HIMPUNAN RAKYAT BERSIH 2.0: POLIS PERLU BERI KERJASAMA

6 07 2011

IPOH, 30 Jun: Menjelang Himpunan Aman BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 nanti, provokasi, ugutan dan pelbagai tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh pihak polis dan Barisan Nasional semakin dahsyat dan sukar dikawal.

Lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia pula seperti biasa cuba menghangatkan suasana dengan menaburkan fitnah demi fitnah terhadap pihak NGO dan rakyat yang terlibat dalam menjayakan BERSIH 2.0.

Justeru, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menggesa semua pihak yang akan menjayakan himpunan aman itu nanti untuk bersiap sedia dari segi fizikal dan juga mental.

Tegasnya, “Kita akan berhimpun secara aman damai untuk menyerahkan memorandum khas kepada Yang Di-Pertuan Agong. Para peserta harus bertenang dan elakkan daripada termakan provokasi pihak UMNO, PERKASA dan Polis.”

Beliau turut menjelaskan, kerajaan perlu faham bahawa himpunan yang akan diadakan pada 9 Julai ini ialah satu himpunan aman. Ia hanya bertujuan untuk menuntut hak rakyat dan keadilan dalam sistem demokrasi dikembalikan sebagaimana yang tersenarai dalam 8 Tuntutan BERSIH.

Jelas sekali pihak polis mahupun kerajaan tidak mempunyai alasan yang munasabah untuk menidakkan perhimpunan ini. Hal ini kerana ia jelas bercanggah dengan Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat sebagaimana yang dimaklumkan dalam satu kenyataan Suhakam baru-baru ini.

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menyarankan agar polis membenarkan orang awam menyertai perhimpunan aman BERSIH 2.0 ini tanpa sebarang provokasi atau gangguan. Malah, polis harus memberi kerjasama dalam mengawal himpunan ini agar ia dapat berjalan dengan lancar tanpa insiden yang tidak diingini berlaku.

Menurut beliau lagi, pihak polis dilihat berat sebelah dengan membiarkan sahaja beberapa siri himpunan bantahan yang dilakukan oleh pihak pemuda UMNO dan juga PERKASA dengan mengeluarkan kenyataan berupa ugutan dan ancaman tanpa sebarang tindakan diambil.

Beliau turut menyeru kepada rakyat Malaysia agar mengkaji dan memahami Perlembagaan Persekutuan untuk mengetahui hak masing-masing sekiranya ditahan polis dengan merujuk kepada Buku Merah terbitan Majlis Peguam dan seterusnya berkongsi maklumat kepada umum melalui pelbagai medium. Hak-hak ini perlu dijaga untuk mengelakkan pencabulan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau juga mengulangi komitmen BERSIH untuk memastikan Himpunan BERSIH 2.0 kelak akan berlangsung dalam keadaan aman.





MEMAKAI BAJU KUNING MENJADI SASARAN POLIS : PAS PERAK MEMPUNYAI PANDANGAN TERSENDIRI

6 07 2011

IPOH, Kehadiran Perhimpunan BERSIH 2.0 yang akan berlangsung pada 9 Julai nanti menyebabkan Barisan Nasional tidak senang duduk. Sehubungan dengan itu, penangkapan kepada individu yang memakai baju berwarna kuning adalah tidak wajar sama sekali.

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, tindakan pihak polis yang menangkap individu yang berpakaian kuning walaupun bukan baju Perhimpunan BERSIH 2.0 adalah menyalahi hak kebebasan rakyat berdasarkan Perkara 5 [1 ] Perlembagaan Persekutuan secara jelas melindungi mana-mana orang dari dilucutkan kebebasannya (deprived his liberty) kecuali menurut undang-undang.

Polis yang terus mengasak penyokong BERSIH 2.0 menangkap mereka yang berpakaian kuning, termasuk dua lagi wakil rakyat Pakatan Rakyat di Perak. Ahli parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye ditangkap kerana memakai pakaian bewarna kuning sedangkan tidak mempunyai lambang Perhimpunan BERSIH 2.0 dan beliau dimaklumkan oleh pihak polis beliau ditangkap mengikut Akta Polis bagi menghalang perhimpunan haram. Beberapa ADUN di negeri Perak juga ditahan atas alasan yang sama.

Menurut Ustaz Abu Bakar Hussain, seharusnya selaku negara demokrasi dan maju, perhimpunan aman yang diadakan oleh rakyat tidak boleh dihalang. Malah ia akan dikawal dan diberikan kerjasama dengan baik oleh pihak keselamatan selagi perhimpunan itu tidak mengganggu ketenteraman awam. Malah di negara-negara demokrasi maju di dunia ini, pihak pemerintah sendiri turut mengambil manfaat daripada demonstrasi aman yang diadakan bagi mendengar suara rakyat untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

Justeru, Perhimpunan BERSIH 2.0 yang bakal diadakan ini adalah perhimpunan aman yang dianjurkan untuk mengetengahkan suara dan pendapat rakyat. Menurut beliau, provokasi yang dikatakan sering berlaku dan mengancam ketenteraman rakyat sebenarnya bukan dilakukan oleh pihak penganjur dan peserta tetapi provokasi itu dibina sendiri oleh pihak polis dan didalangi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, Ustaz Abu Bakar Hussain menyeru semua ahli dan penyokong PAS menyertai perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.





POLIS JANGAN SALAH GUNA KUASA: PAKATAN RAKYAT PERAK GESA AHLI DAN PIMPINAN PSM DIBEBASKAN

6 07 2011

IPOH – kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) membantah tindakan menahan enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) di bawah Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman dan Pencegahan Jenayah) 1969 sebaik sahaja mereka dibebaskan Jumaat lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V Sivakumar berkata, penggunaan Ordinan Darurat terhadap enam ahli PSM itu dianggap keterlaluan dan menunjukkan Barisan Nasional (BN) menyalahgunakannya demi kepentingan politik mereka.

Menurutnya, Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar bersama lima lagi ahli PSM lain ditahan semula selepas mereka dibebaskan apabila tempoh reman tamat 2 Julai lalu.

“Sebelum ini kumpulan berkenaan ditahan mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan atas dakwaan cuba melancarkan peperangan terhadap Yang Dipertuan Agong,” katanya ketika ditemui pada sidang media, di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan polis menahan enam ahli PSM itu di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat menunjukkan bahawa kerajaan BN telah menggunakan kuasa polis bagi mencapai objektif mereka.

“Di Perak sahaja terdapat tiga insiden berlaku menunjukkan BN menggunakan kuasa pihak polis untuk menahan individu yang dikatakan ada kaitan dengan Perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadualkan 9 Julai ini,” katanya.

Terbaru ialah kejadian di Pasar Batu Gajah apabila tiga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditahan pada jam lebih kurang 9.20 pagi ketika sedang minum

Sementara itu, ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin berkata, semua pimpinan PR bertegas bahawa tindakan kerajaan yang mengenakan Ordinan Darurat terhadap enam ahli PSM yang ditahan adalah tidak wajar.

“PSM adalah satu pertubuhan yang berdaftar dan PR sentiasa akan membela mereka yang dianiaya atau dizalimi”.

“Selain itu, kami juga mohon agar Ordinan Darurat ini dimansuhkan kerana ia telah disalahgunakan, selain meminta polis membebaskan enam ahli PSM yang ditahan termasuk mereka yang di tahan di Pulau Pinang,” katanya.