PAS Perak menyokong pendirian Mursyidul Amnya, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat bahawa masijid boleh digunakan bagi membincangkan politik Islam tetapi bukannya politik berpartisan atau politik berpuak-puak.
Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain berkata: “Islam adalah cara hidup dan politik adalah sebahagian daripadanya. Masjid sentiasa telah digunakan sebagai gelanggang bagi membincangkan kebajikan, ekonomi, pendidikan dan politik.”
Beliau berucap di Muktamar Tahunan ke-27 Dewan Pemuda PAS Perak di Markas Tarbiyah Air Kuning di Taiping, semalam.
Beliau bagaimanapun bersetuju dengan saranan Sultan Selangor bahawa masjid tidak seharusnya digunakan untuk politik partisan bagi menyerang sesama umat kerana masjid dibina bagi menyatukan semua.
Baru-baru ini, Sultan Selangor melahirkan rasa kurang senang baginda berhubung tindakan sesetengah pihak yang menggunakan masjid untuk kepentingan politik.
Baginda mahu tindakan itu dihentikan.
Namun menurut Ustaz Abu Bakar, PAS tidak diberi peluang menggunakan tempat-tempat awam seperti dewan sekolah dan dewan orang ramai bagi menyampaikan maklumat mereka.
Beliau mendakwa Umno yang sebenarnya menggunakan masjid bagi agenda politik tetapi sebaliknya menuduh parti pembangkang seperti PAS yang menyalah-gunakan tempat ibadat Islam.