yang sanggup menghadapi cabaran selepas Ramadan dengan mendapat pertolongan daripada Allah SWT, walaupun kita dikelilingi oleh musuh-musuh yang ramai yang tidak akan memberi kesempatan kepada Islam untuk tegak semula di bumi Allah SWT ini.

Dengan takwa dan iman yang yang kuat, kita yakin semua musuh itu adalah kecil apabila kita bersama dengan Allah SWT dan Allah SWT memilih pula di bulan Ramadan berlakunya kemenangan kepada umat Islam.

Dalam peristiwa Badar, Fathul Makkah, Ain Jalut dan penawanan Kota Belgrade di Balkan pada zaman Kerajaan Othmaniah dalam keadaan orang Islam dianggap lemah tetapi hati mereka ikhlas menyumbangkan pengorbanan harta benda dan jiwa raga disertakan dengan iman yang kuat, percaya kepada Allah SWT dan percaya kepada janji Allah SWT, dunia dan akhirat. Berbekalkan perkara-perkarta itu, Allah SWT memberikan kemenangan kepada generasi awal Islam.

Saya yakin dan percaya sekiranya umat Islam di zaman kini melaksanakan contoh dan teladan tersebut, mereka juga akan diberikan kemenangan sekali lagi oleh Allah SWT.
Marilah pada kesempatan ini, kita membaharukan semangat untuk meningkatkan lagi kerja dan amal kita dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT dan meningkatkan pengorbanan kita dalam perjuangan kita untuk meninggikan agama Allah SWT supaya agama ini tegak sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT, dalam Al Quran Karim.

Dalam masa yang sama, pada kesempatan ini, marilah kita menguatkan ukhuwah, persaudaraan di kalangan kita dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan umat Islam sehingga mereka tidak ada beza di antara satu sama lain. Mereka adalah satu ummah, laksana satu jasad yang bersambung di antara satu sama lain, sama-sama memikul tanggungjawab, bertolong menolong sama ada yang berkait dengan urusan agama dan dunia.
Dalam masa yang sama, membolehkan kita menyampaikan mesej kita kepada seluruh manusia untuk menyatakan bahawa kitalah yang menyelamatkan manusia yang sebenar di dunia dan di akhirat.

Mudah-mudahan dengan semangat ini, kita berjaya menjadi seorang Islam yang diterima oleh Allah SWT dan merealisasikan apa yang diperintahkan oleh Allah, firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam.” (Surah Ali Imran: 102)

Ustaz Haji Abu Bakar Hussain
( Pesuruhjaya PAS Perak )








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.