RAMADHAN BULAN MENGEKANG NAFSU, MENGGERAKKAN JIHAD : PESURUHJAYA PAS PERAK

5 08 2010

Kedatangan bulan Ramadhan pada setiap tahun merupakan detik yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam. Digelar sebagai madrasah tarbiyah buat umat Islam, ia merupakan ganjaran hebat dan terbesar sepanjang tahun yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW. Menurut Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar, beliau mengatakan bahawa bulan Ramadhan merupakan bulan yang wajib disyukuri pemberiannya oleh Allah SWT kepada kita semua, dengan merebut segenap ruang dan peluang untuk berbuat pahala. Menurut beliau lagi, bulan Ramadhan memahatkan seribu satu nostalgia kemenangan umat Islam di zaman dahulu yang kini menjadi motivasi buat mereka yang berjuang untuk menegakkan Islam di muka bumi Allah ini. Berdasarkan ayat di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa.” – al Baqarah: 183

Ayat di atas merupakan perintah Allah SWT yang meminta seluruh umat Islam untuk berpuasa di bulan Ramadhan supaya di akhirnya, menatijahkan kita supaya bertaqwa kepadaNya. Dalam hal ini, Ustaz Abu Bakar mengatakan, latihan ataupun tarbiyah di dalam bulan Ramadhan harus dijalani dengan penuh makna kerana bagi setiap mereka yang berada dalam gerakan Islam, adalah perlu untuk mereka mendekatkan diri dengan Allah SWT supaya perjalanan untuk membawa mad’u tidak tersasar dari landasan dakwah Islamiyah. “Saya meminta agar seluruh pejuang PAS di negeri Perak khususnya, untuk memperbanyakkan amalan di bulan Ramadhan,” gesa beliau. Menambah mengenai hal ini, beliau mengatakan di antara amalan yang perlu diperbanyakkan ialah membaca al-Quran, memperbanyakkan solat sunat dan mengerjakan qiamullail di samping menggiatkan gerak kerja pilihanraya dan menjauhi maksiat di sepanjang Ramadhan.

Menceritakan mengenai sirah perjuangan umat Islam, beliau mengatakan, kebanyakan kemenangan besar umat Islam terjadi di dalam bulan Ramadhan. Beliau menceritakan, di antara kisah yang termasyhur ialah kisah umat Islam di dalam perang Badar yang terjadi pada 17 Ramadhan pada tahun kedua Hijrah. Dengan jumlah tentera Islam yang amat sedikit dan kelengkapan yang amat terhad, mereka berperang di medan Badar berbekalkan ketaqwaan kepada Allah SWT yang akhirnya menerima bantuan daripada Allah SWT. Beliau juga menceritakan bagaimana kemenangan Salahuddin al-Ayyubi ke atas tentera Salib yang juga berlaku di dalam bulan Ramadhan. Di antara pangajaran yang dapat diambil daripada kemenangan umat Islam di zaman dahulu ialah kerana dekatnya mereka dengan Allah SWT. Tentera-tentera yang ditarbiyah oleh Rasulullah SAW dan Salahuddin al-Ayyubi bukan hanya melahirkan manusia yang tunduk dan patuh kepada Allah SWT di dalam ibadah bahkan bijak di sudut taktikal dan kental di sudut fizikal.

Tambah beliau lagi, Ramadhan juga merupakan bulan jihad di mana pada bulan ini, umat Islam diasak bukan sahaja dengan nafsu makan, bahkan juga nafsu sekularisme. Melihat kepada keadaan semasa, bagaimana berjayanya pihak musuh Islam menanam sifat sekularisme di dalam rumah dan diri umat Islam. “Kita melihat bagaimana umat Islam yang berpuasa pada hari ini, berpuasa dalam keadaan tidak menunaikan solat dan melakukan maksiat. Inilah hasil daripada 50 tahun pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional,” ujarnya mengenai keadaan puasa masyarakat Malaysia kini. Merujuk kepada perkara ini, beliau mengajak kepada seluruh masyarakat Islam di Malaysia untuk bermujahadah bukan sahaja menentang nafsu makan, bahkan juga menentang nafsu sekularisme yang meletakkan Islam dalam keadaan asing.

Sebelum mengakhiri sesi pertemuan, beliau mengingatkan bahawa Ramadhan bukanlah bulan menahan lapar dan dahaga semata-mata, akan tetapi, jika diamati, Ramadhan merupakan bulan perkembangan politik Islam. Ini kerana, Islam mendapatkan kuasa pemerintahan semasa bulan Ramadhan seperti di dalam peristiwa Fathul Makkah (Pembukaan Kota Makkah) dan pembebasan Palestin oleh Salahuddin al-Ayyubi. Beliau juga menggesa kepada seluruh jentera PAS untuk menggiatkan gerak kerja dan mengambil keberkatan di dalam bulan Ramadhan. “Kita yakin Allah bersama kita dalam setiap gerak kerja kita,” kata beliau mengakhiri sesi perbualan.


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: