SAMBUTAN TAHUN 2012: JANGAN JADIKAN MALAM MAKSIAT

31 12 2011

IPOH, 31 Disember 2011 : Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussian menyeru kepada semua umat Islam di Malaysia agar mengisi malam tahun baru dengan perkara yang berfaedah dan menjauhi segala perkara yang cenderung kepada kemaksiatan.

Hal ini kerana sejarah menunjukkan, saban tahun berbagai operasi pencegahan maksiat dilakukan bagi membendung gejala maksiat di kalangan masyarakat yang terutamanya membabitkan golongan muda. Tambah beliau lagi, usaha mencegah kemungkaran ini haruslah digembleng oleh semua pihak kerana ianya adalah tanggungjawab yang digalas oleh setiap muslim, jelas beliau.

Jelas beliau lagi, selain mencegah daripada kemaksiatan, kita seharusnya menghadirkan alternatif yang mungkin berbentuk program atau aktiviti yang membawa masyarakat kepada sambutan tahun baru yang lebih berfaedah. “ Kita sedia maklum yang golongan remaja adalah golongan yang aktif dan sentiasa mahukan sesuatu yang dapat menghiburkan mereka.

Memetik ucapan beliau, ” Seharusnya kita yang memhamai jiwa mereka ini, hendaklah menyediakan medium alternatif kepada mereka bagi menghalang mereka daripada terbabit dengan kegiatan tidak bermoral. Pertandingan futsal dan acara sukan lain sebagai contoh, merupakan cara yang baik bagi mendekatii anak muda di samping membimbing mereka kearah gaya hidup yang lebih positif “

” Kita juga menggesa pihak berkuasa mengekang segala bentuk program yang berunsurkan maksiat dan menjurus kepada kemaksiatan”

Beliau turut mengulas tentang program di televisyen yang lebih cenderung kepada rancangan seram dan hiburan melampau, serta kurangnya rancangan yang bersifat mendidik masyarakat bagi menjadi yang lebih baik untuk tahun 2012.

Sambutan tahun baru seharusnya dimanfaatkan dalam usaha menjadi ibu bapa,guru,pelajar,pekerja, dan anak yang lebih baik daripada tahun sebelumnya, Inilah yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW tentang keperluan bagi setiap individu muslim dalam melakukan koreksi diri ke arah manjadi insan yang lebih baik dan bertaqwa tegas beliau.

Sebagai pengakhiran, Pesuruhjaya PAS Perak itu mengingatkan semua dengan sebuah hadis Nabi Muhammad SAW tentang perlakuan maksiat secara terbuka :

“ Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang mujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa pada malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah SWT sudah menutupi dosa terbabit, kemudian Dia berkata : Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu. Padahal Allah SWT sudah menutupi dosa itu semalam, tetapi pada pagi hari, dia buka yang ditutup oleh Allah SWT.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)





TAKZIAH DARI PAS PERAK BUAT USTAZ ZAWAWI HASSAN SEKELUARGA

28 12 2011

PAS Perak merakamkan ucapan takziah buat keluarga Ustaz Zawawi Hassan ( Ketua Pemuda PAS Perak ) atas pemergian ayahnya Al Marhum Imam Hassan ke rahmatullah.

Al Marhum Imam Hassan merupakan seorang Imam yang berjiwa pendidik, selain itu beliau memegang amanah sebagai Ketua cawangan PAS Tebuk Pancur dan Ketua UPU Padang Lalang.

Beliau telah meninggal dunia pada 27 Disember 2011 pada jam 1.30 tghri selepas lebih 2 minggu koma di Hospital Ipoh akibat terlibat dalam kemalangan jalanraya.

Jenazah beliau disembahyangkan di Masjid Tebok Pancur dan disemadikan di Kg Tebuk Pancur.

“Sesungguhnya pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat PAS Perak,” kata Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussian.

Katanya, PAS Perak melihat, walaupun pemergian Almarhum menemui Allah SWT adalah satu kehilangan besar tetapi Almarhum telah berjaya membuktikan bahawa beliau telah menggunakan kesempatan hidup di atas muka bumi untuk terus berjuang menegakkan perintah Allah SWT.

“Semoga Allah SWT meletakkan rohnya bersama para anbiya, syuhada’ dan solihin,” ujarnya.





RASUAH PEMIMPIN UMNO JATUHKAN MARUAH UMAT ISLAM DI MALAYSIA

27 12 2011

IPOH, 27 Dis, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussian menyatakan bahawa PAS Perak berpandangan rasuah yang berlaku dalam Negara ini hanya dapat dibenteras dengan menumpaskan kerajaan Barisan Nasional dalam PRU 13 ini.

Kerajaan Barisan Nasional telah menjatuhkan maruah umat Islam di Malaysia, seluruh rakyat Malaysia umum mengetahui bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang menganggotai OIC, jelas beliau.

Menurut beliau lagi, berbilion duit rakyat telah dibazirkan kerana budaya rasuah yang berlegar dikalangan pemimpin umno bn yang memegang jawatan dalam kerajaan Malaysia.

Tegas beliau lagi, kecuaian dan pengabaian dalam memelihara ajaran Islam dan tidak menjadikannya sebagai agenda utama dalam pentadbiran negara akan menyebabkan rasuah akan terus kekal bermaharajalela dan sukar diperangi.

“Satu-satunya cara untuk memerangi gejala rasuah ialah dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan bukannya menggunakan Islam hanya apabila tersepit sahaja” ujar beliau.

“Bayangkan sekiranya duit yang berbilion ini yang tiris dan bocor kerana rasuah digunakan untuk kegunaan manfaat rakyat , maka InsyAllah negara Malaysia akan lebih maju lagi.”tegas beliau.

“Rakyat Malaysia diseru untuk bersatu menumbangkan Umno BN dalam pilihanraya yang akan datang untuk memastikan duit dan harta rakyat Malaysia selamat” seru beliau lagi.





UMNO CUBA PECAHBELAHKAN KESATUAN PAKATAN RAKYAT

27 12 2011

PAS Perak menyifatkan tindakan UMNO yang cuba memecahbelahkan kesatuan Pakatan Rakyat (PR) sebagai tindakan tersepit dan terdesak, jelas Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussian.

Beliau menyatakan, selama ini UMNO telah banyak memburukkan PAS di mata masyarakat dengan pelbagai tuduhan huduh dan menghinakan.Selama ini mereka sombong dengan menganggap mereka sahaja parti terbaik untuk kaum Melayu dan PAS adalah sebuah parti yang sesat serta tidak mempunyai masa depan.

Memetik ucapan beliau “ Perlu dingat bahawa selama puluhan tahun UMNO hidup dengan membuli dan mengganyang musuh politik mereka

“ PAS dan lain-lain parti pembangkang tidak pernah diberikan hak dalam pentas demokrasi yang sebenar. Bahkan hampir setiap hari media massa milik mereka memburukkan pemimpin PAS dan PR.

“ Selain itu, hampir seluruh jentera kerajaan dipergunakan semaksima mungkin dalam memastikan pembangkang khususnya PAS terus jatuh terduduk dalam setiap pilihanraya umum dan kecil.”

Justeru Pesuruhjaya PAS Perak itu mengingatkan bahawa PAS telah melalui pelbagai mehnah dan tribulasi sepanjang jalan perjuangannya dalam pentas politik di Malaysia. Bukan sekadar ugutan dan fitnah, bahkan pemimpin PAS pernah di ISA kan, dipenjara, bahkan dibunuh. Ini semua dilakukan oleh pemimpin UMNO yang kononnya mahu memperjuangkan bangsa Melayu.





ULAMA’ PERLU BERANI TENTANG KEZALIMAN PEMERINTAH

20 12 2011

IPOH, 20 Disember 2011 : Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussian mengingatkan kepada para Ulama’ yang hadir pada Majlis Perdana Ulama, Umara dan Imam bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini supaya menjalankan tanggungjawab yang sebenarnya sebagai seorang Ulama’.

Majlis yang dihadiri oleh lebih 2,000 peserta adalah terdiri daripada para Mufti seluruh negara, Ketua Hakim Syarie, ahli Panel Kajian Syariah, dan ahli Panel Kajian Akidah Jakim, ahli panel dari Bahagian Hub Halal Jakim dan para imam seluruh negara.

Ustaz Abu Bakar Hussian menyifatkan peluang ini haruslah digunakan dengan sebaiknya dalam usaha menegur pihak pemerintah tentang mana yang betul dan mana yang salah. Para Ulama’ haruslah membantu sebagai ‘check and balance’ kepada pihak pemerintah dan bukan sekadar mengampu untuk menjaga kerjaya masing-masing.

Beliau turut menceritakan bagaimana 4 Imam Mazhab yakni Imam Hanafi,Imam Malik,Imam Hambali dan Imam Shafie yang masing-masing menerima ujian apabila mengatakan yang haq di hadapan pemerintah. Imam Abu Hanifah sebagai contoh, pernah disogok dengan wang dan wanita, dan beliau juga pernah dipenjara kerana mengkritik fatwa yang dikeluarkan oleh ulama kerajaan.

Tambah beliau lagi,Allah SWT menemplak golongan ulama’ yang menyeleweng fungsi mereka di dalam surah At Taubah ayat ke-9 :

Mereka menukarkan ayat-ayat Allah Dengan harga Yang sedikit (dari faedah-faedah dunia), lalu mereka menghalangi (dirinya dan orang-orang lain) dari agama Allah; Sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah kerjakan.

“Contoh lain yang kita boleh ambil adalah kisah ‘Izzuddin Bin Abdul Salam yang mendapat gelaran Sultan Ulama’ atas ketegasan dan keberanian beliau. Ketegasan beliau terbukti apabila dipecat daripada jawatan Ketua Hakim Mesir kerana fatwa beliau yang bercanggah dengan dasar kerajaan negara Mesir pada waktu itu yang dipimpin oleh Najmuddin Ayyub”, ulas Ustaz Abu Bakar Hussian.

Pesuruhjaya PAS Perak itu turut menggesa kepada para ulama’ untuk tampil ke hadapan dan meyatakan pendirian mereka bilamana hukum Allah SWT dipersendakan, bila maksiat di kalangan belia semakin meruncing dan bila agama Islam tidak lagi diletakkan sebagai solusi terbaik.Dan pendirian in haruslah selari dengan ajaran yang dibawa baginda Rasulullah SAW, dan bukanlah pendirian yang hanya mahu menghalalkan tindakan pemimpin.

Justeru, Pesuruhjaya PAS Perak itu menyatakan bahawa Islam diletakkan sebagai agama rasmi di dalam Perlembagaan Persekutuan dan ianya mempunyai hak yang istimewa dan tidak ada pertikaian untuk dilaksanakan secara syumul. Tinggal lagi, ulama’ dan umara’ harus mengembalikan cara hidup masyarakat ke arah pelaksanaan Islam yang sebenarnya, dan kemudian sistem masyarakat yang harmoni akan terbentuk. Sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang berbunyi :

“Ada dua golongan manusia apabila mereka baik, orang menjadi baik, apabila mereka rosak, orang menjadi rosak: ulama dan umara.”
(Hadis riwayat Abu Na’im)





PAS PERAK UCAP TAKZIAH BUAT KELUARGA ALLAHYARHAM PAK IMAM MAJID SALLEH

14 12 2011


PAS Perak ingin merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Abdul Majid Salleh atau lebih dikenali sebagai Pak Imam Majid Salleh diatas pemergiannya kerahmatullah awal pagi tadi

Beliau, pernah aktif dalam Angkatan Pemuda Insaf dan Persatuan Kebangsaan Melayu Muda bersama tokoh-tokoh ternama seperti Dr Burhanuddin al Hilmy, Ahmad Boestamam dan seluruh pejuang kemerdekaan yang tulen yang lain dalam menentang British sehingga beliau ditahan dan dipenjarakan.

Selain itu beliau juga pernah menjadi YDP PAS kawasan Gopeng pada tahun 80an dan juga pernah bertanding dalam Pilihanraya menentang presiden MCA Tan Kon Swan pada tahun 1986 di Parlimen Gopeng

PAS Perak dan seluruh kawasan-kawasan kehilangan seorang pejuang yang begitu gigih dan sangat konsisten dalam memartabatkan Islam dan mengangkat martabat rakyat di bumi Malaysia.

Pemergian Allahyarham Abdul Majid Salleh sangat dirasai oleh seluruh rakyat negeri Perak.

Pengorbanan dan semangat juangnya inilah yang wajar dicontohi oleh rakyat terutamanya generasi muda.

PAS Perak melihat, walaupun pemergian Allahyarham Abdul Majid Salleh menemui Allah SWT adalah satu kehilangan besar bagi rakyat, tetapi Allahyarham telah berjaya membuktikan bahawa beliau telah menggunakan kesempatan hidup diatas muka bumi untuk terus berjuang menegakkan perintah ALLAH SWT. Semoga ALLAH SWT meletakkan rohnya bersama para An’biya, Syuhada’ dan Solihin.

Salam Takziah

Ustaz Abu Bakar bin Hussian

( PESURUHJAYA PAS PERAK )





RAMPASAN KUASA: UMNO ROSAKKAN PERPADUAN RAKYAT DI PERAK

13 12 2011

IPOH, 13 Disember – Orang Melayu khususnya di Perak digesa jangan termakan dengan isu perkauman yang cuba dibangkitkan oleh UMNO setelah UMNO melakukan jenayah besar kepada rakyat Perak iaitu rampakasan kuasa.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussian mengatakan demikian ketika menyampaikan ceramah di Ipoh baru-baru ini.

Umno yang pada hari ini semakin terhimpit dengan pelbagai masalah di samping krisis kepimpinan yang mereka sedang hadapi cuba bermodalkan isu ketuanan Melayu dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi meraih simpati rakyat, katanya.

Katanya, UMNO pada hari ini yang kuasanya semakin tergugat di samping mengalami krisis dalaman yang teruk cuba memainkan isu perkauman bagi meraih simpati orang Melayu di samping mahu mengalih perhatian rakyat tentang apa yang berlaku dalam UMNO itu sendiri.

“Meraka cuba menggambarkan kuasa orang Melayu di Perak kini semakin terhakis di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat sebelum ini, Ini semua adalah propaganada UMNO yang bertujuan untuk menghilangkan keyakinan rakyat khususnya orang Melayu kepada kesatuan pelbagai kaum dalam Pakatan Rakyat Perak sekarang.

“Media massa juga dilihat terus menyerang negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat dengan memainkan isu-isu bagi memburukkan pentadbiran di negeri-negeri berkenaan,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan pusat pada hari ini dilihat seakan menganaktirikan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat dengan membatalkan beberapa perjanjian yang dibuat sebelum ini.

“Semua ini bertujuan untuk melemahkan pentadbiran Pakatan Rakyat di samping mahu menghilangkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat,” katanya.

Hakikatnya pentadbiran kerajaan negeri dibawah Pakatan Rakyat Perak sebelum berlakau rampasan kuasa oleh UMNO adalah lebih telus berbanding kerajaan negeri dibawah UMNO kini.

Pesuruhajaya PAS Perak itu menyarankan orang Melayu supaya bersatu di samping tidak menzalimi kaum-kaum lain untuk memastikan kejayaan dalam pemerintahan Pakatan Rakyat.

Tegasnya lagi, kerajaan Pakatan Rakyat mahu menjalankan pentadbiran yang lebih telus dengan memastikan hak orang Melayu tidak terjejas di samping menjamin hak-hak kaum lain.





INDEKS PERSEPSI RASUAH 2011 : MALAYSIA DI KEDUDUKAN TERCOROT PERAK TURUT DAPAT KESAN

9 12 2011

IPOH, 9 December 2011 : Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyifatkan kedudukan Malaysia yang berada pada tangga ke-60 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dalam dunia adalah sebagai sesuatu yang mengaibkan dan harus dimuhasabah oleh Barisan Nasional. Malaysia yang dahulunya sebaris dengan Korea Selatan,Singapore dan Taiwan kini jauh ditingalkan di belakang.

Tambah beliau lagi, adalah sesuatu yang pelik bilamana negara seperti Macau dan Bhutan mempunyai rekod yang lebih baik berbanding Malaysia. Saban tahun menunjukkan Malaysia semakin jatuh daripada tangga ke-36 pada tahun 2001 dan adakah perkara ini akan berterusan menjelang tahun 2020?

Ustaz Abu Bakar Hussain menjelaskan bahawa, gejala rasuah yang berleluasa ini bakal merosakkan ekonomi negara lantas melemahkan lagi nilai mata wang Ringgit Malaysia. “Adakah ini yang kita gelar sebagai Transformasi Berjaya sedangkan Malaysia berada di tangga ke-60 di samping mempunyai hutang sebanyak RM 437.2 billion?”, soal beliau.

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga turut menyentuh tentang hutang awam kerajaan negeri perak yang bertambah ke RM 952.45 juta pada tahun 2010 akibat pengurusan ekonomi yang terlalu memfokuskan pada projek-projek besar.

Pada hujung ayat beliau, Pesuruhjaya PAS Perak mengingatkan pada smeua tentang sepotong ayat Quran yang mencela perbuatan rasuah :

“Janganlah kamu makan harta-harta diantara kamu dengan jalan haram dan kamu bawa (berikan) kepada hakim-hakim untuk kamu makan sebahagian dari harta-harta manusia (orang lain) dengan cara kedosaan walhal kamu mengetahui.”
Al Baqarah : 177





RASUAH, ANGKUH, ZALIM MEMANG BUDAYA PEMIMPIN UMNO

9 12 2011

IPOH 7 Dis 2011, Pesuruhajaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain hari ini menyatakan, kini rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap UMNO/BN yang terus mempertahankan budaya rasuah, angkuh, penindasan, zalim yang ada pada pimpinan mereka.

Beliau menyatakan, kini bukan masanya lagi untuk rakyat terus mendiamkan diri dan tidak mahu ambil tahu.

Sepanjang pemerintahan BN, kita semua juga sebenarnya telah bersama-sama menyumbang –akibat sikap kita yang ‘biarkanlah’, dalam menyemai kuasa kuku besi pemerintah yang kejam hinggalah kini kuasa itu menjadi parah dan terlalu mencengkam, jelas beliau.

Beliau juga menyatakan bahwa PAS Perak khususnya akan terus bekerja untuk menyeru rakyat supaya berani menyatakan keberanian runtuk terus membongkar penyelewengan dan rasuah yang UMNO/BN amalkan, lantas tidak teragak-agak menolak UMNO/BN.

Memetik ucapan beliau, “ Kesan yang kini dirasai rakyat ialah kenaikan harga barang yang melampau, 80 peratus rakyat Malaysia kini terpaksa menanggung beban kos sara hidup yang semakin tinggi, sedangkan pemimpin-pemimpin UMNO/BN dan kroni mereka hidup mewah”

“ Kewujudan undang-undang kejam seperti yang menekan dan menzalimi rakyat sehingga teguran dan nasihat rakyat tidak dipedulikan, Bantahan rakyat dengan angkuh diperangi secara kejam menggunakan undang-undang tersebut. Kini timbul pula undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang langsung tidak masuk akal”

“ Politik perkauman digunakan untuk menakutkan rakyat. Taktik ‘pecah’ dan ‘perintah’ dilaksanakan untuk menutup berita penyelewengan dan rasuah serta boros dan tamaknya pemimpin-peminpin UMNO/BN ini. Sepanjang pemerintahan BN, rakyat Malaysia ditipu dengan slogan perkauman sempit supaya mereka tetap undi UMNO/BN”. Tegas beliau.





RUU PERHIMPUNAN: HALANG RAKYAT UNTUK BANTAH KEZALIMAN KERAJAAN BN

2 12 2011

IPOH, 2 Disember – Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain hari ini menyatakan menyatakan bantahan beliau terhadap Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang telah diluluskan oleh ahli parlimen BN.

Beliau menyatakan undang-undang tersebut bertujuan menyekat kebebasan masyarakat untuk menyatakan bantahan terhadap perbuatan penyelewengan kerajaan BN. Implikasinya adalah negara Malaysia akan menjadi semakin mundur malah semakin tertutup dalam menerima pandangan pelbagai pihak.

Menurut beliau lagi, Rang Undang-Undang tersebut hanya menambah persepsi buruk masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia.

Memetik ucapan beliau ” Satu kajian oleh Freedom House, sebuah organisasi antarabangsa, di mana dari segi media akhbar, Malaysia dikategorikan sebagai “tidak bebas”.

” Menurut kajian tersebut, beberapa polisi kerajaan seperti kawalan tidak munasahah ke atas lesen akhbar, monopoli kerajaan ke atas akhbar perdana serta tindakan lain telah menyebabkan akhbar di Malaysia dilihat sebagai berat sebelah dan tidak telus”.

” Dari segi internet pula, Malaysia dilihat sebagai “separuh bebas”. Dalam kajian tersebut juga, didapati bahawa pengaliran maklumat di internet masih lagi bebas”

Pesuruhjaya PAS Perak itu kemudian berkata bahawa jelaslah 54 tahun pemerintahan Barisan Nasional tidak membantu masyarakat untuk maju kerana polisi BN untuk menutup minda masyarakat malah membiarkan masyarakat hidup dalam keadaan katak bawah tempurung.

Beliau kemudian memetik ayat Al Quran untuk mengingatkan pemimpin BN bahawa walau apapun strategi mereka untuk menghalang kebenaran, kemenangan dari Allah tetap juga akan datang, kerana itu adalah janji Allah SWT:

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (61:8)








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.