WAWANCARA PENUH SEKITAR 60 TAHUN PERJUANGAN PAS BERSAMA PESURUHJAYA PAS PERAK

4 11 2011

Q1: PAS merupakan parti yang menjadikan islam sebagai dasarnya dan telah bertapak sejak sebelum kemerdekaan lagi. Bagaimanakah PAS boleh mula bertapak di Perak?

A1: Perak juga merupakan tempat kedua PAS berkembang apabila Cawangan yang pertama di Perak di tubuhkan iaitu Cawangan Kuala Kangsar pada 10 April 1952 yang diketuai oleh Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh, diikuti Cawangan Kerian pada 6 Julai 1952. Sehingga Januari 1953, PAS turut mempunyai cawangan di Beruas, Selama,Telok Anson (kini Teluk Intan), Titi Serong dan beberapa daerah di Hilir Perak. Perak juga pernah menjadi tuan rumah Kongres PAS yang pertama di Maahad Yahyawiah, Padang Rengas dalam tahun 1952. Kemudiannya Kongres PAS ke-2 berlangsung di Madrasah Al Ulum, Bagan Datoh pada 25 – 28 Ogos 1953 di ikuti oleh Madrasah a- Tahzib ad – Diniah, Titi Serong pada 12 – 14 Ogos 1954 yang berjaya membuat keputusan memisahkan PAS daripada pengaruh Umno.

Q2: PAS dikatakan merupakan sambungan daripada Hizbul Muslimin yang ditubuhkan di Gunung Semanggol, Perak pada tahun 1948. PAS juga dikaitkan dengan sayap agama UMNO sebelum kemerdekaan. Benar ke semua ini?

A2: Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia. Ksedaran yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika itu. Longgokan ksedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 kesan daripada usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan Islam yang berpusat di Gunung Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun 1948.

Para ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi darurat ini. Ada yang ’tawakuf’ daripada politik kepartian tetapi menggerakkan kesedaran rakyat melalui institusi pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang lain, para ulamak telah mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis Umno bagi membolehkan isu-isu umat Islam diperkatakan. Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Ihya Assyariff, Gunung Semanggol telah menyertai Umno pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan beberapa persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam tulisannya, ”Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan”, Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan sikap Umno yang mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain. Dalam satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran Umno.

Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke Jalan Allah” bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak bentuk-bentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa masuk oleh penjajah. Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara melalui jalan pilihan raya.

Q3: Ramai orang melihat sesuatu perjuangan bukan sekadar berdasarkan ideologi semata-mata tetapi juga daripada sudut praktikal dan realitinya. Sudut ini sudah pasti boleh dilihat daripada tokoh yang memimpin perjuangan tersebut. Pada ustaz, siapa contoh yang boleh dikatakan tokoh PAS di Perak ini?

A3: Antara tokoh PAS yang berasal dari Perak yang saya kagumi ialah Dr Burhanuddin Al-Helmi dan Prof. Zulkifli Muhammad.Bagi pengkaji sejarah politik PAS, kemunculan regu Dr.Burhanuddin al – Helmy, Prof. Dr. Zulkifli Muhammad pada tahun 1956 menandakan bermulanya penguasaan ` blok Perak ` dalam kepimpinan PAS apabila tokoh – tokoh yang berasal dari Perak dipilih menduduki kepemimpinan PAS. Regu ini dianggap yang terbaik pernah dilahirkan oleh PAS sebagai ulamak, pejuang dan pemimpin kepada PAS.

Sumbangan mereka berdua sangat banyak dan terbukti apabila lawan dan kawan terasa rugi pemergian mereka. Sebagai contoh, ketika pemergian Prof. Zulkifli, bagi YPD PAS ketika itu iaitu Dr Burhanuddin, Prof Zulkifli merupakan seorang yang telah banyak berkorban untuk perjuangan, pemimpin yang berani, jujur dan bijaksana. Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman pula menyifatkan beliau sebagai “Pahlawan Demokrasi”. Parlimen mensifatkan beliau sebagai “tokoh perlimen yang payah ditandingi” manakala Sultan Kelantan pula mengurniakan Darjah Kebesaran Al-Muhammadi Yang ke II sebagai mengiktiraf jasa beliau. Saya lebih gemar sekiranya lebih ramai rakyat mengenali dua orang tokoh ini melalui kajian mereka sendiri. Cadangan saya ialah bacalah buku-buku yang ditulis oleh tokoh-tokoh itu sendiri. Untuk tokoh-tokoh ini, saya yakin ganjaran yang mereka terima daripada Allah adalah jauh lebih baik daripada apa yang kita di dunia ini boleh berikan.

Q4: 60 tahun merupakan satu jangkamasa yang lama buat sebuah parti politik di Malaysia. Apa antara cabaran yang paling getir ustaz rasa pernah dihadapi oleh PAS Perak?

A4: Selama 60 tahun, sebagai sebuah gerakan islam dan parti politik, PAS telah menghadapi pelbagai cabaran sesuai dengan sunnah perjuangan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. dengan firmanNya:

“Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.”

Ayat ini menggariskan 3 tabiat perjuangan sepanjang zaman iaitu penjara, bunuh dan buang daerah. Bagi kami dalam PAS, ketiga-tiga ujian ini pernah dialami. Daripada penangkapan anggota kami di bawah ISA, ditukar tempat kerja seperti yang pernah saya rasa hinggalah kepada peristiwa pembunuhan seperti di Memali, Kedah. Semua ini membuatkan kami lebih yakin dengan jalan yang kami pilih, ianya sama dengan jalan Rasulullah s.a.w.

Dan bagi kami di Perak, mungkin antara ujian paling getir ialah apabila kerajaan negeri yang secara sah dibina melalui pilihanraya dirampas pula dengan cara lompat parti oleh BN. Kami rasa berat bukan sebab apa tetapi kehilangan itu membuatkan kami tidak dapat mengembangkan islam dan membantu rakyat dengan cara yang lebih efektif. Jika kami sebagai pembangkang, kami membantu rakyat dengan skala sebagai sebuah parti politik tetapi sebagai kerajaan negeri, skala yang kami boleh buat lebih besar. Bagi saya, membantu rakyat adalah tugas utama pemimpin. Kuasa bagi kami adalah amanah, bukan kehormatan.

Q5: Dalam 60 tahun, selain daripada cabaran, pasti banyak juga intiatif dan sumbangan yang telah dibuat. Apa antara sumbangan terbesar PAS Perak bagi ustaz?

Q5 : Setakat ini saya rasa antara initatif PAS Perak yang paling ialah dalam bidang melibatkan masyarakat bukan islam dengan PAS. Sebelum wujudnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), telah terbentuk Kelab Penyokong PAS. Antara Kelab Penyokong PAS terawal yang ditubuhkan ialah di Perak. Kita kena terima bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Tetapi kita juga tidak boleh lupa tanggungjawab kita untuk memperjuangkan islam. Apa yang menjadi masalah sebelum ini ialah terdapat dinding seolah-olah islam hanya untuk orang islam dan orang melayu sahaja. Tetapi nabi mengajar kita islam adalah “rahmatan lil alamin”, iaitu untuk semua mahluk sama ada manusia atau binatang, sama ada melayu, cina dan india, sama ada islam atau bukan islam. Kejayaan PAS menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS telah meruntuhkan dinding tersebut. Hari ini dalam PAS terdapat orang bukan islam yang boleh terima islam walaupun mereka kekal dengan agama mereka dan bilangan tersebut makin bertambah. Saya yakin penambahan ini akan berterusan seterusnya mengukuhkan hubungan antara kaum di Malaysia.

Selain itu kita boleh lihat dimana Perak merupakan negeri pertama yang mengadakan kerjasama dengan PKR dan DAP, langkah pertama ke arah mewujudkan Pakatan Rakyat. Tertubuhnya Pakatan Rakyat merupakan satu langkah besar dalam perjuangan islam. Mula menandakan yang orang bukan islam telah boleh menerima kehadiran sebuah gerakan islam seperti PAS. Walaupun dalam perkara dasar, setiap parti masih kekal dengan identiti sendiri, tetapi dalam perkara seperti rasuah, penyelewengan dan perkara mungkar yang lain, kita telah bersetuju untuk tolak dan hapuskan. Ini satu langkah yang besar kerana perkara inilah yang banyak menghalang pertumbuhan islam selama ini sehingga menyebabkan orang islam sendiri tak percaya dengan islam seterusnya lari dari islam. Orang yang cuba menakut-nakutkan tentang Pakatan Rakyat ini selalunya ialah orang yang ada kepentingan peribadi. Bagi kami dalam PAS pula, kepentingan kami hanyalah islam dan bagaimana nak memperjuangkan kalimah Allah.

Q6: Pada tahun 2008, kita melihat suatu perubahan dalam pilihanraya umum di mana 5 buah negeri iaitu Selangor, Kedah, Kelanan, Pulau Pinang dan Perak telah jatuh kepada Pakatan Rakyat. Bagaimana ini boleh terjadi?

A6: Pada pandangan saya, rakyat telah mula sedar dan matang akan situasi politik di Malaysia. Dengan bantuan media alternatif dan semakin mudahnya mendapat ilmu dan maklumat, rakyat semakin bijak membuat pertimbangan. Rakyat semakin benci dengan putar-belit daripada kerajaan BN dan janji-janji palsu mereka. Rakyat juga sudah boleh melihat macam pemimpin-pemimpin mereka yang telah diundi rupanya khianat dengan amanah yang diberikan kepada mereka. Sebagai ahli politik, bercakap manis atau memberi janji-janji merupakan suatu perkara yang mudah. Tetapi berakhlak, melaksanakan amanah dan menunaikan janji tersebut adalah perkara yang sangat sukar. Itulah yang membezakan seorang pemimpin yang layak dengan yang rosak. Pilihlah pemimpin yang berakhlak. Selidik dulu seseorang tersebut sebelum memilihnya menjadi pemimpin.

Dan itulah apa yang kami dari Pakatan Rakyat harapkan. Jangan buta-buta ikut sesuatu seruan atau pandangan, tetapi buatlah kajian dulu. Mata, mulut, telinga dan apa benda yang kita buat ini semua akan disoal oleh Allah di akhirat, jadi kaji la dulu sebelum membuat apa-apa. Bagi kami dari Pakatan Rakyat, kami yakin kami di pihak benar dan kami tidak takut sekiranya rakyat tahu apa yang kami lakukan. Dalam PAS, kami dididik bahawa apa jua tindakan kami, semuanya akan dinilai oleh Allah. Penghujungnya ialah syurga atau neraka.

Q7: Setiap negeri sudah tentu ada kelebihan mereka sendiri dan sebagai Pesuruhjaya PAS Perak, apa yang ustaz rasa kelebihan rakyat di negeri Perak ini?

A7: Di Perak ini saya lihat kita ada beberapa kelebihan tersendiri yang susah untuk dilihat di negeri lain. Antaranya ialah kita boleh lihat di mana masyarakat bandar di Perak adalah golongan terpelajar dan mudah mendapat maklumat manakala masyarakat kampung pula kuat agama, tak kisah sama ada Islam, Buddha atau Hindu. Suasana ini bagi kami dari PAS adalah suasana yang sangat diharapkan di mana dasar kami sebagai sebuah gerakan islam, akan lebih mudah diterima. Sejak dahulu, apa yang kami dari PAS perjuangkan ialah pembangunan terutama pembangunan peribadi. Sekiranya masyarakat kita terpelajar dan bersahsiah tinggi, negara kita akan lebih maju dan lebih pesat membangun. Bagi saya, apa yang membantutkan pertumbuhan negara kita selama ini tidak lain ialah maksiat, rasuah serta kemungkaran lain yang semakin berleluasa. Semua ini kerana terdapat sesetengah golongan yang mendapat manfaat daripada kejahilan masyarakat.

Selain itu, di Perak juga terdapat pelbagai bangsa di mana mereka begitu mudah untuk berjumpa. Sekiranya kita berjaya menjadikan Perak sebagai salah satu negeri contoh di Malaysia, tidak mustahil model di Perak ini boleh diguna pakai di Malaysia juga. Suasana Perak yang majmuk ini juga menjadikan masyarakatnya matang dalam hubungan antara kaum. Sesetengah orang mungkin melihat ini sebagai ancaman, tetapi kita kena ingat bahawa yang jadikan pelbagai kaum ini ialah Allah s.w.t. jua, maka tugas yang Allah berikan pada kita ialah macam mana kita nak hidup bersama di bawah syariat Allah s.w.t. Kalau kita faham konsep ini, maka kita boleh lihat Perak ini sebagai sebuah negeri yang memiliki pelbagai kelebihan berbanding negeri yang bermasalah.

Q8: Sekarang ini PAS telah berumur lebih 60 tahun, telah melalui pelbagai cabaran dan memberi banyak sumbangan. Tetapi bagaimana pula ustaz melihat PAS 60 tahun akan datang?

A8: Sebelum ini saya dah jelaskan macam mana permulaan PAS ini di mana ia dimulakan oleh para ulama’ dan kemudian kita dah kupas sikit tadi tentang perkembangan PAS sekarang di mana ia semakin diterima oleh masyarakat, sama ada islam atau bukan islam. Kalau dulu, apabila orang sebut PAS, orang pasti akan bayangkan golongan ulama’ dan anak murid mereka sahaja. Tetapi kita boleh lihat kemudian di mana PAS mula diterima oleh golongan lain seperti golongan aktivits. Kemudian kita boleh lihat pula di mana golongan professional pula semakin bertambah dalam PAS. Sekarang ni golongan bukan islam pun sudah menyertai PAS di mana wujudnya DHPP. Artis pun sudah ada yang menyertai PAS. Sekarang apabila orang sebut PAS, orang tak nampak golongan ustaz sahaja seperti dulu, tapi orang nampak golongan yang nak kepada islam. Tak kiralah dia ini ustaz ke, artis ke, doktor ke, petani ke, bukan islam ke, asalkan dia nak kepada islam, orang akan melihat PAS.

Saya nak cakap di sini bahawa PAS bukanlah parti politik semata-mata tetapi adalah sebuah gerakan islam. Bila kata gerakan ini, objektif PAS bukan sekadar menang pilihanraya, tetapi juga untuk menegakkan islam dalam bentuknya yang syumul. 60 tahun akan datang saya boleh bayangkan di mana PAS ada syarikatnya sendiri, ada sekolah dan hospitalnya sendiri, ada juga siaran televisyen dan radionya sendiri. Dan semua lapisan masyarakat sama ada islam ataupun bukan islam, boleh menerima PAS. Mungkin orang akan katakan itu mustahil atau angan-angan sahaja, tetapi itu juga apa yang BN kata dahulu pada PAS apabila bercakap tentang golongan bukan islam boleh menerima islam. Hari ini benda itu tidak dilihat sebagai mustahil. Jadi saya rasa cita-cita saya ini pun tidak mustahil. Dulu sebelum islam ada negara Madinah lagi Nabi s.a.w. dah janji pada seorang sahabat gelang raja Parsi. Dan sebagai orang islam, kami tak rasa cita-cita ini mustahil.

Q9: Akhir sekali, apa harapan ustaz pada masyarakat Perak?

A10: Saya berharap masyarakat boleh menerima islam sebagai agama yang menyeluruh, sebagai sebuah cara hidup dan juga sebagai sistem kehidupan. Masalah pada masyarakat ialah mereka tidak faham apa itu islam yang sebenarnya. Sesetengah orang melihat islam hanya dari aspek aqidah, sesetengah yang lain pulak dari sudut ibadah sahaja, ada pula dari sudut akhlak dan ada pulak yang beranggapan islam hanya untuk orang islam. Harapan saya ialah masyarakat belajar tentang apa itu islam secara menyeluruh. Islam merangkumi segenap aspek kehidupan daripada kehidupan peribadi hinggalah sebagai sistem dalam negara. Jika kita menerima islam, orang islam dan orang bukan islam kedua-dua akan mendapat manfaat. Jika kita kaji dan belajar tentang islam, dan kemudian menerima islam secara menyeluruh, maka mereka akan fahamlah apa yang PAS bawa. Islam ini untuk semua, begitu juga PAS, tak kisah ulama, professional, aktivits, artis, petani malah bukan islam sekalipun boleh menyertai PAS bersama-sama menegakkan islam. Ganjarannya ialah kebahagiaan. Di dunia dan di akhirat.


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: