PAS PERAK SIAP SEDIA HADAPI PRU 13

7 09 2011

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyatakan kesediaan PAS Perak untuk menggantikan UMNO mesti diterjemahkan dalam pilihan raya umum ke-13 ini dan persiapannya harus dijadikan agenda penting bagi semua kawasan PAS di Perak.

Menurut beliau, PAS Perak harus memenangi kerusi-kerusi yang ditandingi pada pilihan raya umum akan datang kerana ianya akan mempengaruhi keyakinan rakyat terhadap parti itu dan ianya merupakan cabaran yang harus dipikul oleh semua pimpinan dan ahli parti khususnya di Perak.

Memetik ucapan beliau,

“Kemenangan pilihan raya jadi ukuran dalam konteks politik. Memanglah dalam Islam kita menang ke kalah kita kena istiqamah,tapi umum menilai kita bergantung kepada pencapaian dalam pilihan raya”.

“Jadi kalau kita masuk pilihan raya tiba-tiba pencapaian kita rendah,akan ada kesan politik dan mempengaruhi keyakinan rakyat,”

Pesuruhjaya PAS Perak itu turut menyatakan, PAS Perak sentiasa memberi tumpuan kepada strategi memperkukuhkan peranan PAS dalam Pakatan Rakyat kerana PAS dikenali sebagai parti yang menjadikan Islam sebagai dasarnya.

“Kita kena terjemahkan supaya orang Melayu Islam khususnya, terus memberikan sokongan penuh kepada perjuangan PAS dan masyarakat bukan Islam turut yakin dengan agenda perjuangan PAS yang jelas mahukan sebuah negara yang adil dan berkebajikan yang sememangnya dituntut dalam Islam, jelas beliau.

Justeru beliau mengharapkan agar seluruh jentera PAS di seluruh kawasan di Perak memperhebatkan gerak kerja persiapan PRU 13, kerana kemungkinan besar PRU 13 akan berlaku pada bila-bila masa.





PAS PERAK ZIARAH DI HOSPITAL RAJA PERMAISURI BAINUN IPOH

7 09 2011

PAS Perak diketuai oleh Pesuruhjayanya sendiri Ustaz Abu Bakar Hussain bersama Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak YB Dato’ Seri Hj Nizar Jamaluddin dan Ustaz Misbahul Munir diiringi beberapa ajk Lajnah Kebajikan PAS Negeri dan Dewan Muslimat Negeri telah meluangkan masa kira-kira hampir 2 jam menziarahi beberapa pesakit di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.

Kehadiran mereka disambut oleh pegawai-pegawai hospital dan mereka turut mengiringi pimpinan PAS Perak melawat beberapa wad, kunjungan mereka mengejutkan para pesakit namun mereka menyambut gembira di atas kunjungan tersebut. Selain bertanya khabar, mengucap salam eidul fitri, sebungkus kueh raya turut dihulurkan kepada setiap pesakit yang diziarahi. Beberapa pegawai perubatan dan kakitangan wad yang berada diwad turut diberi sumbangan kueh raya oleh Pesuruhjaya dan Timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS Perak.

Para pegawai, kakitangan dan para pesakit kelihatan begitu gembira diziarahi oleh pimpinan PAS Perak terutama kehadiran bekas Menteri Besar Perak yang mereka sayangi.





MUNAJAT PERDANA PAS PERAK

7 09 2011

PAS Perak, telah mengadakan Munajat Perdana serentak bersama seluruh negeri-negeri lain baru-baru ini untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Program bermula dengan solat terawih sehingga berakhir selepas subuh pada hari esoknya.

Seluruh yang yang hadir ke program ini dapat mendengar amanah dari kepimpinan tertinggi parti yang dipancarkan secara langsung melalui internet.

Antaranya ucapan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berucap dari Masjid Rusila, Terengganu.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz pula berucap di Kota Bharu dan turut disiar secara langsung ke seluruh program munajat di seluruh negara.

Memetik ucapan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, “Semoga program ini akan memberi kekuatan baru kepada petugas-petugas untuk menghadapi cabaran yang begitu mencabar di dalam PRU 13 ini.

“Selain daripada kita mengatur strategi maka akhirnya kepada Allah untuk memohon pertolongan agar segala halangan akan dapat kita hadapi dengan tabah,” katanya.





PERUTUSAN HARI RAYA I’EDUL FITRI 1432 H, PESURUHJAYA PAS PERAK

7 09 2011

Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Perak, saya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri 1432 Hijrah, hari kebesaran kurnia daripada Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan, berjihad dan bermujahadah dengan mengerjakan ibadat dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Ibadat yang melatih kita untuk menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah SWT. Hanya orang yang bertakwa sahaja yang menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dan Allah SWT melakukan nuzul Al-Quran pada bulan Ramadan. Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa.

Dalam masa yang sama, bagi menegakkan petunjuk ini, kita berdepan dengan cabaran. Al-Quran menjadi furqan, yang membezakan di antara hak dan batil, benar dan salah. Dengan petunjuk Al-Quran, kita menegakkan yang benar, menentang perkara yang bercanggah dengan Al-Quran.

Dengan semangat tarbiah melalui Ramadan, menjadikan diri kita orang yang beriman, yang bertakwa, yang kuat, yang sanggup menghadapi cabaran selepas Ramadan dengan mendapat pertolongan daripada Allah SWT, walaupun kita dikelilingi oleh musuh-musuh yang ramai yang tidak akan memberi kesempatan kepada Islam untuk tegak semula di bumi Allah SWT ini.

Dengan takwa dan iman yang yang kuat, kita yakin semua musuh itu adalah kecil apabila kita bersama dengan Allah SWT dan Allah SWT memilih pula di bulan Ramadan berlakunya kemenangan kepada umat Islam.

Dalam peristiwa Badar, Fathul Makkah, Ain Jalut dan penawanan Kota Belgrade di Balkan pada zaman Kerajaan Othmaniah dalam keadaan orang Islam dianggap lemah tetapi hati mereka ikhlas menyumbangkan pengorbanan harta benda dan jiwa raga disertakan dengan iman yang kuat, percaya kepada Allah SWT dan percaya kepada janji Allah SWT, dunia dan akhirat. Berbekalkan perkara-perkarta itu, Allah SWT memberikan kemenangan kepada generasi awal Islam.

Saya yakin dan percaya sekiranya umat Islam di zaman kini melaksanakan contoh dan teladan tersebut, mereka juga akan diberikan kemenangan sekali lagi oleh Allah SWT.
Marilah pada kesempatan ini, kita membaharukan semangat untuk meningkatkan lagi kerja dan amal kita dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT dan meningkatkan pengorbanan kita dalam perjuangan kita untuk meninggikan agama Allah SWT supaya agama ini tegak sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT, dalam Al Quran Karim.

Dalam masa yang sama, pada kesempatan ini, marilah kita menguatkan ukhuwah, persaudaraan di kalangan kita dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan umat Islam sehingga mereka tidak ada beza di antara satu sama lain. Mereka adalah satu ummah, laksana satu jasad yang bersambung di antara satu sama lain, sama-sama memikul tanggungjawab, bertolong menolong sama ada yang berkait dengan urusan agama dan dunia.
Dalam masa yang sama, membolehkan kita menyampaikan mesej kita kepada seluruh manusia untuk menyatakan bahawa kitalah yang menyelamatkan manusia yang sebenar di dunia dan di akhirat.

Mudah-mudahan dengan semangat ini, kita berjaya menjadi seorang Islam yang diterima oleh Allah SWT dan merealisasikan apa yang diperintahkan oleh Allah, firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam.” (Surah Ali Imran: 102)

Ustaz Haji Abu Bakar Hussain
( Pesuruhjaya PAS Perak )