PERUTUSAN PESURUHJAYA PAS PERAK SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1431 HIJRAH

28 02 2010

Bismillahirrhmanirrahim.

Alhamdulillahirabbil’alamin, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana atas izinNya, kita memiliki nikmat Iman dan Islam hasil jerih payah kekasihNya, Rasulullah SAW yang memerah keringat dan bertumpah darah demi menyempurnakan agama Allah di muka bumi ini. Selawat dan salam diucapkan kepada Baginda SAW, utusan Allah yang tercinta, yang telah menunjukkan jalan buat para mukmin untuk hidup di dunia dan membawa ke akhirat mengikut syariat Islam supaya kita senantiasa berada di bawah redha Allah SWT.

Pada tanggal 12 Rabiulawal, kita menyambut sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1431 Hijrah untuk mengenang perjalanan hidup Rasulullah SAW yang telah ditentukan oleh Allah SWT dalam menegakkan syiar agamaNya sekaligus menghidupkan kerajaan Allah di atas muka bumi ini. Merindui atau mengatakan kita mencintai Baginda SAW tanpa mengikut sunnahnya, samalah seperti pepatah Melayu yang mengatakan “Bagai pungguk rindukan bulan”. Mencintai Rasulullah tidak memadai dengan hanya mengadakan perarakan setahun sekali, sebaliknya, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Baginda SAW, seluruh kehidupan kita adalah untuk Allah SWT. Namun pada hari ini, soalan yang perlu kita amati, adakah kita mengikuti jalan perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah SAW, dan adakah kita di antara mereka yang terus menghidupkan apa yang telah dibawa oleh Baginda SAW?

Kita melihat pada hari ini, manifestasi kecintaan kepada Rasulullah hanya dihidupkan setahun sekali. Namun yang menyedihkan bagaimana sirah perjuangan Rasulullah tidak benar-benar dihayati dalam kehidupan seharian bahkan ada yang menolak ajaran Nabi SAW. Kita melihat bagaimana Islam yang dibawa Rasulullah hanya diamalkan pada masa-masa tertentu. Hasilnya, kita melihat keadaan pada ketika ini yang sarat dengan masalah sosial, rasuah, penindasan ke atas mereka yang lebih lemah dan bermacam-macam lagi hasil daripada pengabaian dan penolakan sunnah Rasulullah SAW.

”Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang sholeh”. (HR: Bukhari)

Sesungguhnya sebagai manusia yang lemah, kita meletakkan wahyu Allah SWT yang disampaikan melalui Rasulullah SAW melebihi akal fikiran kita. Kecintaan kita kepada Rasulullah perlulah diperjuangkan dalam setiap aspek kehidupan kita samada sosial, ekonomi, pemerintahan, sukan, kesihatan dan sebagainya. Seharusnya kita menanam azam untuk terus bersama Baginda sehingga melepasi Titian Sirat bilamana kita dibangkitkan di kemudian hari. Sebagai umat Islam di Malaysia dan di Perak khususnya, marilah kita sama-sama bertekad dan menanam di dalam diri masing-masing supaya tidak hanya mengingati Nabi SAW pada sambutan Malidur Rasul bahkan juga mengikut sunnah beliau pada setiap masa.

Bagi pejuang Islam,seharusnya kita terus bersama beriltizam supaya terus istiqamah dengan jamaah Islam dalam usaha meninggikan kalimah Allah melebihi segalanya dan juga terus istiqamah memajukan jamaah dan mempergiatkan usaha dakwah dari segenap aspek sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah sehingga Islam berjaya menakluki dua pertiga dunia.

Sesungguhnya, Rasulullah adalah model terbaik untuk dijadikan ikutan. Seluruh sunnahnya, baik yang disukai dan dibenci oleh Rasulullah sewajibnya kita ikuti. Mudah-mudahan kecintaan kepada Rasulullah SAW dapat memberikan syafaat di akhirat kelak, dan mengundang keredhaan Allah SWT. Untuk itu, saf kepimpinan PAS Perak mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul 1431 Hijrah.





UMNO Takut bubar Dun Perak kerana kronisme, nepotisme

19 02 2010

Keikhlasan Umno dalam membela nasib Melayu terus dipertikai oleh rakyat ekoran beberapa pemimpin parti perkauman tersebut dilihat mengamalkan kronisme dan nepotisme.

Bercakap pada suatu sidang media di Pejabat PAS negeri di sini semalam, Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain mendakwa amalan kronisme dan nepotisme tersebut sebagai salah satu punca yang mendesak Umno negeri takut membubarkan Dun Perak seperti yang dicabar oleh PAS dan Pakatan Rakyat sebelum ini.

Dakwanya lagi, budaya kronisme-nepotisme tersebut mengakibatkan kepemimpinan Umno negeri sendiri sedar bahawa hanya ahli-ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) sahaja sedang menyokong kerajaan ‘kudeta’ Perak, seperti yang diputuskan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

Sedangkan rakyat, menurutnya lagi kian celik politik apabila membandingkan antara kerajaan negeri era Pakatan Rakyat yang dilihat bersih denga kerajaan negeri era Umno serta BN yang dianggap kronisme nepotisme.

Mengambil contoh inisiatif Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengadakan rumah terbuka khas sempena perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini, beliau mendakwa bahawa Umno sekarang sedang cemas melihat sindrom penolakan rakyat bukan Melayu dan bukan BN ke atas ‘kerajaan mahkamah’ di Perak.

Sehubungan itu, beliau menaruh rasa yakin bahawa masyarakat Melayu dan bukan Melayu di Perak umumnya bersama PAS serta Pakatan Rakyat kerana menolak budaya kronisme-nepotisme yang dilihat lazim dilakukan oleh Umno peringkat negeri dan nasional.





MAHKAMAH AKUI RAMPASAN KUASA OLEH UMNO DI PERAK: PESURUHJAYA PAS PERAK SOKONG PENDIRIAN MURSYIDUL AM PAS

10 02 2010

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak menyokong penuh kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan bahawa mahkamah seperti mengakui rampasan kuasa yang berlaku di Perak.

Beliau menyatakan perkara ini jelas bertentangan dengan prinsip negara demokrasi apabila kuasa menentukan kerajaan tidak dikembalikan kepada rakyat semula.

Beliau turut meminta rakyat di seluruh negara khususnya Perak memprotes dengan menanam kebencian terhadap umno dan menentang kezaliman yang dilakukan umno yang sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan kuasa.
Bagi beliau keputusan yang dikeluarkan mahkamah ini adalah keputusan yang penuh dengan konspirasi yang disusun bagi menyelamatkan umno.

Beliau turut menyatakan sokongan penuh kenyataan Mursidul AM PAS yang menyatakan apa yang berlaku di Perak adalah kerja fasik dan khianat kerana mereka menang tidak melalui pilihan raya.

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menyatakan bahawa, rakyat perlu memprotes keputusan mahkamah tersebut, hal ini kerana zambry dilihat sebagai Menteri Besar yang diputuskan mahkamah, bukannya Menteri Besar yang diangkat oleh rakyat dalam pilihanraya umum ke 12 sebelum ini.

Menurut beliau lagi, umno sememangnya sangat licik dalam merosakkan seluruh sistem yang ada dalam Negara ini, tidak mustahil Negara ini akan rosak nilai keharmorniannya akibat dari politik kotor yang dimainkan umno ini

Memetik ucapan beliau, “ Keadilan adalah satu perkara wajib ditegakkan, selagi mana umno terus berkuasa selagi itu kezaliman akan menindas rakyat”
Sehubungan dengan itu beliau memberi peringatan kepada UMNO bahawa Keputusan mahkamah ini, akan menjadi rujukkan di masa hadapan, dan tidak mustahil UMNO/BN akan kehilangan kuasa kerajaan dengan cara yang sama, sepertimana yang berlaku di Perak ini.

“ Kita telah sedia maklum bahawa Yang Dipertua Dewan selalunya akan memihak pihak kerajaan. Dan sesuatu usul tidak percaya kepada Perdana Menteri mahupun Menteri Besar sukar dilakukan akibat dari kerenah Yang Dipertua Dewan, Namun dengan keadaan sekarang, jika undang-undang tubuh negeri hampir menyamai undang-undang tubuh negeri Perak, usul tidak percaya di dewan secara tidak langsung tidak lagi diperlukan, melain perlu dibuktikan kepada YDP Agong atau Sultan bahawa MB tidak lagi menerima sokongan majoriti, hanya melalui perkenan istana maka secara tidak langsung sebuah kerajaan boleh diguling” jelas beliau





SERUMPUN DOA, SEMOGA CEPAT SEMBUH

5 02 2010

Bismillahir Rahman’ nir Rahim

Assalamualaikum wrt

PAS Negeri Perak ingin merakamkan doa kami kepada Al Fadhil Ustaz Shuib Hussein ( Timbalan Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Perak merangkap Timbalan YDP PAS Kampar ) serta keluarga diatas musibah yang menimpa beliau, Sesungguhnya kami yakin, seluruh ahli PAS Perak khususnya amat mengharapkan agar Al Fadhil Ustaz Shuib Hussein berada dalam keadaan baik dan selamat. PAS Negeri Perak juga berharap keluarga Al Fadhil Ustaz Shuib Hussein dapat bersabar dalam ujian dan ketentuan dari Allah S.W.T ini .Bagi pihak seluruh kepimpinan dan warga PAS Negeri Perak, kami mendoakan semoga Al Fadhil Ustaz Shuib Hussein dilimpahkan kesihatan dan kekuatan yang jitu dari Allah S.W.T.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

Al Fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain
( Pesuruhjaya PAS Perak )





KUNJUNGAN HORMAT KEDUTAAN UNITED STATES KE PEJABAT PAS PERAK

1 02 2010


IPOH, Kunjungan Wakil Kedutaan Amerika En. Jeremy Nathan, Timbalan Penasihat Politik Kedutaan United States di Kuala Lumpur pagi tadi telah disambut mesra oleh Al Fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain selaku Pesuruhjaya PAS Negeri, YB Dato’ Seri Hj Nizar, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri dan beberapa pimpinan Harian PAS yang lain.

Dalam pertemuan tersebut, Pesuruhjaya PAS Negeri telah memberi taklimat tentang dasar-dasar perjuangan PAS dan perkembangan isu-isu politik terkini di Perak.


Manakala wakil kedutaan Amerika, Mr . Jeremy menyatakan hasratnya bertemu PAS Perak untuk mengetahui perjuangan PAS sebenar yang selama ini kegiatan dan perjuangan PAS tidak mendapat liputan yang tepat melalui media arus perdana.

Beliau menyatakan kekagumannya kepada PAS yang begitu terbuka pemikiran dan tindakan, ia sangat berbeza dengan gambaran yang diterima dari pihak lain yang mengambarkan PAS sebagai fanatik agama, anti pembangunan dan berbagai persepsi negatif yang lain.

Menurut wakil kedutaan U.S itu, Melalui kunjungan-kunjungan beliau ke PAS Kelantan dan Terengganu sebelum ini ternyata semua tohmahan adalah palsu. PAS juga disifatkan bijak dalam menanggani apa sahaja isu seperti penggunaan kalimah Allah, perkauman, rasuah dan sebagainya. Beliau berjanji akan memberi gambaran sebenar tentang PAS kepada rakyat dan media Amerika.

Suasana menjadi semakin rancak dalam sesi dialog dan soal jawab antara pimpinan PAS Perak dan En. Jeremy yang masing-masing memberi pandangan terhadap isu-isu politik nasional dan Perak. Beliau begitu peka terhadap perkembangan politik di negara ini, dan ingin mengetahui isu sebenar dari sumber yang sah. Melalui pertemuan seumpama ini, beliau mendapat gambaran sebenar dari sumber yang benar dan tepat.





TINGKATKAN MUNAJAT DAN MANTAPKAN GERAK KERJA : PESURUHJAYA PAS PERAK

1 02 2010

Pesuruhjaya PAS Perak hari ini mengingatkan kepada semua penggerak parti di seluruh peringkat agar meningkatkan hubungan dengan Allah agar diberi kemenangan dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang.

Mengulas lanjut, beliau mengatakan kemenangan yang mutlak adalah milik Allah SWT. Sepertimana yang tertulis di dalam surah al-Nasr ketika mana Allah memberikan kemenangan kepada Nabi SAW dan tentera di dalam peristiwa Fathul Makkah dan juga kisah bagaimana Allah memberikan kerajaan yang hebat kepada Nabi Sulaiman A.S, kisah ini mengajar kita bagaimana kedua-dua nabi Allah ini ialah mereka yang rapat hubungannya dengan Allah. Tanpa hubungan yang baik dengan Allah SWT, selama-lamanya kita tidak akan diberikan kemenangan meskipun dengan gerak kerja yang amat tersusun (munazzamah).

Namun demikian, kata beliau lagi, para ’amilin juga seharusnya memantapkan gerak kerja dan persiapan untuk menghadapi pilihanraya yang bakal tiba. Hal ini amat bertepatan dengan sirah Nabi SAW yang bijak mengatur strategi menghadapi peperangan, contohnya di dalam Peperangan Ahzab yang menunjukkan kepentingan berstrategi dalam menghadapi musuh. Para ’amilin digesa agar mengamalkan wehdatul fikr (kesatuan pemikiran) dan wehdatul ’amal (kesatuan gerak kerja) dalam menjalankan gerak kerja dan mencapai matlamat (hadaf) yang sama iaitu menegakkan negara Islam.

Mengulas lanjut, beliau menambah, kekuatan taqarrub dengan Allah dan kekuatan gerak kerja akan terus memacu parti ke arah kemenangan mengikut landasan yang diredhai oleh Allah SWT. Di akhir ucapan, beliau mengingatkan para ’amilin PAS di Perak khususnya bahawa dalam situasi yang semakin memuncak ini, kita seharusnya lebih berwaspada dengan isu dan proaktif dalam memberikan penerangan kepada masyarakat.