PERUTUSAN HARI RAYA I’EDUL FITRI 1432 H, PESURUHJAYA PAS PERAK

7 09 2011

Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Perak, saya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri 1432 Hijrah, hari kebesaran kurnia daripada Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan, berjihad dan bermujahadah dengan mengerjakan ibadat dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Ibadat yang melatih kita untuk menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah SWT. Hanya orang yang bertakwa sahaja yang menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dan Allah SWT melakukan nuzul Al-Quran pada bulan Ramadan. Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa.

Dalam masa yang sama, bagi menegakkan petunjuk ini, kita berdepan dengan cabaran. Al-Quran menjadi furqan, yang membezakan di antara hak dan batil, benar dan salah. Dengan petunjuk Al-Quran, kita menegakkan yang benar, menentang perkara yang bercanggah dengan Al-Quran.

Dengan semangat tarbiah melalui Ramadan, menjadikan diri kita orang yang beriman, yang bertakwa, yang kuat, yang sanggup menghadapi cabaran selepas Ramadan dengan mendapat pertolongan daripada Allah SWT, walaupun kita dikelilingi oleh musuh-musuh yang ramai yang tidak akan memberi kesempatan kepada Islam untuk tegak semula di bumi Allah SWT ini.

Dengan takwa dan iman yang yang kuat, kita yakin semua musuh itu adalah kecil apabila kita bersama dengan Allah SWT dan Allah SWT memilih pula di bulan Ramadan berlakunya kemenangan kepada umat Islam.

Dalam peristiwa Badar, Fathul Makkah, Ain Jalut dan penawanan Kota Belgrade di Balkan pada zaman Kerajaan Othmaniah dalam keadaan orang Islam dianggap lemah tetapi hati mereka ikhlas menyumbangkan pengorbanan harta benda dan jiwa raga disertakan dengan iman yang kuat, percaya kepada Allah SWT dan percaya kepada janji Allah SWT, dunia dan akhirat. Berbekalkan perkara-perkarta itu, Allah SWT memberikan kemenangan kepada generasi awal Islam.

Saya yakin dan percaya sekiranya umat Islam di zaman kini melaksanakan contoh dan teladan tersebut, mereka juga akan diberikan kemenangan sekali lagi oleh Allah SWT.
Marilah pada kesempatan ini, kita membaharukan semangat untuk meningkatkan lagi kerja dan amal kita dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT dan meningkatkan pengorbanan kita dalam perjuangan kita untuk meninggikan agama Allah SWT supaya agama ini tegak sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT, dalam Al Quran Karim.

Dalam masa yang sama, pada kesempatan ini, marilah kita menguatkan ukhuwah, persaudaraan di kalangan kita dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan umat Islam sehingga mereka tidak ada beza di antara satu sama lain. Mereka adalah satu ummah, laksana satu jasad yang bersambung di antara satu sama lain, sama-sama memikul tanggungjawab, bertolong menolong sama ada yang berkait dengan urusan agama dan dunia.
Dalam masa yang sama, membolehkan kita menyampaikan mesej kita kepada seluruh manusia untuk menyatakan bahawa kitalah yang menyelamatkan manusia yang sebenar di dunia dan di akhirat.

Mudah-mudahan dengan semangat ini, kita berjaya menjadi seorang Islam yang diterima oleh Allah SWT dan merealisasikan apa yang diperintahkan oleh Allah, firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam.” (Surah Ali Imran: 102)

Ustaz Haji Abu Bakar Hussain
( Pesuruhjaya PAS Perak )





PESURUHJAYA PAS PERAK, ZIARAH MANGSA BANJIR DI BAGAN SERAI

20 11 2009

PAS Perak diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Perak Al Fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain bersama Timbalannya Al Fadhil Ust. Mustapa Shaari, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Ustaz Misbahul Munir Masduki, Pengarah Jabatan Amal Perak, dan beberapa anggota Jabatan Amal yang lain telah melawat mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Bagan Serai.

Rombongan PAS Perak disambut oleh YB Ramli Tusin, Adun Semanggol dan YB Husin Din, Adun Selingsing di Pusat Khidmat DUN.Kehadiran rombongan PAS Perak disambut gembira oleh Penghulu Bagan Serai, En. Nawawi bin Mohd Noor di Pusat Pemindahan Banjir SK. Bagan Serai. Mangsa-mangsa banjir kelihatan gembira melihat rombongan PAS Perak bersama ahli-ahli Yang Berhormat melawati mereka.

Di kesempatan itu, Pesuruhjaya PAS Perak, mengambil kesempatan memberi sumbangan kepada mangsa banjir bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka, beliau juga menggesa agar penduduk yang menimpa musibah ini sentiasa bermohon kepada Allah SWT, agar dimudahkan segala urusan dalam menghadapi ujian dari Allah SWT ini.





PESURUHJAYA PAS PERAK, MELAWAT MANGSA BANJIR LENGGONG

13 11 2009

100_0733

LENGGONG: Sebanyak 30 mangsa banjir di beberapa kampung di sini yang dianggap paling layak menerima bantuan, diberi sumbangan berupa beras dan barangan dapur ala kadar oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain.

Ustaz Abu Bakar yang datang bersama Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki turut membuat penyerahan sukarelawan daripada Unit Amal (UA) dan pemuda-pemuda PAS tempatan yang ditugaskan untuk membersih rumah-rumah mangsa banjir.

Kehadiran mereka berdua yang sampai jam 10.45 pagi disambut oleh Yang Dipertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria serta AJK PAS Kawasan. AJK Dewan Pemuda PAS Lenggong dan anggota-anggota Unit Amal di Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam (PASTI) Kota Tampan Air.

Sebelum gerakan menyampaikan bantuan ziarah mangsa-mangsa banjir di Kampung Banggong Bor, Banggol Belimbing, Banggol Batu dan Taman Kota Tampan, mereka berdua terlebih dahulu dibawa ke Masjid Jamek Lenggong untuk menunaikan solat jenazah.

Ustaz Abu Bakar sendiri telah mengimamkan solat jenazah seorang ahli PAS Kampung Pecah Batu, Lenggong yang meninggal dunia petang kelmarin (semalam) dengan dimakmumkan lebih 100 penduduk kebanyakannya pimpinan dan ahli PAS kawasan.

Seterusnya Pesuruhjaya PAS Perak itu, telah dibawa melawat ke rumah-rumah mangsa banjir dua hari berturut-turut sambil menyampaikan bantuan serta membuat penyerahan anggota-anggota Unit Amal untuk tugasan kerja-kerja membersih rumah mangsa.

Sementara itu, Razman berkata, kerja-kerja pembersihan rumah telah dilakukan sehari suntuk kelmarin, bagaimanapun selepas malam kedua berlaku banjir lumpur sekali lagi, kerja-kerja pembersihan oleh kira-kira 30 petugas dilakukan semula.

Katanya, dalam kejadian banjir pertama lebih 200 keluarga (72 di Taman Kota Tampan, lebih 30 di Kampung Banggol Batu, lebih 30 di Kampung Banggol Belimbing dan kira-kira 20 di Chain dan Batu Dinding) dilanda banjir lumpur mulai jam 12.30 malam dan surut jam 8 pagi.

Pada malam kedua (semalam) rumah-rumah yang sama dilanda banjir sekali lagi mengalami masalah akibat limpahan air Sungai Nerok selepas hulan berjam-jam pada sebelah petang membawa ke malam, katanya.

Turut dilanda banjir ialah, katanya ialah Masjid Banggol Batu, Sekolah Agama Rakyat Taman Kota Tampan, Surau Taman Kota Tampan, Dewan Tabika kemas Banggol Batu, Dewan Serbaguna Taman Kota Tampan, Dewan Orang Ramai Banggol batu dan lima buah premis kedai di taman Kota Tampan.