PERUTUSAN AWAL MUHARRAM PESURUHJAYA PAS PERAK

17 12 2009

ASSALAMU ‘ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.Saudara-saudari muslimin-muslimat yang dihormati sekelian, Pada hari ini maka genaplah 1431 tahun sejak Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah dari Mekah ke Madinah.Demikianlah pentingnya penghijrahan ini sehingga tarikhnya dijadikan tarikh permulaan bagi perkiraan zaman Islam.Sebenarnya Nabi Muhammad s.a.w menerima wahyu yang pertama 13 tahun lebih awal dari penghijrahan ke Madinah. Penentuan penghijrahan sebagai tarikh permulaan zaman Islam tentulah mempunyai erti yang istimewa.

2. Jika kita kaji sejarah Islam dan sejarah dunia kita akan dapati bahawa penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. pada 1hb. Muharam tahun pertama Islam adalah satu peristiwa yang bukan sahaja membawa kesan kepada umat Islam pada ketika itu dan pada zaman ini tetapi bagi seluruh umat manusia. Dari tarikh itulah bermula perkembangan Islam dengan pesatnya ke seluruh dunia sehingga berlakulah perubahan-perubahan yang kekal hingga sekarang. Penghijrahan juga menjadi satu tauladan bagi umat Islam tentang kesabaran dan ketabahan hati dalam menghadapi penindasan dan cabaran yang mana inilah yang akhirnya membawa kejayaan.

3. Penghijrahan merupakan satu ikhtiar dan penyerahan kepada Allah Subhanahuwataala. Penyerahan sahaja tanpa ikhtiar tidak akan membawa kemenangan. Perjalanan dari Mekah ke Madinah yang jauh melalui padang pasir, dengan dikejar oleh musuh dan perompak adalah juga satu ujian terhadap keteguhan iman mereka yang menyertai kumpulan ini.Dan tidak syak lagi pengalaman penghijrahan telah mengukuhkan semangat pengikut-pengikut Nabi serta mengkagumkan orang-orang Madinah.

4. Dari peristiwa ini umat Islam di zaman-zaman yang mereka ditindas bolehlah mencari inspirasi bagi mengukuhkan semangat. Sebenarnya apa yang dihadapi oleh umat Islam sekarang tidak sebegitu berat dan teruk seperti cabaran yang dihadapi oleh Nabi Muhammad s.a.w. Umat Islam di zaman ini amat ramai. Sebahagian daripada mereka kaya-raya. Mereka memerintah wilayah-wilayah yang besar. Sudah sepatutnyalah mereka mencapai kejayaan. Tetapi mereka tidak mencapainya.Sebaliknya mereka di usir dari satu wilayah ke satu wilayah, ditakluk oleh kuasa-kuasa asing, disiksa dan dibunuh tanpa mereka boleh membuat apa-apa. Mereka cuma meraung dan merayu kepada orang lain. Di Palestin dan Lubnan mereka diserang, dibunuh beramai-ramai dan diusir dengan sewenang-wenang oleh Yahudi dan kawan-kawan mereka. Dengan pemindahan orang Palestin, kita sekali lagi melihat peristiwa penghijrahan.

5. Memang benar nasib buruk orang Islam sekarang disebabkan oleh perbuatan orang Yahudi dan penyokong-penyokong mereka. Kita patut salahkan mereka ini dan kita patut kutukkan mereka. Tetapi kita patut juga periksa diri kita sendiri. Apakah semangat dan ketabahan hati yang terdapat pada Nabi Besar kita dan sahabat-sahabat Baginda ada pada kita.yang penting sekali tidak sanggup berusaha atau berikhtiar untuk menuju ke arah kejayaan. Yang jelas ialah kalau kita lemah, maka kita perlu kuatkan diri kita, jika kita kurang cekap maka kita perlu berlatih untuk menguasai kecekapan, dan jika kita kekurangan ilmu maka kita mengejar ilmu. Ini semua jelas dan dituntut oleh Islam tetapi kita masih asyik berpoya-poya, masih suka mencari alasan dan sebab kenapa kita tidak mungkin buat itu dan ini, masih hendak menyalahkan orang semata-mata. Selagi kita tidak sanggup bertindak secara positif, selama itulah kita akan dipermainkan orang dan ditindas.

7. Memperingati detik-detik sejarah dan pengalaman tidak berguna melainkan ianya menjadi pengajaran kepada kita.Pada awal Muharam ini kita patut ingatkan balik peristiwa penghijrahan supaya kita dapat manfaat dari satu peristiwa dalam sejarah Islam yang penting ini. Awal Muharam bukan untuk berehat dari kerja atau bercuti atau perayaan tetapi adalah untuk kita memperkukuhkan nilai-nilai dan keazaman kita, mempertingkatkan keupayaan kita dalam semua bidang.Jika kita pelajar maka kita perlu belajar dengan bersungguh-sungguh. Jika kita pekerja maka kita perlu kerja dengan jujur dan dedikasi. Jika kita peniaga kita perlu menjaya dan mempertingkatkan perniagaan dan perusahaan kita.Jika kita pemimpin kita perlu menumpukan lebih banyak tenaga dan usaha dalam membentuk satu masyarakat Islam yang dihormati oleh semua pihak. Pendek kata Awal Muharam adalah satu hari untuk memperbaharui azam dan tekad sebagai orang Islam yang committed kepada kebesaran agama Allah SWT dan kesejahteraan penganut-penganutnya.

8. Di Mekah dan di Madinah di zaman Nabi Muhammad s.a.w Islam antara sebab utama Islam berkembang ialah kerana keadilan dan timbangrasa Islam. Kerana ini jugalah Islam dihormati dan disegani. Pada satu haribulan Muharam ini kita perlu ingatkan diri kita bahawa keangkuhan kuasa tidak ada tempat dalam pemerintahan yang berlandaskan Islam. Sementara hak orang Islam kita pelihara, hak orang lain kita jaminkan mengikut ajaran Islam. Dengan ini bukan sahaja Islam akan dihormati tetapi penindasan terhadap orang Islam yang menjadi minoriti di negara lain dapat dikurangkan.

10. Satu haribulan Muharam patutlah dijadikan satu tarikh untuk kita semua merenung dan mengkaji sejarah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. terutama penghijrahan dari Mekah ke Madinah. Dengan ini saya mengucap selamat mencontohi semangat penghijrahan dalam semua perjuangan hidup dan mati kita. Mudah-mudahan kita akan mendapat nikmat daripadanya; Insyaallah.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu ‘alaikum warahmatulahi wabarakatuh.

Al fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain
Pesuruhjaya PAS Perak





UMNO TERLALU SOMBONG UNTUK MOHON MAAF

17 12 2009

Pesuruhjaya PAS Perak hari ini menyatakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak terlalu sombong untuk memohon maaf di atas perkara yang berlaku mutakhir ini. Beliau juga menyifatkan kenyataan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir yang menyifatkan UMNO telah busuk hingga ke ususnya adalah kenyataan yang ikhlas dan relevan dengan situasi UMNO kini.

Mengulas lanjut mengenai hal ini, beliau mengatakan bahawa isu-isu yang dibawa oleh UMNO dan BN sejak akhir-akhir ini jelas melampaui adab dalam amalan demokrasi dan tidak menunjukkan kematangan berpolitik, malah lebih kepada politik samseng dan fitnah. Katanya lagi, jika dilihat kepada bentuk serangan UMNO kini, ia lebih kepada usaha untuk memburukkan PAS dan Pakatan Rakyat dalam siri-siri demonstrasi dan kenyataan berbaur fitnah terhadap PAS dan Pakatan Rakyat tanpa bukti yang dikemukakan.

Menurut beliau lagi, perkara ini jelas menunjukkan UMNO dan BN kini sudah ketandusan isu untuk menjatuhkan kredibiliti PAS dan Pakatan Rakyat. Beliau juga menyatakan, pimpinan PAS Perak berpendirian bahawa UMNO sepatutnya memohon maaf di atas siri-siri demonstrasi dan tuduhan berbentuk fitnah yang di ada-adakan oleh UMNO dan BN bagi memburukkan PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat.

Menceritakan mengenai demonstrasi pemuda Umno di Pejabat SUK Kelantan yang memohon Mursyidul Am PAS menarik balik kenyataan kerana mendoakan supaya Allah SWT, memberikan musibah kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana menzalimi rakyat Kelantan kerana tidak memberikan hak royalti minyak kepada rakyat Kelantan, beliau menyatakan bahawa perkara itu jelas menggugat ketenteraman awam . ”Tidak ada salahnya kita berdoa jika kita teraniaya. Malah, doa orang yang dizalimi lebih cepat
dimakbulkan oleh Allah”, katanya merujuk kepada isu doa Mursyidul Am PAS itu lagi. Ditanya mengenai demonstrasi pemuda UMNO Pulau Pinang yang membakar gambar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan memijak gambarnya di Pulau Pinang baru-baru ini, beliau menyatakan tindakan itu adalah keterlaluan kerana simbolik kepada membakar gambar adalah suatu perkara yang amat menghinakan bagi situasi di Malaysia,
tambahan pula beliau merupakan seorang Ketua Menteri dan wakil rakyat. Ia juga jelas menunjukkan UMNO dan BN tidak menghormati Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri yang merupakan pilihan rakyat.

Beliau juga menambah, UMNO memang terlalu sombong untuk memohon maaf kerana sehingga kini kita masih belum melihat atau mendengar kenyataan UMNO memohon maaf berhubung demonstrasi memijak kepala lembu yang jelas tidak menghormati perbezaan agama dan budaya yang berlaku di Selangor. Selaku Pesuruhjaya PAS Perak, beliau juga kesal dengan sikap UMNO dan BN yang sehingga kini dilihat tidak memohon maaf di atas
rampasan kuasa yang dilakukan di Perak.

Selain itu, Pesuruhjaya PAS Perak itu juga mengecam sikap UMNO yang kerap kali memburukkan imej ulama’ seperti yang berlaku kepada Mursyidul Am PAS dan juga Presiden Parti Islam SeMalaysia. Beliau berkata, UMNO tidak sepatutnya menyerang keperibadian Tuan Guru Nik Abdul Aziz semata-mata untuk menguasai Kelantan. Mereka juga tidak sepatutnya menyerang peribadi Presiden PAS untuk menjatuhkan imej PAS
yang dilihat kian meningkat di mata rakyat. ”UMNO selaku komponen yang mewakili kelompok masyarakat Islam di dalam Barisan Nasional sepatutnya menasihati komponen lain BN bagaimana menghormati ulama’, bukan dengan mencerca mereka”, Tegas Pesuruhjaya PAS Perak itu. Katanya lagi, PAS akan sentiasa komited menjalankan amanah rakyat dan memperjuangkan keadilan Islam di Malaysia, bahkan yakin untuk
memenangi hati rakyat menjelang Pilihanraya Umum ke-13.