TAZKIRAH PESURUHJAYA PAS PERAK: HATI ROSAK PUNCA MANUSIA TOLAK PERJUANGAN ISLAM

1 09 2009

DSC_0242

Pesuruhjaya PAS Perak Al Fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain, menegaskan antara punca manusia kini menolak perjuangan Islam adalah kerana hati manusia itu sudah mati, beliau menyatakan bahawasanaya Allah SWT, sudah lama memberitakan perkara ini didalam Al Quran, dalam ayat 258 surah al-Baqarah :

Maksudnya : Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Ia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim

Beliau menyatakan,perbezaan antara hak dan batil begitu terang, percanggahan antara iman dan kufur begitu jelas, pertembungan antara Islam dan jahiliah begitu ketara. Pejuang Islam termasuk golongan Nabi dan Rasul sentiasa berdepan dengan musuh Islam yang menolak kebenaran walau pun pelbagai hujah dan dalil dikemukakan. Akibat hati yang rosak dipenuhi penyakit takabbur serta ditutup daripada menerima hidayah Allah SWT maka kebenaran ditolak, kesesatan dipertahankan. Pesuruhjaya PAS Perak itu mengambil contoh pada zaman Nabi Ibrahim, ramai kalangan umatnya termasuk bapanya sendiri Azar menyembah berhala sehingga Nabi Ibrahim begitu bersungguh-sungguh berhujah dengan mereka agar meninggalkan perbuatan syirik yang merugikan itu.

Beliau menyatakan lagi, kekuatan hujah kebenaran Islam tidak mampu dilawan oleh golongan yang menentang Islam tetapi golongan yang kufur pada Allah SWT akan menggunakan kekerasan walau pun mereka tahu mereka kalah dan bersalah. Begitulah nasib yang menimpa Nabi Ibrahim yang dibakar dalam api oleh Namrud dan pengikutnya tetapi Allah SWT tetap membantu NabiNya dan dakwah Islam. Kita pada ini yang berjuang Islam terus berdepan dengan pemimpin dan golongan yang tidak yakin dengan Islam. Mereka tidak menyembah berhala tetapi menyembah system ciptaan manusia dari pelbagai segi termasuk pemerintahan, ekonomi, sosial dan sebagainya. Apabila hujah golongan yang tidak yakin kepada system Islam ini dapat dipatahkan maka kekerasan digunakan termasuk ISA, ugutan, buang kerja dan sebagainya. Begitu juga dalam mempertahankan kuasa yang dimiliki maka pelbagai cara yang bercanggah dengan demokrasi apatah lagi Islam digunakan semaksima yang mungkin sehingga mandat rakyat dicabuli, undang-undang rimba disanjungi. Tidak pelik bila undang-undang Allah pun berani dilanggar apatah lagi undang-undang ciptaan manusia yang boleh dipermain sesuka hati tegas beliau.

Beliau memperingatkan kepada seluruh manusia supaya jangan sesekali menolak perjuangan Islam, sebagaimana kaum terdahulu menolak kebenaran yang dibawa Nabi mereka, ini dibuktikan melalui Firman Allah SWT dalam surah al-Ghafir ayat 23 – 24 yang bermaksud

“Sesungguhnya telah Kami utuskan nabi Musa dengan membawa keterangan Kami dan dalil yang nyata kepada Firaun, Haman dan Qarun lalu mereka berkata : “ Ini ahli sihir lagi pendusta”.

Perjuangan Nabi Musa a.s pula menyaksikan bagaimana baginda terpaksa berdepan dengan tiga jenis manusia yang berbeza dari segi pangkat, tugas dan peranan tetapi matlamatnya sama iaitu memastikan umat manusia terus menyembah sesama manusia serta kufur kepada Allah SWT. Manusia pertama bernama Firaun yang berjawatan sebagai raja pemerintah yang menjadikan kuasa sebagai hak milik mutlak bukannya menjadikan kuasa itu sebagai suatu amanah daripada Allah SWT sehingga dia sanggup melawan Allah SWT tanpa rasa takut dan bersalah. Firaun telah ditulis dalam al-Quran sebagai pemimpin dan ahli politik paling jahat dalam sejarah berpunca daripada hati yang rosak bertindak memecah-belah masyarakatnya dengan mencipta puak-puak dan bangsa sekaligus menindas serta bertindak zalim. Dengan cara itu, dia fikir dapat memerintah lama dan tiada masyarakat yang bersatu-padu yang akan menentangnya di kemudian hari. Menurut catatan Ibnu Kathir, Firaun telah membunuh sejumlah 40,000 kanak-kanak lelaki daripada kalangan bani Israel demi memastikan survival politiknya kerana bimbang ada generasi muda iaitu bakal pemimpin yang akan menggulingkannya. Firaun telah lama mati lemas dengan penuh kehinaan tetapi pemimpin-pemimpin yang bersikap sepertinya terus ada setiap zaman dan tempat. Pemimpin jenis ini tidak pernah takut untuk mempersendakan Islam dan mengenepikan agama dalam politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Pemimpin jenis ini gemar mengapi-apikan isu perkauman bagi menjaga kepentingan diri sendiri serta menggunakan pelbagai cara termasuk kekerasan yang bukan sahaja bercanggah dengan Islam malah sistem demokrasi itu sendiri demi memastikan kuasa politiknya tidak tergugat. Akhirnya pemimpin jenis ini menjadikan dirinya sebagai penguasa yang tidak boleh disanggah sehingga yang kuat dan kaya sentiasa menang manakala yang lemah dan miskin menjadi mangsa kezaliman yang sentiasa kalah.

Firaun dibantu oleh Haman yang berperanan sebagai menteri atau pegawai yang berusaha siang dan malam dalam memastikan rakyat jelata sentiasa tunduk kepada pemimpin yang sesat dan zalim secara membabi buta. Haman juga telah mati tetapi menteri dan pegawai yang bersikap sebagaimana Haman terus muncul sehingga rakyat terus keliru hasil kepetahan bicara manusia jenis ini yang bijak menutup kesesatan dan kezaliman pemimpin. Firaun turut dibantu oleh Qarun yang merupakan hartawan yang sanggup membantu pemimpin dan menteri melalui harta kekayaannya dengan syarat dia mendapat balasan yang berganda hasil pelaburannya dalam menyesatkan rakyat dan menutup kesalahan pemimpin. Qarun juga telah lama mati ditelan bumi bersama harta kekayaannya tetapi hartawan yang bersikap sebagaimana Qarun terus wujud di mana-mana. Bahayanya hartawan jenis ini ialah dia mampu mengawal system pemerintahan, perundangan, ekonomi, sosial dalam sesebuah negara kerana berjaya membeli negara dengan harta kekayaannya. Jadi tidak pelik apabila wujudnya negara yang dikawal oleh tauke dadah, tauke judi, tauke arak, kongsi gelap dan sebagainya. Benar kata cerdik pandai : Bila wang bercakap maka perundangan akan senyap.

Pesuruhjaya PAS Perak juga menyeru supaya umat Islam yang menjadikan Al Quran Karim sebagai dasarnya perlu sentiasa ingat peringatan Allah SWT yang bermaksud: Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal

Perjuangan nabi Muhammad s.a.w sendiri terpaksa berdepan dengan manusia yang rosak hati termasuk bapa saudaranya sendiri Abu Lahab bersama isterinya. Walau pun merupakan antara ahli keluarga yang paling gembira ketika menyambut kelahiran nabi Muhammad s.a.w sehingga menyembelih banyak ekor unta dan memerdekakan hambanya Suwaibah namun apabila nabi mula menyatakan dakwah Islam maka Abu Lahab merupakan penentang utama kepada dakwah suci itu. Sehingga mati dia bersama isterinya sentiasa mencari jalan bagi menjauhkan umat manusia daripada menerima dakwah nabi. Kebanyakan hartanya digunakan bagi menentang perjuangan Islam.

Oleh itu kita mesti menjauhkan diri daripada menjadi manusia yang rosak hati di mana hanya seronok menyebut tentang kemuliaan nabi Muhammad s.a.w tetapi menentang sunnah dan sistem Islam yang dibawanya. Islam tidak akan berjaya hanya sekadar menyebut tetapi wajib diikut, Tegas beliau.





1 MALAYSIA :RETORIK MENYATUKAN RAKYAT, TETAPI BN SENDIRI SEMAKIN BERPECAH – PJ PAS PERAK

1 09 2009

DSC_6744

1 Malaysia adalah istilah yang digunapakai oleh Perdana Menteri hari ini. Sudah pasti ia akan terus berubah apabila berubahnya perdana menteri. Tetapi, apa yang dilihat hari ini, rancangan untuk menyatukan rakyat pelbagai bangsa ini, gagal dilaksanakan di peringkat dalaman BN itu sendiri. Sesama pimpinan BN sendiri sudah berpecah sesama sendiri.

Mengulas tentang hal ini, Ustaz Abu Bakar Hussain, Pesuruhjaya PAS Perak berkata, “BN mengajak kita supaya bersatu, tetapi mereka sendiri berpecah sesama mereka”.

Dalam masa yang sama, beliau menyifatkan bahawa kesatuan dan perpaduan yang didakwa oleh BN hanyala retorik semata-mata. BN hanya pandai berkata dan berteori, tetapi mereka sendiri bertentangan dengan teori yang mereka bawa. Contohnya apa yang terjadi di kalangan pimpinan BN sendiri.

Beliau berkata lagi, ketika zaman Nabi Muhammad SAW, orang Yahudi di Madinah pada mulanya tinggal dalam keadaan berpuak-puak. Demikian juga apa yang diamalkan oleh orang Musyrikin Mekah. Mereka hidup berpuak-puak, dan berperang sesama mereka dan kerap berlaku persengketaan sesama mereka.

“Walaupun mereka itu Yahudi, mereka tetap mempunyai suku-suku tertentu. Begitu juga Kaum Musyrikin Mekah. Mereka kesemuanya berbangsa Arab, tetapi masih lagi mengamalkan puak”, katanya.

Beliau berkata lagi, walaupun mereka itu hidup berpuak dan berperang sesama mereka, namun mereka bersatu apabila menentang Islam. Contohnya ketika usaha pembunuhan Nabi Muhammad SAW. Seramai 10 wakil daripada pelbagai puak dipanggil untuk melaksanakan usaha membunuh Nabi SAW. Mereka sanggup bersatu untuk menghapuskan Islam, walaupun pada mulanya mereka bergaduh sesama mereka.

Demikian juga Yahudi di Madinah. Walaupun mereka hidup berpuak, tetapi mereka bersatu menentang Nabi Muhammad SAW ketika Perang Ahzab. Mereka berpecah sesama mereka, tetapi bersatu apabila cuba menjatuhkan Islam.

Beliau berkata lagi, hari ini kita perlu melihat bahawa di sana terdapat iktibar yang perlu diperhatikan. Saya tidak kata UMNO itu Yahudi atau Musyrikin Mekah, tetapi kesatuan yang dicanang oleh BN hari ini, adalah bertujuan menolak Islam terlaksana di Malaysia. Dalam masa yang sama, mereka sendiri bertelagah sesama sendiri.

Perpecahan yang terjadi di dalam BN semakin membarah hari ini. Tetapi apabila mereka cuba untuk menafikan kedudukan Islam di Malaysia, mereka boleh bersatu. Hari ini kita melihat bahawa perkara ini semakin terserlah. Kerajaan memperjuangkan 1 Malaysia, akan tetapi sesama pimpinan BN sendiri tidak sekepala. Mereka mengatakan PKR, DAP dan PAS mempunyai kepentingan masing-masing, sedangkan MCA, MIC dan UMNO sendiri yang berbuat demikian.

Beliau berkata lagi, memang benar, 1 Malaysia hari ini hanyalah retorik semata-mata, tidak lebih melainkan teori yang dicipta oleh PM semata-mata. Sedangkan sesama pimpinan mereka sendiri berpecah dan memperjuangkan kepentingan masing-masing.

Selain itu, BN sering mendakwa bahawa PR semakin berpecah, sedangkan tohmahan ini lebih terpalit ke muka mereka sendiri. Mereka mendakwa bahawa PR hanya memperjuangkan kepentingan semata-mata, sedangkan tohmahan ini lebih terpalit ke muka mereka. Mereka memfitnah PR itu dan ini, sedangkan fitnah itu terpalit semula ke muka mereka sendiri.

Beliau memperingatkan bahawa Allah SWT Maha Adil. Kalau manusia hari ini menafikan keadilan Islam, maka mereka dipersilakan untuk mempersembahkan sebuah sistem yang lebih adil daripada Islam. Kalau mereka cuba mereka-reka fitnah, maka tunggulah fitnah yang lebih besar yang akan terpalit ke muka mereka semula. Kalau mereka cuba memecahbelahkan rakyat hari ini dengan perjuangan mereka, maka hari ini kita melihat mereka sendiri semakin berpecah.