SELAMATKAN GENERASI MASA DEPAN, PASTIKAN PERJUANGAN INI DITERUSKAN MEREKA

27 12 2010

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menegaskan agar seluruh ahli PAS memastikan kesinambungan perjuangan dapat dipelihara dengan baik dengan memastikan anak-anak dan anggota keluarga mereka menjadi ahli PAS dan mendaftarkan diri masing-masing dalam daftar pemilih bagi menjalankan tanggungjawab memastikan kemenangan dalam setiap kali pilihanraya diadakan.

Menurut beliau anak-cucu kita adalah antara golongan penting yang perlu membuat perubahan politik secara besar-besaran dalam pilihanraya akan datang bagi menyelamat negera kita dari penyelewengan Umno BN.

Memetik kata-kata beliau “Kita sebagai ahli PAS perlu sedar tanggungjawab besar untuk membuat perubahan politik yang bermula dari diri kita dan memastikan generasi kita menjadi ahli dan pendukung parti bagi kesinambungan perjuangan

“ Kita tak mahu lihat ada ahli kita yang semangat berkobar-kobar menentang Umno tetapi tidak pula mahu mengikat anak-anak dalam jamaah yang akhirnya mereka menentang Islam yang kita perjuangkan”

Beliau juga menyatakan kini rakyat sangat memerlukan perubahan politik besar-besaran bagi menyelamatkan negara ini dari penyelewengan dan segala bencana termasuk masalah gejala sosial yang semakin dashyat.

Justeru Pakatan Rakyat adalah pilihan terbaik kepada rakyat Malaysia untuk menggantikan kepimpinan negara yang selama ini dikemudi oleh pemimpin Umno BN yang telah banyak menggadaikan hak negara dan kepentingan rakyat dan ia bertambah buruk apabila generasi muda di Malaysia kini semakin rosak akhlaknya disebabkan punyai pemimpin negara yang juga lebih teruk rosak akhlaknya, tegas beliau.





RAKYAT MESTI TOLAK UMNO BN, PEMIMPIN UMNO BN TIDAK SERIK UNTUK TIPU DAN BOLOT HARTA RAKYAT

10 12 2010

IPOH, 10 Disember, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, menggesa supaya semua rakyat Malaysia melihat isu yang timbul sekarang ini sebagai sebab untuk menolak kerajaan yang dipimpin BN dan menukar kepada kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat. Isu yang timbul kini seperti isu kenaikan harga minyak dan kes dakwaan rasuah bekas MB Selangor jelas menunjukkan bahawa BN menjadikan amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka sebagai satu peluang untuk mereka memenuhi kehendak hawa nafsu mereka. Ini cukup berbeza dengan kehendak Islam yang menyatakan bahawa jawatan merupakan amanah dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT. di akhirat kelak.

Sabda Rasulullah s.a.w: “Tidak ada seorang hamba yang Allah SWT menyerahkan kepadanya urusan rakyat kemudian dia mati dalam keadaan ia menipu rakyatnya, melainkan haramkan ke atasnya syurga.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut beliau lagi bagaimanakah kerajaan BN boleh tergamak memunuhi kehendak nafsu mereka dengan memiliki rumah mewah yang bernilai berjuta-juta ringgit sedangkan rakyat ditindas dengan kenaikan harga petrol RON 95, kenaikan harga diesel, kenaikan harga gas LPG dan kenaikan harga gula yang dinaikkan oleh kerajaan sendiri.
Beliau menyatakan lagi, rakyat Malaysia sepatutnya menilai sekarang ini sejauh manakah pemimpin negara dan negeri mereka menjalankan amanah yang diberikan. Adakah mereka bersama-sama dengan rakyat menanggung kesusahan yang dialami atau mereka hidup senang-lenang? Adakah mereka berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama-sama dengan rakyat atau mereka menjadikan amanah diberikan sebagai batu loncatan mereka?

Selain itu beliau mengajak rakyat Malaysia untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT kerana ia merupakan pintu terbukanya keberkatan daripada Allah SWT. lebih-lebih lagi dalam menghadapi zaman yang mencabar sekarang ini.

Beliau juga memetik firman Allah SWT bagi mengingatkan seluruh manusia akan pesan Allah SWT ” Dan kalaulah sekiranya penduduk sesuatu negeri itu beriman dan bertaqwa nescaya kami akan bukakan pintu keberkatan ke atas mereka daripada langit dan daripada bumi tetapi mereka mendustai lalu kami berikan azab dengan sebab apa yang telah mereka kerjakan” (Surah Al-A’raf: 96)





7 12 2010





SALAM MAAL HIJRAH 1432 DARI PAS PERAK

6 12 2010

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Muhammad SAW serta para sahabat baginda. Selamat menyambut Maal Hijrah ke 1432 kepada seluruh muslimin dan muslimat. Tidak lupa untuk kita panjatkan doa kepada yang Maha Pencipta agar dikuatkan iman yang lemah untuk kebahagiaan di kehidupan yang kekal abadi kelak.

Tidak semua yang terkandung di dalam sejarah hijrah itu mampu untuk kita ungkapkan di ruang yang amat terhad ini. Namun kita tidak mahu ketinggalan untuk menatapi mutiara hijrah yang tak pernah padam itu. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Dialah yang telah menjadikan malam dan siang silih berganti bagi sesiapa yang mengambil pelajaran atau ingin bersyukur.” (Al Furqan: 62)

Kedatangan awal Muharram mengingatkan kita tentang sejarah hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Sambutlah dengan keazaman yang berkobar-kobar yang disulami dengan muhasabah dan semangat perjuangan.

Begitu indah dan bersopannya umat Islam jika segala perjalanan hidupnya berlandaskan syariat dan adab-adab Islam. Kita ambil sistem dan peraturan Islam untuk kita aplikasikan dalam semua aspek kehidupan secara total, meningkatkan mutu ibadah dan menunaikan segala tanggungjawab sebagai hamba nescaya hati kita akan lebih tenang dan yakin, mendapat keberkatan bahkan mampu mengembalikan semua kegemilangan Islam.

Sempena Maal Hiurah dan tahun baru ini adalah masa yang tepat untuk kita memperbaiki mana yang silap. Menggilap segala aset dan potensi yang ada dalam diri kita. Sesunggungnya Allah Maha mengasihi hamba-hambanya yang bertaubat.
Berhijrahlah daripada yang tidak baik kepada yang baik, daripada yang baik kepada lebih baik. Sesungguhnya kita adalah umat terbaik.

Masalahnya apakah bekalan kita? Bekalan jalan ini hanya satu sahaja iaitu TAQWA, merasai kebersamaan dengan Allah dan penuh yakin dengan Janji Allah yang pasti benar . Firman Allah maksudnya: “Dan merupakan hak kami untuk menolong orang-orang yang beriman.” (Ar Rum: 47).

Salam Muharram dan ingatan ikhlas daripada PAS Perak sempena Maal Hijrah 1432 H.